28 Ogos 2012

Kawan Baru FB (BFF) hehehe Best Friend Facebook

Tada! Inilah buah tangan terbaru saya yang panas dari kilang. Buku kanak-kanak yang comel ini mengandungi kompilasi 15 cerpen  daripada 5 orang penulis Grup Buku Karangkraf. Buku ini sebenarnya buku pertama dalam projek 1 Hari 1 Cerita. Buku berwarna-warni ini sangat sesuai dibaca oleh kanak-kanak berusia 7-12 tahun. Ilustrasinya juga sangat menarik. Memang tak rugi menjadikannya salah satu koleksi dalam simpanan si cilik!

Dalam buku ini saya menulis 3 cerpen iaitu Neptun Perlukan Raja, Hakimy Hilang PSP dan tajuk buku ini sendiri Kawan Baru FB. Berikut adalah senarai cerpen tulisan Lynn Dayana, Maryam Elyas, Nurliza Mohd Nasir dan Zakiah Abd. Ghaffar.


SINOPSIS 1 HARI 1 CERITA KAWAN BARU FB TULISAN LAILA KAMILIA

Kawan Baru FB- Mila seorang kanak-kanak yang baru belajar menutup aurat. Sekalipun hanya anak penjual kuih, dia juga tidak mahu ketinggalan dalam dunia Facebook. Bertuahlah kerana bapanya seorang juruteknik komputer yang berfikiran terbuka. Jadi bila ayah beri lampu hijau membuka akaun FB, kerjanya asyik melayan FB hingga karipap digoreng jadi hangus. Hari-hari kerjanya menanya bilangan 'friend' yang ada di FB dengan kawan-kawan sekelas. Masing-masing berlumba siapa punya 'friend' teramai. Satu kejadian membuatkan semua kawan-kawan Mila mula takut dengan dunia FB. Hey! Kejutan dari teman FB menyedarkan Mila apakah nilai persahabatan sebenar.

Hakimy Hilang PSP- Hobi Hakimy main PSP. Diusung ke sana ke sini hingga hobi bertukar obsesi. Pesan mama jangan bawa PSP keluar dari rumah tapi kalau sudah namanya obsesi, diam-diam PSP dibawa tanpa mama sedari. Janjinya hanya mahu main sekejap sampai tahap yang diingini. Tapi bila sakit perut, fikiran yang waras sudah tidak boleh fikir apa-apa lagi. Cari tandaslah nak ke mana lagi? Tapi PSP? Oh! Ini cerita seorang budak lelaki yang terpaksa membayar sebuah pengalaman dengan harga yang tinggi. 

Neptune Perlukan Raja-Indahnya kalau Teluk Intan tiba-tiba jadi pulau berais. Sejuk, nyaman dan putih bersalji.  Tak perlulah bosan duduk di depan TV semata-mata kerana matahari tegak di kepala membahang dengan suhu mak ai, berpinau mata. Suatu hari impian Amsyar Daniel menjadi kenyataan! Peluang menjadi Raja kepada Planet Neptune datang sekelip mata. Aha! Mari kita kongsikan pengalaman beliau mentadbir planet berais.














Saya harap anda semua suka dengan karya terbaru saya ini. Menjadi kanak-kanak memang menyeronokkan. Melihatkan buku ini, saya tiba-tiba teringatkan diri saya 25 tahun lepas. Masa itu memang sukar untuk mendapatkan buku-buku Melayu apatah yang berwarna-warni dengan ilustrasi begini. Masa itu saya hanya berangan dapat memegang buku seperti ini. Hehehe. Tak sangka setelah 25 tahun, saya ada buku yang saya idamkan, ditulis sendiri. 

Kalau ada yang mahu membeli buku ini untuk dihadiahkan kepada anak-anak boleh terus memesan dari saya dengan harga RM20 sahaja dan saya akan poskannya kepada anda (hehe hadiah hari jadipun best juga, kos pos bergantung kepada jenis perkhidmatan pos pilihan anda). Terima kasih atas sokongan anda kepada karya saya selama ini. Saya amat menghargainya!  

08 Ogos 2012

Simulasi Projek Shopping Raya 2012

Hari ini saya dan teman Kak Zura dapat pelepasan mengajar kerana melakukan simulasi Projek Membeli Belah Raya untuk murid Pendidikan Khas yang miskin dan yatim sempena ketibaan Ramadhan 1433 tahun ini. Disebabkan program ini telah mendapat slot tayangan rancangan Al-Hidayah Istimewa sempena Maal Hirah pada 16 November 2012 nanti, maka rakaman akan dibuat oleh TV3 pada minggu depan hari rabu 15 Ogos 2012. Jadinya kenala buat simulasi supaya nanti program berjalan dengan lancar.

Mengikut rancangan asal, kami akan menaiki komuter di Bangi, kemudian bertukar LRT ke Bandar Tasik Selatan (BTS) dan turun di Masjid Jamek. Nampak macam mudahkan? Tapi hari ini memberi saya seribu satu pengalaman baru. Kami bertolak dari sekolah jam 8.40 pagi dan tiba di stesen komuter Bangi 5 minit selepas itu. Perkara pertama yang terjadi, kami telahpun keliru kerana selalunya tren ke Rawang berada di platform sebelah kiri sekali tetapi kali ini berada di platform tengah. Bila ditanya kepada petugas, beliau minta kami menunggu di tempat biasa. Tapi yang bestnya, ramai juga penumpang yang menaiki jambatan lalu menaiki tren yang di platform tengah. Jam 9.00 seperti dijadualkan tren itu meninggalkan kami dalam terpinga-pinga. Sekarang sudah ada 3 landasan rupanya, jadi tren ke Seremban berada di landasan kanan sekali. Dalam kami terpinga-pinga, jam 9.05 datang tren yang lain dari arah Seremban dan berhenti di landasan biasa. Kami naik tren lalu gelak-gelak. Nampak sangat dah lama tak naik kenderaan awam.

 Komuter Bangi-BTS
 LRT BTS-Masjid Jamek
Sampai di BTS 30 minit kemudian, saya tercangak-cangak lagi. Sementelah inilah pengalaman pertama saya menaiki kenderaan awam selepas pulang 2 tahun lepas. Sekarang rupanya LRT dah pakai token. Saya main agak-agak aje nak bubuh token tu di lubang mana kat penghalang keluar. Punyalah main redah. 

Lama juga kami berada di Jalan TAR. Dari satu kedai ke satu kedai. Masuk tinjau barang-barang dan harga. Berjalan, memerhati sambil berbincang. Semuanya difikirkan dan akhirnya kami membuat keputusan.  Sementelah SOGO tidak membenarkan rakaman oleh TV3 atas faktor keselamatan murid, jadi rasanya Jalan TAR bukanlah destinasi terbaik. InsyaAllah, kami harus mencari destinasi lain yang lebih sesuai demi memikirkan faktor keselamatan murid, kebenaran rakaman oleh TV3 dan sumbangan wang oleh para dermawan dalam menjayakan projek ini. Esok kami akan tinjau tempat lain pula.

Kami pulang sekitar jam 4.00 petang dengan letih tahap gaban. Hampir-hampir kami tak naik tren kerana menunggu tren ke Seremban sedangkan tren yang tiba adalah tren ke Sungai Gadut. Mujurlah pemandu tren beria-ia suruh kami naik kerana kami masih teragak-agak dan menjadi penumpang terakhir masuk ke dalam tren. Kelakarnya masih ragu-ragu, saya terintai-intai peta perjalanan yang ada di depan pintu tren. Ketinggalan zaman kerana KTM telahpun menambah 2 stesen lagi selepas Seremban menjadikan Sungai Gadut sebagai destinasi terakhir. Jadi memanglah tak ada ditulis Seremban, tapi Sungai Gadut.

Puasa hari ini benar-benar mencabar stamina. Namun kami puas hati kerana telah membuat satu keputusan yang terbaik untuk semua. Satu perkara yang saya rasa paling berharga buat saya hari ini tentulah ingatan bahawa sekalipun telah pergi ke serata dunia ke bandaraya seperti London, Barcelona, Madrid, Milan, Armsterdam, Paris, Beijing dan Hong Kong (sekadar menamakan beberapa tempat), itu tidak bermakna saya tidak boleh sesat di dalam negara sendiri. Sesungguhnya saya manusia yang lemah dan banyak yang saya perlu pelajari setiap hari. Saya berdoa semoga saya tidak sesat di 'sana'. Jumpa lagi dalam entri saya seterusnya!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...