08 Ogos 2012

Simulasi Projek Shopping Raya 2012

Hari ini saya dan teman Kak Zura dapat pelepasan mengajar kerana melakukan simulasi Projek Membeli Belah Raya untuk murid Pendidikan Khas yang miskin dan yatim sempena ketibaan Ramadhan 1433 tahun ini. Disebabkan program ini telah mendapat slot tayangan rancangan Al-Hidayah Istimewa sempena Maal Hirah pada 16 November 2012 nanti, maka rakaman akan dibuat oleh TV3 pada minggu depan hari rabu 15 Ogos 2012. Jadinya kenala buat simulasi supaya nanti program berjalan dengan lancar.

Mengikut rancangan asal, kami akan menaiki komuter di Bangi, kemudian bertukar LRT ke Bandar Tasik Selatan (BTS) dan turun di Masjid Jamek. Nampak macam mudahkan? Tapi hari ini memberi saya seribu satu pengalaman baru. Kami bertolak dari sekolah jam 8.40 pagi dan tiba di stesen komuter Bangi 5 minit selepas itu. Perkara pertama yang terjadi, kami telahpun keliru kerana selalunya tren ke Rawang berada di platform sebelah kiri sekali tetapi kali ini berada di platform tengah. Bila ditanya kepada petugas, beliau minta kami menunggu di tempat biasa. Tapi yang bestnya, ramai juga penumpang yang menaiki jambatan lalu menaiki tren yang di platform tengah. Jam 9.00 seperti dijadualkan tren itu meninggalkan kami dalam terpinga-pinga. Sekarang sudah ada 3 landasan rupanya, jadi tren ke Seremban berada di landasan kanan sekali. Dalam kami terpinga-pinga, jam 9.05 datang tren yang lain dari arah Seremban dan berhenti di landasan biasa. Kami naik tren lalu gelak-gelak. Nampak sangat dah lama tak naik kenderaan awam.

 Komuter Bangi-BTS
 LRT BTS-Masjid Jamek
Sampai di BTS 30 minit kemudian, saya tercangak-cangak lagi. Sementelah inilah pengalaman pertama saya menaiki kenderaan awam selepas pulang 2 tahun lepas. Sekarang rupanya LRT dah pakai token. Saya main agak-agak aje nak bubuh token tu di lubang mana kat penghalang keluar. Punyalah main redah. 

Lama juga kami berada di Jalan TAR. Dari satu kedai ke satu kedai. Masuk tinjau barang-barang dan harga. Berjalan, memerhati sambil berbincang. Semuanya difikirkan dan akhirnya kami membuat keputusan.  Sementelah SOGO tidak membenarkan rakaman oleh TV3 atas faktor keselamatan murid, jadi rasanya Jalan TAR bukanlah destinasi terbaik. InsyaAllah, kami harus mencari destinasi lain yang lebih sesuai demi memikirkan faktor keselamatan murid, kebenaran rakaman oleh TV3 dan sumbangan wang oleh para dermawan dalam menjayakan projek ini. Esok kami akan tinjau tempat lain pula.

Kami pulang sekitar jam 4.00 petang dengan letih tahap gaban. Hampir-hampir kami tak naik tren kerana menunggu tren ke Seremban sedangkan tren yang tiba adalah tren ke Sungai Gadut. Mujurlah pemandu tren beria-ia suruh kami naik kerana kami masih teragak-agak dan menjadi penumpang terakhir masuk ke dalam tren. Kelakarnya masih ragu-ragu, saya terintai-intai peta perjalanan yang ada di depan pintu tren. Ketinggalan zaman kerana KTM telahpun menambah 2 stesen lagi selepas Seremban menjadikan Sungai Gadut sebagai destinasi terakhir. Jadi memanglah tak ada ditulis Seremban, tapi Sungai Gadut.

Puasa hari ini benar-benar mencabar stamina. Namun kami puas hati kerana telah membuat satu keputusan yang terbaik untuk semua. Satu perkara yang saya rasa paling berharga buat saya hari ini tentulah ingatan bahawa sekalipun telah pergi ke serata dunia ke bandaraya seperti London, Barcelona, Madrid, Milan, Armsterdam, Paris, Beijing dan Hong Kong (sekadar menamakan beberapa tempat), itu tidak bermakna saya tidak boleh sesat di dalam negara sendiri. Sesungguhnya saya manusia yang lemah dan banyak yang saya perlu pelajari setiap hari. Saya berdoa semoga saya tidak sesat di 'sana'. Jumpa lagi dalam entri saya seterusnya!

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...