Bersempena sambutan hari Kemerdekaan tahun ini yang jatuh pada bulan Ramadhan, Kedutaan Besar Malaysia di Berlin telah mengambil langkah awal dengan mengawalkan sambutannya. Kali ini ia diadakan berkembar dengan sambutan Hari Keluarga sekali. Jadi majlis 2 dalam 1 ini memang meriah dihadiri oleh seluruh warga Malaysia yang dapat hadir dari seluruh pelusok Jerman ini. Majlis 2 Ogos ini diadakan di Potsdam, Berlin.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti oleh ucapan Duta Besar Malaysia di Berlin. Acara seterusnya ialah bacaan doa dan diikuti dengan upacara makan-makan. Kali ini juadahnya memang menyelerakan dimasak oleh warga Malaysia yang sudah dimodifikasi mengikut bahan yang ada di sini. Alhamdulillah sedikit sebanyak kerinduan terhadap masakan Malaysia terubat juga.
Sambil menjamu selera dan berbual mesra, acara sukaneka diadakan. Kanak-kanak yang paling gembira kerana dapat masuk macam-macam acara. Yang menang sudah tentu dapat hadiah. Yang kalah turut sama dapat hadiah. Ada macam-macam acara seperti rebut kerusi, masuk air -dalam botol, cari gula-gula dalam tepung dan sebagainya. Hardy masuk pada semua acara. Hakimy masuk acara rebut kerusi saja dan yang kelakarnya, bukan dia rebut kerusi tapi dia pegang kerusi....
Yang paling seronok tentulah kanak-kanak. Walaupun panas terik dan muka putih kena tepung tidak kisah. Kalau boleh hendak pulang sampai petang dek seronknya dapat bermain bersama kawan-kawan hingga ada yang terlupa hendak makan. Mujur saja bekalan gula-gula hasil permainan tadi banyak buat melupa seketika perjalanan selama 2 jam pulang ke rumah dengan keretapi.
Usaha pihak Kedutaan menganjurkan majlis ini sangat-sangat dialu-alukan. Ia dapat meningkatkan semangat patriotik dan ukhwah di kalangan rakyat Malaysia yang tinggal di Jerman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan