21 Disember 2010

Jalan-jalan Cari Makan : Nasi Kandar Line Clear-Pulau Pinang

tengoklah panjangnya orang beratur, kalau tengah lapar kena beratur panjang macam ni memang rasa macam nak makan semua orang yang kat depan kita....hahaha

Kalau pergi ke Pulau Pinang, tak sah kalau tak pekena nasi kandar. Lalu setelah sekian lama tak ke sana, sempat juga singgah baru-baru ini. Saya dapat peta lokasi dari siapa lagi kalau tak orang piau Penang, kak Eka Fahara. "Senang aje Laila, nampak panggung wayang India tu kat situla," katanya dengan semangat (kak Eka kalau dengar ada orang nak pi Penang, memang dia semangat lebih sikit, hahhaa). Setelah dua kali pusing, baru boleh parking sebab jalan memang sesak. Restoren ni memang kat tengah-tengah bandar, jadi tak hairan kalau ia menjadi tempat strategik cuma agak tersorok sedikit.

Mak aiiiii! Bila sampai je kat depan restoren, itulah reaksi pertama saya. Punyala panjang orang beratur, nak cari tempat duduk lagi satu hal. Sudahnya kami membahagikan tugas. Abang beratur dan saya bawa anak-anak cari port baik punya. Hehehe...dah namanya ramai orang. Bila dah sesak, hangatla pulak. Tapi demi nak merasa Line Clear, kugagahkan juga. Mujur Hana tak buat perangai....

Akhirnya setelah berada hampir setengah jam, dapatlah kami merasa masakan Line Clear itu. Rasanya ok, nasi kandar tentu boleh dibayangan rasanya kan? Pilihan banyak, harga boleh tahan...berbaloi dengan makanan. Cuma.... hangat dan pedas hingga ke telinga. Bagi yang jenis tak tahan pedas macam saya dan anak-anak, memang mengganggu kosentrasi makan. Tapi bagi yang jenis makan cili padi pun boleh sengih...inilah syurga makanan! Hahaha.... Apapun tidak rugi mencuba!

13 Disember 2010

Kenduri Aqiqah Hana Nurein Fadly

Inilah gambar kambing panggang untuk kenduri Aqiqah Hana pada 20 November 2010 yang lalu. Majlis ini sudah lama hendak dilangsungkan tetapi asyik tertangguh dek kesibukan dan kesihatan Hana yang asyik tidak menentu (2 kali dimasukkan ke wad dan hampir setiap bulan dia batuk/selesema). 

Kepada yang sudi hadir, terima kasih yang tak terhingga dari kami sekeluarga. Mohon maaf atas segala kekurangan. Semoga Hana kami akan sentiasa sihat dan berada di dalam perlindungan ALLAH sentiasa.

12 Disember 2010

KEMBARA EROPAH: Germany-Stuttgart

Salam kembara! Dah lama rupanya blog saya berabuk. Saya menggeleng kepala. Macam-macam alasan tapi yang pasti semuanya kerana geramkan internet yang lembab mengalahkan siput. Setiap kali nak upload atau dah upload, asyik-asyik tergendala, siapa yang tak bengang dan berang.... Cewah! 

Saya mengambil sempena kelajuan internet di tahap petala ketujuh ni kerana berada di Johor Bahru. Wah! Internet laju....apa lagi, bolehlah upload kurang-kurang satu entri....hahahaha tak taulah bil internet hotel ni berapa....belasah saja....

Entri ini sebenarnya dirangka pada Oktober tahun lepas...Wah! Dah setahun lebih usianya! Pejam celik, saya tak upload di internet kerana masalah yang saya nyatakan tadi. Inilah catatan Kembara Eropah saya ke Stuttgart, Jerman. 

Stuttgart merupakan bandar industri, kerana itu sara hidupnya tinggi berbanding dengan bandaraya lain di Jerman ini. Sebuah rumah kecil untuk dihuni seorang, sewanya menyamai sewa rumah untuk 2 orang di tempat lain. Apa yang istimewanya bandaraya ini?  Di sinilah letaknya ibupejabat, kilang dan muzium  kereta jenama mewah seperti Mercedes Benz. Untuk pengetahuan mereka yang tidak tahu, sehingga kini  ada teknologi pembuatan peralatan kereta Mercedes hanya boleh dibuat di Stuttgart seperti contoh kunci kereta. Bermakna, jika kunci kereta Mercedez anda rosak, anda perlu menghantarnya ke Stuttgart kerana hanya di sinilah ianya boleh dibuat sekalipun teknologi pembuatan kereta telah berkembang pesat. Hebatkan bandaraya ini?

Kami tidak berada lama di Stuttgart tetapi sempat ke 2 buah muzium kereta iaitu Mercedes Benz dan Porsche (hehehe... sebenarnya itulah tarikan utama bandaraya ini).


di hadapan Muzium Mercedes Benz


ramai pengunjung sekalipun lokasinya agak jauh dari stesen keretapi



kereta sapa la ni...cantik dipandang tapi sukar dimiliki...




setakat bergambar bolehla....


Muzium Porsche ini memang strategik kerana terletak betul-betul di hadapan stesen keretapi

Itulah saja beberapa keping gambar yang dapat dimuatkan untuk catatan perjalanan Laila. Semoga terhibur!

07 November 2010

Banjir di Alor Setar 2010

Rancangan asal kami sekeluarga mahu ke rumah teman saya Juhaida yang akan melangsungkan perkahwinan Sabtu ini di Temerloh. Namun di saat-saat akhir, saya terpaksa memohon maaf kepada beliau kerana kami sekeluarga mahu menjenguk ibu dan ayah di Alor Setar yang terpaksa berpindah gara-gara banjir besar tahun ini. Kami mahu melihat dan memberikan sokongan moral kepada keluarga di sana. Walaupun dalam hati, rasa was-was kerana tidak pasti boleh lepas ke Alor Setar atau tidak kerana kami diberitakan jalan-jalan utama telahpun ditutup. Lebuhraya menghala ke Hutan Kampung dan sehaluan  di atasnya ke Perlis dan Bukit Kayu Hitam turut ditutup kerana banjir besar.

Alhamdulillah, niat yang baik insyaAllah dipermudahkanNya. Asalnya kami bercadang hendak pergi setakat yang terboleh tetapi Allah mengabulkan hajat kami untuk bertemu keluarga. Walaupun jalan ditutup tetapi kami boleh juga 'lepas' hingga sampai ke rumah di Anak Bukit.

Perasaan saya sangat sedih bila melihat khemah-khemah di tepi jalanraya, hingga ada menjadikan perhentian bas sebagai tempat tidur, di bawah jambatan tempat masak. Sedih sangat bila melihat pakcik yang stroke, melintas jalan hendak mendapatkan bantuan makanan. Itu belum lagi melihat rumah yang sedia elok, bertakung air, bangkai lipas merata, perabot dah kembang macam roti dicicah air. Adoi! Itu belum bau busuk pakaian dan sofa yang terendam. Belum lagi dikira kemusnahan alatan elektrik. Saya berkata di dalam hati, jika Tuhan mengkehendakkan maka jadilah. Kita ini hanya manusia yang kerdil.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada mereka yang berkemampuan, bantulah kepada mangsa banjir. Terlalu banyak yang anda boleh sumbangkan dari wang ringgit hinggalah kepada air mineral dan pakaian terpakai. Tak lama lagi anak-anak akan bersekolah untuk sesi 2011. Duit memang banyak diperlukan setelah berabis mencuci dan membaiki rumah, perabot, barang elektrik dan pakaian. Saya menganggarkan kira-kira RM10K diperlukan untuk perabot dan RM10K untuk barangan elektrik! 

Jadi, jika ada kelapangan, jenguk-jenguklah saudara-mara yang sedang dilanda musibah itu. Kadang-kadang kedatangan kita, sekalipun tidak dapat menyumbang banyak, memberikan mereka sokongan moral. Kepada mangsa banjir, kami sekeluarga mendoakan anda tabah menghadapi ujian Tuhan. Allah pasti tidak akan menguji hambaNya, lebih dari kemampuanNya. Pastilah ada hikmah, mengapa dalam sekalian manusia, anda yang menjadi pilihanNya menerima dugaan ini. Tabahkanlah hati....

 lumpur yang tinggal di lantai dapur

 perabot yang sudah kembang semangkuk

 hehehe budak-budak ni action aje yang lebih, main air lagi banyak dari menolong

 penduduk menerima bantuan makanan. hari tu beras yang dihantar x cukup, jadi sekampit beras 10kg harus dibahagi kepada 2 buah rumah
pemandangan dari jalan raya jalan mengala ke rumah sudah surut

06 November 2010

Jalan-jalan Cari Makan : Baghdad Cafe, Bandar Seri Putra

Bosan dengan makanan Malaysia? Western? Sekarang ini sudah ada pilihan selain dari nasi lemak dan lamb chop. Kedai makan berkonsep Timur Tengah seperti Arab, Lebanon dan Turki sudah mula beroperasi di Malaysia. Di Putrajaya, di Presint 15 ada di Cyberjaya pun ada. Yang pasti, sediakan duitnya saja. Sesekala beralih selera, memang agak mahal juga wang yang harus disediakannya. Almaklum, jika sepinggan nasi Arab, harganya lebih kurang RM20. Tetapi seperti yang saya katakan tadi, sesekala apalah salahnya.

Menu masakan ala-ala Arab ini biasanya nasi dan daging/ayam bakar yang dihidangkan bersama ulaman dan buah tomato bakar. Selain itu roti seperti roti capati/naan dimakan bersama kuah. Yang pastinya, masakan mereka tidaklah bersantan seperti masakan kita, biasanya dibakar. Saya diberitahu, ayam/daging yang dibakar harus dimakan bersama bawang untuk meneutralkan kesan dibakar (oksida). Hidangan mereka tidak sah, jika tidak diminum bersama teh.

Saya berkesempatan ke Baghdad Cafe, Bandar Seri Putra tidak berapa lama dahulu.  Sengaja nak melepak merasakan suasana lain sikit dari suasana biasa di BSP ni. Lokasinya sebaris dengan Restoren Bihun Sup Utara/BSN. Suasananya santai, sesuai kalau nak berborak-borak bersama teman-teman. Tuan punya restoren ni mencuba menjadikannya seArab yang mungkin tetapi pelayannya adalah kanak-kanak/remaja (dia memanggil saya kakak....hahaha) yang mengurangkan sedikit kredit saya dalam memberi markah. Apapun, kalau hendak mencari kelainan, bolehlah ke mari!

antara gambar yang sempat saya rakam dalam bersantai dan bersembang dengan ehem-ehem...hehehe

24 Oktober 2010

Anak gadisku dan Ultraman

Ultraman sudah menjadi hero dari zaman dolu-dolu sampailah zaman anak-anak kita sekarang. Entah dah berapa keturunan dah ultraman ni....dah jadi lagenda. Ultraman ni dah jadi hero kesayangan tak kira bangsa. Baru-baru ni saya sempat bawa 2 anak teruna saya ke sesi Ultraman bertemu Peminat, kali ini di The Mines, Seri Kembangan. Disebabkan sudah banyak sangat kali bergambar dengan Ultraman, saya awal-awal lagi pesan dengan 2 jejaka tu supaya tengok aje tapi x nak bergambar. Bukannya apa, barisan peminat Ultraman itu terlalulah panjangnya.

Tengahari itu kami sampai awal, jam 12.00 tgh seperti yang dijadualkan tetapi sakit hati sebab tidak diberitahu yang Ultraman hanya akan muncul jam 2.00 ptg. Jenuhlah kami menunggu disajikan dengan lagu-lagu persembahan kanak-kanak Cina. Penganjur memang tidak sensitif dengan keperluan peminta Ultraman berbangsa selain Cina yang memang ramai kat depan pentas tu. Sudahlah persembahannya dalam bahasa Cina, patutnya pengacaranya cakaplah bahasa Melayu juga tapi cakap Cina dan bahasa Inggeris. Saya bukannya anti perkauman tetapi saya hairan dengan ketidakpekaan penganjur kepada saranan PM Najib yang mahukan konsep 1 Malaysia. Mujurlah pengacara di acara kemuncak ada bertutur dalam bahasa Melayu juga berselang-seli dengan bahasa Inggeris. Cukup saya tak faham. Agaknya inilah kali terakhir saya bawa budak-budak ni bertemu Ultraman. Nak boikot!

Bercerita pasal Ultraman, Hana di rumah juga sudah mula berjinak-jinak dengan Ultraman disebabkan abang-abangnya suka Ultraman. Hehehee....saya kena lakukan sesuatu ni....kena bagi benda lain ni....Takut anak gadis saya jadi Ultrawomen plak nanti...hehehehe

18 Oktober 2010

Hana sudah pulang ke rumah

gambar hari ke 4 di Hospital Serdang

Semasa reunion ex Berliners di rumah Kak Aed, Hana sudah batuk-batuk tapi dia gembira dan nampak sihat. Masa tu hari Sabtu. Hari Ahad sudah ke klinik dan mula demam pada malam hari, Isninnya saya mengambil cuti kecemasan. Tanpa disangka, demamnya sekejap ok, sekejap jadi terutama pada malam hari. Hari Khamis dia sudah menampakkan semakin tidak bermaya, ayahnya cuti dan bawa dia ke Klinik Kesihatan Bangi. Kemuncaknya saya dan suami ke Hospital Serdang jam 11.00 malam dan dia dimasukkan ke wad 5A, didiagnos  pneumonia.  Dia batuk teruk tidak berhenti-henti sehingga merah padam. Saya yang melihat menitiskan air mata. Kalaulah penyakitnya itu boleh dipindahkan kepada saya. Tetapi apakan daya, saya hanya mampu melihatnya menanggung sengsara itu sendirian tanpa boleh berbuat apa-apa selain dari menemaninya sebaik tamat waktu persekolahan. 

Saya merempit ke hospital dan mengambil tugas menjaga Hana dari pengasuhnya sehingga ke malam. Pagi esok, seawal 6.30 pagi saya sudah bertolak balik ke rumah untuk meneruskan pekerjaan. Almaklum, tugas sebagai guru, saya tidak sewenangwenangnya boleh mengambil cuti kecemasan 7 hari sepanjang tahun itu. Hingga doktor di situ marahkan saya kerana "TIDAK MEMBEKALKAN HANA DENGAN SUSU" semasa meninggalkannya dalam jagaan pengasuhnya. Saya mahu DISEKOLAHKAN dengan mengikuti kelas kaunseling BREASTFEED.  Jururawatpun gelak kerana selalunya ibu yang memberi anak susu botol yang kena beri kaunseling, tapi ini dah terbalik. Semuanya berlaku kerana salah faham. Saya tidak dapat bertemu doktor semasa sesi lawatan untuk memberikan penerangan mengapakah Hana Montella saya tidak mahu susu selain susu ibunya. Tetapi saya memang kecil hati kerana doktor memperkecilkan peranan saya sebagai seorang ibu yang pastiya telah berusaha terbaik untuk "MEMONTELKAN" Hana saya!

Apapun Doktor itu sudahpun menerima 'balasannya'. Bukan saya, tetapi orang lain telah membuat aduan tentang sikap doktor itu yang agak menjengkelkan semasa berkomunikasi dengan pesakitnya. Itulah namanya "HIDUP UMPAMA RODA". 


Setelah 3 hari barulah keadaan Hana menunjukkan perubahan. Alhamdulillah hari ke 5, Hana sudah boleh keluar dari wad. Kebetulan saya memang mengambil cuti rehat pada hari itu. Ada hikmah kerana saya diberi panduan penggunaan puff. Hana saya disahkan doktor mengidap Asma. 

Kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga kerja Hospital Serdang yang membantu sepanjang Hana dirawat di sana. Semoga ALLAH membalas kebaikan mereka dengan kebaikan yang lebih lagi.

Kini, Hana saya sudah sihat walaupun masih memakai puff 2 kali sehari. Gembira sangat dia dan saya tidak sudah-sudah mengucapkan syukur kerana melihat senyuman Hana.

15 Oktober 2010

Payahnya nak update blog

Jenuh saya nak upload gambar beberapa hari ni tapi x boleh. Memang geram!

04 Oktober 2010

Laila sini sana!

Saya memandang skrin blog dengan pandangan kosong. Hati teruja hendak mengemaskini blog yang berabuk tapi disebabkan sudah terlalu lama peristiwa-peristiwa itu terjadi, saya tak tahu hendak menceritakan peristiwa yang mana di dalam blog saya. Padan muka! Itulah sebabnya kalau kerja bertangguh. Sepatutnya kalau nak jadi 'wartawan' kenalah bertindak segera semasa berita masih panas. Hehe. Jadi saya ringkaskanlah cerita saya, lihat ajelah gambar-gambar ini tentang apa yang terjadi kepada saya sepanjang 28 Mac hingga 28 September ini (6 bulan).
 rakaman gambar saya yang terakhir di lapangan terbang Tegel, Berlin
 antara teman di Berlin yang menghantar kami pulang di subuh hening: Erna, Raja Aida dan Sara
 dah 2 kali ke Petrosains bawa anak-anak, sampai dah tak tau nak buat apa kat sana (beli kad tahunan untuk unlimited access). tak tahula kalau anak-anak ajak lagi...
 ke tayangan Toy Storey III-3D. Kimy tanggal speck 3D separuh dari masa tayangan...hehehe tak ke membazir?
 bersama teman seperguruan men'sumbang'kan lagu Guru Malaysia sempena Hari Guru, best sebab dapat tukar sekolah baru...hehe
 bawa nenek dan mak bersiar-siar di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya
 KLCC, tak berubahpun walau 2 tahun x pergi....
 seronoknya main air laut....selepas 2 tahun...lepas rindu pada bau laut di Pangkor
 mama dan Hana...sapa comey? Hana la....hehehe
 tunjuk skil memecahkan belon lawan...sempena Hari Keluarga SMSTSP di Pangkor, juara tau!

25 September 2010

Kursus Dalam Cuti (KDC) kini dibuka

Kepada adik-adik yang sedang berkhidmat sebagai guru sandaran, peluang menjadi guru tetap telah dibuka permohonannya. Sila dapatkan borang di Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing kerana borang telahpun keluar. Tarikh tutup permohonan adalah pada 28 September 2010. Selamat maju jaya!

ps-kepada yang tidak tahu, KDC merupakan satu opsyen selain KPLI kepada mereka yang berminat untuk menjadi guru tetap. Pemohon akan bekerja sebagai guru sandaran di sekolah terlibat dan pada masa cuti sekolah akan mengikuti kuliah di Institut Pendidikan Guru terpilih.

18 September 2010

Lagi gambar Hana 1 tahun!

Selamat Hari Jadi Hana untuk 1 Tahun


30 Ogos 2010, hari jadi Hana yang pertama! Anak dara saya sudah setahun. Alhamdulillah gigi dah ada 5 batang, jalan pegang-pegang, dah ada skirt kembang, boleh cakap mama dan abah, mengajuk aaaaa dan tapta (dua bunyi yang dia suka tapi tak tahu apa maknanya bagi dia), makan macam-macam, suka sengih bila cakap kita nak tangkap gambar dia....hehe...sekejap saja Hana saya sudah besar. Yang tak berubah, pehanya yang gebu goreng pun sodap dan kesihatannya yang masih sensitif (mungkin faktor cuaca).

Apapun, setahun yang lalu, saya telah melahirkan dia jauh di Berlin. Saya tak akan lupa saat istimewa itu. Dia merupakan bayi yang saya jaga sepenuhnya di perantauan dan sehingga kini kekal anak mak kerana dia masih belum berpisah susu dengan ibunya ini. Pendek kata, dialah anak saya yang paling kuat ikatannya dengan saya!

Harapan saya, semoga Hana akan jadi anak yang solehah. InsyaAllah panjang umur dan murah rezeki kita sambut hari jadi hana ke dua lebih meriah lagi.....

17 September 2010

UPSR 2010: Jadual Peperiksaan UPSR


Kepada anak-anak yang akan menduduki peperiksaan UPSR bagi tahun ini, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya. Biasanya anak-anak yang periksa, ibu yang tak tidur malam. Jadi ibu-ibu, bapa-bapa, selamat berjaga malam dan jangan tak lalu makan pula.....

Berikut adalah jadual peperiksaan UPSR untuk makluman semua:

Selasa (21 Sept.)

B.Melayu (pemahaman ) 
B. Melayu (penulisan) 
Matematik (Kertas 2)
* Balik (1.10)

Rabu (22 Sept.)
Matematik (Kertas 1)
* Balik (1.10)


Khamis (23/9)

Sains
B. Inggeris ( Kertas 1)
B. Inggeris ( Kertas 2) - Sessi tamat (1.10)
Ujian Aptitud - 2.30 -3.45 petang (murid tidak dibenarkan balik)

16 September 2010

Salam Aidilfitri 2010


Lamanya blog saya ni tidak dikemaskini. Orang yang berkunjungpun dah terbatuk-batuk bila masuk.Hehe. Maaflah ye. Masalah utama saya selain dari sibuk (alah...orang lain sibuk juga tapi sempat update blog pun), kerana komputer Vaio saya sedang tenat. Sehingga kini, pakar IT saya (cik Yana) masih tak jumpa apa masalahnya. Bila Vaio saya meragam, bermaksud saya tidak dapat memuat turun gambar-gambar dari kamera. Tunggu punya tunggu....sampai sekarang masih tidak dijumpai sebabnya. Jadi sebagai langkah menyelesaikan blog saya yang tergendala sejak lama ini, saya beli card reader. Alhamdulillah, barulah boleh dipaparkan gambar-gambar yang sudah diambil ke dalam blog ini. Saya harap lepas ni, saya berkesempatan mengupdate blog saya ini. Kalau berita-berita yang keluar dalam blog ini sudah basi, maaflah yer, sebab baru boleh buat entri kalau ada gambar....kan???

Gambar di atas adalah gambar kami sekeluarga ya ng terbaru, dirakam pada pagi Syawal ke 2 di rumah mertua di Alor Setar. Sudah 2 tahun kami tidak pulang beraya di Alor Setar. Sudah 10 tahun saya menunggu untuk memakai baju raya yang sama dengan anak perempuan saya...Alhamdulillah, tahun ini barulah ia dapat dimakbulkan Tuhan. Hehe.

Kesempatan ini kami sekeluarga ingin mengucapkan salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua saudara mara, rakan taulan dan pengunjung lailakamilia.blogspot.com.

Jumpa lagi pada entri akan datang, InsyaAllah!

24 Ogos 2010

Anger Management

Bersempena dengan ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak yang mulia ini,  sebuah bengkel yang ditaja khas untuk  memperkukuhkan keperibadian Muslim. Marilah bersama-sama belajar cara bagaimana untuk mengawal kemarahan, mentadbir emosi dan menangani tekanan dengan bijak, melalui teknik2 psikologi yang efektif. 

Butiran Program:

Tajuk                      : "Anger Management"
Tarikh                     : 24hb Ogos 2010 
Tempat                   : Hotel Palace of The Golden Horses  www.palaceofthegoldenhorses.com.my 
Masa                      : 9.00 Pagi - 4 Petang
Yuran Kursus          : RM 50.00
Bahasa Penghantar Sepanjang Program: Bahasa Melayu & Bahasa Inggeris
Penyertaan Adalah Terbuka Untuk Semua Termasuk Yang Bukan Beragama Islam

Pakej Termasuk:
1. Kit Seminar (Beg, Tag Nama, Pen, Pensil, Writing Book, Nota-nota/Buku-buku)
2. Sijil Penyertaan
3. Yuran Kursus & Penceramah

Semoga program yang ditaja khas ini dapat sama-sama kita manfaatkan untuk menjadikan kita insan yang diberkati.

Untuk sebarang pertanyaan, sila rujuk lampiran yang dikepilkan atau hubungi: 03-21169635, 0126627528 atau email kepada postmaster@law-professors.com

Selamat Berpuasa... :)

08 Ogos 2010

Kek Lapis Sarawak Cantik dan Biskut Raya Rangup

Belumpun Ramadhan, tapi Laila dah sibuk dengan kuih raya. Haha! Teman-teman terdekat nampak saya sibuk benar nak menyambut raya tahun ni. Haha! Ada yang tertanya-tanya kenapa saya terlebih teruja tahun ni berbanding tahun-tahun sebelumnya, sampaikan siap menjual kuih raya lagi, tak pernah-pernah sebelum ni! Hahaha! 

Sebenarnya saya pun terasa, raya tahun ni saya yang lebih teruja dari anak-anak. Agaknya sebab tahun lepas tak berapa terasa nak raya kan, sebab sensorang aje. Jadi tahun ni teruja lebihla. Hehe! Alhamdulillah puasa yang 23 hari tu sudah selamat saya tunaikan. Kini saya sedang menghitung menunggu Ramadhan datang lagi bagi tahun ini.

Disebabkan saya sudah jumpa dengan tokeh kek lapis yang sedap dan cantik, biskut rangup dan kerepek serta kacang best jadi saya ingin berkongsi dengan orang lain juga. Jadi kalau sesiapa hendak menempah kek lapis ke, biskut ke, kacang ke atau kerepek, boleh terus email saya di alamat lailakamilia@yahoo.com. Maklumat lengkap tentang kuih-muih itu tertera di bawah gambar ya. Hari Raya pastinya lebih bermakna dengan kehadiran kuih-muih yang lazat dan cantik kan?



Kek lapis sarawak : 1 roll RM25 @ 1 kg RM 53
kalau kek Cheese, mocha dan coklat cheese
1 roll RM30 @ 1 kg RM 63
saiznya 6X6" tinggi 2.5"
Tempahan sehingga seminggu sebelum raya

biskut raya dari Kedah: Almond London, Nestum Choc., Cheese dan Cinderella
Arabian Nestle, Snow White, Fine Nut dan Cornflakes rangup semuanya berharga RM23 sekotak (50-52 biji)

Selamat menjamu mata!

Menatap Sayang Sepenuh Hati dari Eka Fahara



Hana tak puas hati kalau Mama seorang baca novel acik Eka. Hehheeh...Jadi apa kata, anda juga dapatkan novel ke lima dari Eka Fahara ini..

SAYANG SEPENUH HATI

SINOPSISI :
KALAULAH Aira tahu lidah Fauzien tidak ber - tulang, dia tidak rela bertukar cincin dan bergelar tunang saat berangkat ke New Zealand. Kesetiaannya tidak dihargai bila Fauzien beralih kasih pada Izzi, teman baiknya sendiri. Memutuskan tali pertunangan adalah keputusan muktamad yang diambil agar dirinya tidak dibelenggu sakit hati dan benci. Dalam merawat luka di hati, Aira berkenalan dengan Adin. Perkenalan singkat itu tidak bermakna buatnya. Namun tidak bagi Adin. Dia gila bayang pada gadis berkulit mulus itu. Puas dia cuba memikat tetapi Aira ibarat me r pati makan di tangan. Jinak, tetapi lari bila ingin dipegang.

Laksa Kedah ala New Zealand membuatkan kasih Aira pada Adin mula berputik. Dia mula belajar bercinta lagi. Akhirnya, termeterailah hubungan suci yang didambakan. Namun kemunculan tiba-tiba Suri yang mengaku dia isteri Adin membuatkan jiwa Aira separuh mati. Andai itu kenyataan yang tersurat, Aira tega membawa diri. Dia akur walaupun hidup ini sesekali berlaku kebetulan. Hanya suratan takdir melengkapi sebuah kehidupan

29 Julai 2010

Dapatkan segera Vaksin H1N1 sebelum kehabisan

Ketika saya berada di Berlin, virus H1N1 ini begitu hangat hinggakan khabarnya ramai yang terpaksa memakai penutup mulut/hidung semasa keluar rumah. Aktiviti ke pasar-pasar malam dihadkan. Malaysia menjadi antara negara yang begitu berhati-hati dan serius semasa  menangani virus ini, mencetuskan keadaan panik sekatika. Sekalipun Jerman antara negara yang ramai dijangkiti H1N1 tetapi saya tidak melihat situasi seperti Malaysia menangani H1N1, sepertinya tiada apa-apa yang terjadi, seperti hari-hari biasa saja.

Bila balik sini Hana saya dijangkiti Influenza Seasonal A, saya mengakui virus ini memang sangat-sangat merbahaya. Hanya dengan sekali membawanya keluar membeli-belah di hipermarket, saya hampir-hampir kehilangannya. Saya menyaksikan sendiri bagaimana virus merbahaya yang hampir-hampir sama H1N1 ini menyerang Hana saya. Cukuplah kalau saya katakan, virus itu memang kejam!

Lalu beberapa minggu lalu, saya mengambil suntikan vaksin H1N1. Alhamdulillah saya dapat suntikan itu di Klinik Kesihatan Sepang dengan bantuan Makcik Samiah. Atas dorongannya, kami mendapatkan suntikan itu (kerajaan menawarkan hanya untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas). Petang tadi Makcik Samiah memaklumkan, vaksin itu tinggal sekitar 6 ribu lebih saja dan kepada rakyat Malaysia yang ingin mendapatkannya silalah bergegas segera ke Klinik Kesihatan berhampiran (tidak semua KK ada menawarkan perkhidmatan ini). Jika di klinik swasta kos satu suntikan sekitar RM150.

jangan takut, jarum suntikan tu xdela sebesar ini

Siapakah yang digalakkan mendapatkan suntikan? Mereka yang berisiko antaranya ibu mengandung, mereka yang terlibat dengan merawat orang sakit (rata-rata mereka yang bekerja di hospital mengambil suntikan ini), warga emas dan kanak-kanak.

Janganlah takut mendapatkan suntikan ini kerana kalau terkena virus ini lagi banyak suntikan dan rawatan/ubatan yang akan dibuat ke atas kita (mohon dijauhkan). Kita sekadar berusaha, tapi Dia yang menentukan. Kata orang, kalau kena cucuk vaksin ni mesti demamlah, muntahlah etc. tapi sebenarnya ia bergantung kepada ketahanan badan menghadapi vaksin itu. Bagi saya, saya tidak demam tetapi sekadar lenguh-lenguh badan dan pening kepala pada hari pertama dan kedua. Selepas itu ok walau tempat cucuk tu ada juga rasa sengal-sengal.

Seeloknya kalau nak pergi ke klinik tu, eloklah pergi berombongan sebab ada rasa berani sikit....ehheheh  tapi sebenarnya digalakkan datang serombongan (bukanlah satu bas) sebab setiap botol vaksin apabila dibuka boleh memberi suntikan kepada 10 orang. Jadi kalau anda hanya datang seorang, mungkin anda diminta datang lagi pada hari lain.

Yang syioknya macam-macam karenah kita boleh tengok golongan dewasa nak dapatkan suntikan ni. Hehehe paling best bila orang lelaki datang cucuk. Nampak punyalah macho, tapi penakut juga. Ada yang dah janji datang tak jadi datang sebab takut pun ada...heheheh yang pasti....beranak lagilah jauh SAKITnya.

Apa kata yang belum dapatkan vaksin segera medapatkannya sementara masih ada dan PERCUMA pula. Kerajaan nak bantu kita dapatkan vaksin percuma, mohla kita ramai2 ambil peluang ini. Apa salahnya mengambil langkah berjaga-jagakan???

19 Julai 2010

Gerai Kabaret

Macam tak percaya.... Begitulah kesinambungan entri saya yang terdahulu tentang perubahan-perubahan  yang saya tidak percaya berlaku di depan mata. Tidak hairan sekarang anak-anak umur sekitar 4 tahun sudah pandai berkaraoke dan menari di pentas khalayak tanpa rasa takut dan segan kerana yang lebih tua telah mengajarnya terlebih dahulu. Saya tahu, karaoke dah jadi satu fenomena biasa di Malaysia, cuma pinta saya kalau ibu-ibu, bapa-bapa hendak berkaraoke, janganlah di depan anak sendiri...tolonglah....

08 Julai 2010

Jauh Kau Pergi-Dhiya Zafira


Inilah buah tangan terbaru sahabat saya Dhiya Zafira-Jauh Kau Pergi. Novel ini sempat ditatapnya sebelum beliau terbang ke Mekah untuk umrah pada Sabtu lalu. Kepada yang belum memilikinya, tunggu apa lagi...segeralah ke kedai-kedai buku berhampiran!

Aku tidak pernah memilih dia sebagai pelindungku. Aku tidak pernah menganyam impian untuk hidup bersamanya. Kasih terhadapnya tidak pernah lebih dari yang sepatutnya. Sesungguhnya dia tidak pernah ada dalam perancangan masa depanku. Dia hanya seorang sahabat. Namun sesuatu berlaku, menyebabkan haluan kami bertemu. Tiba-tiba aku memilih dia. Aku mula mengait benang rindu buatnya. Aku kasihkan dia lebih dari segalanya. Tetapi dia, ternyata bukan untukku. Aku bukan pilihan dia! Tetapi...menyerah kepada takdir itu bukannya bererti menyerah kalah, kerana manusia ditakdirkan untuk menang, bukan?

Rif ~ Muliakah hubungan yang dipenuhi pendustaan? Sucikah cinta yang tercemar keraguan? Untuk dia...aku sanggup hadapi segala-galanya. Kerana dia, aku rela mempertaruhkan nyawa. Hanya untuk dia...aku reda. Ada apa dengan dia yang menjadikan semuanya serba tidak kena?

Afi ~ Aku tidak mampu bersaing dengan masa silam, untuk terus melangkah ke hadapan. Betapa Jauh Kau Pergi....namun aku tetap setia menanti...

04 Julai 2010

Kemaskini blog-aktiviti saya Jun 2010

Tiada niat untuk membiarkan blog saya ni bersawang. Dari dulu, jika blog bersawang saya memang susah hati. Biasanya saya pasti akan memuat naik sesuatu ke blog ni tak kiralah walau sekadar sekeping gambar. Jika mahu bercuti, saya pasti akan memberitahu awal-awal tentang blog saya yang turut akan bercuti. Sejak kembali sibuk ni, saya cuba menghindari agar membenarkan rumah saya bersawang. Namun, kita hanya merancang.....

Apa yang saya sibukkan sangat minggu-minggu yang telah berlalu? Inilah dia....

Menguruskan Terapi Air untuk anak-anak murid saya.
Menyelit di program Jom Baca Bersama sempena Pesta Buku Selangor

Menjadi penyokong Jerman sempena Piala Dunia

Apa lagi yang saya buat? Saya juga dikunjungi teman-teman dari SKBR. Haha. Berborak sambil makan-makan nasi beriani. Nyata ramai yang terkejut dengar saya boleh masak nasi beriani. Hehehe. Dah ada order masuk ni untuk nasi beriani saya.

Sabtu lepas, sempat ke KLIA dengan Kak Eka Fahara menghantar Dhiya Zafira dan Shanika Latisya yang berangkat ke Tanah Suci mengerjakan umrah. Semoga teman-teman mengutip pengalaman berharga, selain beribadat di tanah Suci. Doakan saya juga dapat ke sana dalam tempoh terdekat ini ya. Semoga mereka selamat pergi dan kembali tidak lama lagi.

Minggu ini dah masuk Julai. Ada macam-macam sedang menanti. Semoga segala-gala yang direncana mendapat keberkatan dari Nya. Jumpa lagi!

25 Jun 2010

Pesta Buku Selangor 2010

Jika tiada apa-apa rencana silalah ke Pesta Buku Selangor pada 26-27 Jun ini di Kompleks PKNS, Shah Alam yang bakal dirasmikan oleh Sultan Selangor. Temui penulis buku terbitan Karangkraf di sana. Klik sini untuk maklumat lanjut.

InsyaAllah jika tiada aral melintang, saya dan beberapa penulis akan melepak di sana untuk menyemarakkan lagi program Largest Reading Event di Taman Tasik Shah Alam pada 26 Jun 2010 (Sabtu). Inilah aktiviti pertama saya setelah 2 tahun menyepikan diri dalam aktiviti dunia penulisan. Jumpa di sana!

20 Jun 2010

Alkisah Kad

Macam-macam kad ada dalam dompet kita kan? Kadang-kadang sampai nak pecah kulit dompet kita semata-mata kerana memasukkan kad yang macam-macam. Ada kad diskaun di macam-macam pasaraya/pusat membeli-belah dan macam-macam lagi. Ada pula kad kredit sampai 3,4 (hehehe saya ada 1 aje, itupun suplement jer). 

Bila saya ke Jerman, semua kad-kad itu saya simpan dalam satu folder, untuk digunakan pada masa akan datang (bila pulang). Namun dengan kad yang saya simpan itu,  rupanya tidak berguna kerana :
i- kad Touch n Go jika tidak digunakan/aktif selama setahun sudah tidak boleh digunakan lagi dan semua prepaid di dalamnya lupus.
ii- kad-kad diskaun hayatnya tidak panjang kerana harus diaktifkan dengan yuran tahunan ataupun dikeluarkan baru/dikemaskini
iii-smart card astro harus dipulangkan kembali jika tidak mahu dicaj RM80 untuk kad yang baru jika mahu disambung semula penggunaannya

Jadi, dari menyemakkan folder anda dengan macam-macam kad, adalah lebih baik lihat terma dan syarat penggunaan kad tersebut. Jangan nanti dah masuk lorong Touch n Go untuk menambah nilai, anda kena mengundur keluar ke lorong lain pula. Tak ke menyusahkan orang lain? (macam saya tapi mujur saya ada 2 kad TnG, jadi tak adalah rasa pengalaman mengundur tu).

17 Jun 2010

Peminat Jerman dan Bastian Schweinsteiger

Saya memang minat dengan pasukan Jerman. Kalau tak ada piala dunia, saya tetap menonton pasukan kegemaran saya ini beraksi di Bundesliga (Liga bolasepak Jerman), pastilah kalau di Jerman, saya suka menonton pasukan Bayern Munchen (Bayern Munich) walaupun sepatutnya tinggal di Berlin kenalah sokong Hertha Berlin. Saya yakin juga, anda di luar sana pasti ada juga yang meminati pasukan Jerman. Tidak hairan kerana Jerman pasukan yang memang ramai peminat di seluruh dunia. Keghairahan dengan pasukan ini pastilah hingga ada yang memilih untuk memakai jersey pasukan Jerman malah ada yang fanatik hingga memakai jersey pemain kegemaran mereka.

Siapa pemain kegemaran saya? Podolski, Klose, Ballack (sayang tak main), Ozil dan pastilah bukan Bastian Schweinsteiger. Bukan kerana apa, kerana kalau namanya itu tidak sesuai dipakai di belakang jersey. Saya pernah nampak ada penyokong di Malaysia yang memakai jersey milik beliau. memanglah mula-mula dulu tak tahu, tapi bila sudah tinggal di Jerman, barulah saya buka mata. Anda tentu sekali tidak mahu memakai jersey namanya walaupun anda peminat fanatiknya kerana maksud nama Schweinsteiger itu dalam bahasa Jerman lebih kurang Schwein = pig/pork dan steiger = chaser/mining (pit) foreman...

Tak tahu tak apa, tapi kalau dah tahu??? Sama juga macam mereka yang sanggup pakai jersey yang jelas-jelas tulis nama penaja arak. Fanatikpun biarlah bertempat....

Jerman akan mengganas lagi. Tak sabar nak tengok Jerman beraksi! Selamat menonton Piala Dunia! Saya meramal Klose akan dapat kasut emas lagi....hehehe

16 Jun 2010

Jom Makan! : GP Jati Beriani House

Restoren GP Jati Beriani House ini baru dibuka Jun tahun ini. Terletak di pintu masuk Putrajaya-Dengkil, restoren ini menawarkan nasi beriani dengan susunan perabot kayu jati selari dengan namanya.
Restoren ini menawarkan resepi nasi beriani asli original dari Batu Pahat seperti nasi beriani ayam merah/ayam beriani, daging, kambing dan ikan keli. Tiada menu selain nasi beriani dijual di sini. Restoren ini dibuka bermula jam 11.00 pagi setiap hari. Jika ada masa, marilah singgah menjamu selera di restoren yang menawarkan nasi beriani yang lembut dan sedap dalam haruman perabot kayu jati. Hehehe...sambil-sambil makan, boleh pesan perabot jati kat sini....Cubalah!

perabot kayu jati di mana-mana di restoren ini, baru dibuka masih banyak kerja2 penyelenggaraan

beriani daging-hidangan sepinggan tidaklah terlalu banyak, cukup untuk seorang makan terutama yang berdiet tapi mahu cuba nasi beriani

nasi beriani ayam merah/beriani
pandangan luar

Kalau dah bosan dengan restoren di sekitar Putrajaya, bolehlah cuba pula di restoren baru ni ya!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...