31 Ogos 2009
Selamat Ulangtahun!
29 Ogos 2009
KEMBARA EROPAH: Mengembara dengan Keretapi Laju German (ICE)
Konon-konon nak menyiapkan manuskrip....
27 Ogos 2009
Taman Tema Warner Park (Movie World) Madrid, Sepanyol
menemankan Hakimy bermain...nampak sangat tak mencabar...
Bermacam-macam permainan yang budak-budak ni hendak mencuba tetapi permainan yang kebanyakannya tidaklah mencabar cukup untuk sekadar menggembirakan. Kelakarnya kerana saya mengandung permainan yang paling mudah seperti menaiki keretapi pusing-pusing taman tema pun tidak dibenarkan. Saya ketawa kerana kasihan kepada abang yang terpaksa menemankan anak-anak bermain sendirian. Nampaknya saya hanya masuk membayar tiket Euro28 hanya untuk menjadi jurgambar dan juruvideo profesional anak-anak dan abah mereka. Tetapi puas hati juga kerana kali ini memang banyak gambar dan video aksi-aksi mereka sedang bermain dapat dirakam.
tangki air Warner Brothers yang glamour tu
Paling tidak, saya dapat juga menonton aksi stun batman menyelamatkan heroinnya. Memang aksi stunt mereka tidak menghampakan. Bermula dari sekadar manusia biasa, Bruce Wayne transform kepada seorang penyelamat mencegah kejahatan. Banyaklah aksi kejar-mengejar, letupan di sana sini dan aksi ninja ditontonkan kepada umum. Tapi pertunjukan itu dalam bahasa Sepanyol. Jadi kami main agak-agak saja apa intipati ceritanya.
stunt show oleh Batman
sempat bergambar dengan Tom sebelum pulang
26 Ogos 2009
Rindu Untuk Dia- Novel terbaru dari Dhiya Zafira
23 Ogos 2009
Merdeka Family Day (khusus untuk warga Malaysia di Jerman)
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti oleh ucapan Duta Besar Malaysia di Berlin. Acara seterusnya ialah bacaan doa dan diikuti dengan upacara makan-makan. Kali ini juadahnya memang menyelerakan dimasak oleh warga Malaysia yang sudah dimodifikasi mengikut bahan yang ada di sini. Alhamdulillah sedikit sebanyak kerinduan terhadap masakan Malaysia terubat juga.
Yang paling seronok tentulah kanak-kanak. Walaupun panas terik dan muka putih kena tepung tidak kisah. Kalau boleh hendak pulang sampai petang dek seronknya dapat bermain bersama kawan-kawan hingga ada yang terlupa hendak makan. Mujur saja bekalan gula-gula hasil permainan tadi banyak buat melupa seketika perjalanan selama 2 jam pulang ke rumah dengan keretapi.
Usaha pihak Kedutaan menganjurkan majlis ini sangat-sangat dialu-alukan. Ia dapat meningkatkan semangat patriotik dan ukhwah di kalangan rakyat Malaysia yang tinggal di Jerman.
22 Ogos 2009
Ramadhan di Perantauan
Jika di Malaysia, saat ini kami sekeluarga biasanya akan pulang ke kampung menyambut ramadhan pertama bersama orang tua tercinta. Jika pagi raya pertama tahun ini disambut di rumah ibu saya, maka biasanya kami akan menyambut ramadhan pertama di rumah ibu abang. Jika tidak berkesempatan pulang disebabkan tiada cuti, kami akan pulang juga berpuasa di rumah di kampung pada hari yang berkesempatan. Sudah menjadi tradisi kami sekeluarga begitu sejak berkahwin pada tahun pertama lagi. Alhamdulillah buat masa ini belum pernah lagi kami kena main osom untuk tentukan di mana hendak puasa pertama, di rumah siapa hendak beraya.
Bazaar Ramadhan yang selalu kami kunjungi selain dari di BSP, tentulah Sri Serdang. Sudah menjadi tradisi juga sejak kami belajar di UPM dulu, bazaar Ramadhan Sri Serdang harus dikunjungi. Bazaar yang selalu sesak dengan manusia ini hanya akan surut jika pelajar UPM pulang ke kampung. Jika tidak, bersedialah untuk berlanggar bahu. Menariknya kerana sudah bertahun-tahun ke sini, kami sudah cam sangat dengan penjual bazaar dan tahu gerai mana yang sedap, murah dan berbaloi untuk dibeli.
Bazaar Ramadhan paling mengeringkan poket tentulah bazaar Putrajaya. Kalau ke sini saya memang jarang beli kuih. Harganya mahal dan saiznya kecil. Dulu-dulu rajin beratur panjang hendak beli roti John istimewa Putrajaya tapi sekarang di BSP juga cawangannya ada. Satu lagi yang saya suka pergi tetapi jarang sampai tentulah bazaar Ramadhan Jalan TAR.
Jika ada masa, kami memenuhi tuntutan buka puasa dari teman-teman. Masa inilah teman-teman hendak membuat reunion. Saya paling tidak suka jika terpaksa berbuka puasa di KL. Sudahlah perut lapar, jalan sesak pula. Tetapi mengenangkan untuk memenuhi undangan dan bertemu teman-teman terpaksalah digagahkan diri ke sana. Syaratnya kenalah sediakan air dan buah kurma sebagai rancangan susulan jika Maghrib sudah masuk tetapi masih di jalan. Hotel-hotel juga berlumba-lumba menawarkan pelbagai pakej berbuka puasa. Yang paling tidak boleh lupa tentulah menu istimewa kambing panggang Hotel Residence, Bangi.
Di Malaysia juga, masjid berlambak-lambak. Surau-surau juga ada yang buat solat Terawikh. Masa ini seronok tengok ramai orang beribadat di bulan Ramadhan, masjid memang penuh sesak dengan manusia.
Itu semua kenangan pada hari-hari yang telah lepas. Realitinya saya di bumi asing di Berlin, Jerman. Tahun ini kami berpuasa dari jam 4 pagi hingga 8 malam kira-kira 16 jam. Jika di Malaysia kita biasa berpuasa dari jam 5 pagi hingga 7.30 malam kira-kira 14 jam 30 minit. Ini disebabkan sekarang ini waktu summer, siangnya agak panjang dari malam. Hari pertama berpuasa, kami sudha terlepas sahur. Semuanya gara-gara tersilap kunci jam. 2.45 pagi terkunci 2.45 petang. Jadi memang kami berpuasa 22 jam kerana kami makan terakhir jam 10 malam! Memang memenatkan hingga saya tidak lalu untuk berdiri lagi. Jadi abang yang masak untuk berbuka hari ini. Menunya inilah yang setakat termampu. Kalau di Malaysia tentu juadahnya meriah lagi....
21 Ogos 2009
Usain Bolt di IAAF Berlin World Athletics Championships 2009
Saya pernah membuat entri tentang kedatangan Raja Pecut Dunia, Usain Bolt ke Berlin tidak lama dulu bersempena Kejohanan IAAF kali ke 12 yang berlangsung dari 15 hingga 23 Ogos 2009. Jika anda ingat, kata saya "Tercapaikah hasrat saya untuk melihat dia beraksi di depan mata sendiri?" Jawapannya tidak!
Pertama kali dia menang acara 100m dan mencipta rekod dunia pada 9.58s, saya menontonnya melalui live internet streaming ketik berada di Stuttgart, Jerman. Kali kedua dia menang acara 200m pula dan mencipta satu lagi rekod dunia pada 19.19s , saya menontonnya melalui TV secara langsung di rumah saya di Berlin.
Hari ini (21 Ogos) dia akan beraksi pula untuk acara 4x100 meter pula (separuh akhir) jam 7.30 malam waktu tempatan. Saya tetap tidak dapat melihatnya secara langsung kerana hari ini adalah hari pertama Ramadhan dan dengan keadaaan saya yang begini, tentulah angan-angan itu tidak akan menjadi kenyataan.
Dalam usia beliau hanya 22 tahun, rasanya selepas ini dia akan terus memecahkan rekodnya sendiri. Mungkin di lain masa dan kesempatan, saya akan dapat melihatnya beraksi. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Kepada Usain Bolt "Semoga impian anda menjadi lagenda akan tercapai dan selamat mencipta lebih banyak rekod baru!"
ps-semasa saya mengemaskini entri ini, Usain Bolt telah menang dalam acara 4x100 meter sepertimana dijangka, emas ketiganya menyamai pencapaian olimpik.