28 Februari 2009

Tenggelam dalam kenangan....

Dah genap tiga tahun anak teruna saya yang bongsu ni si Hariz Hakimy 30 Januari lalu. Rasa macam baru semalam tengok dia lahir di Hospital Putrajaya. Baru tumbuh gigi, ada gigi 1, kemudian 2 kemudian 4 dan hinggalah sampai dah menggigit kuat..... Hari ini masa tengok gambar-gambar lama teringin nak upload gambar si Hakimy ni masa kecil-kecil yang saya suka tengok....

itu masa ada gigi 4....

Yang dua keping gambar kat bawah tu gambar dia tidur meniarap. Sampai sekarang tak berubah. Hinggakan lampin selalu basah sebab dia tidur macam tu. Saya suka tengok sebab macam kiut jer...


Hari ini mulut dia dah macam bertih goreng. Ada saja dia nak bercakap. Sekarang dialah teman saya bila abang dia pergi sekolah dan abahnya ke kuliah. Kata-kata dia yang saya suka ialah : " Mama ni kedekut lah... tak nak senyum dengan Hakimy... Why so serius?" Kadang-kadang dia buat aksi silap mata yang dibelajar dari Pak Sunya melalui web cam. Dia bising "Kape duit Hakimy tak patah?"

Saya rajin melayan dia bercakap. Kalau kami menonton cerita di TV, dialah orangnya yang mulut tak reti diam. Ada banyak benda yang hendak ditanya dan biasanya akan bermula dengan "Kape dia...." Bila satu soalan dah dijawab dia akan mula tanya soalan lain pulak. Hinggakan abangnya selalu pesan jangan bising-bising masa tengok wayang. Telatahnya sering buat saya tak kering gusi....Dialah penawar sunyi di hati saya....

Kebelakangan ini, bila Hakimy mula bercakap sepatah dua perkataan Deutsch seperti shockolade, tomaten, bananen, orangensaft....semasa berkomunikasi dengan saya, saya seakan baru teringat... yang kami sudah hampir 6 bulan tinggal di Berlin!

27 Februari 2009

Lynn Dayana Kembali Lagi...Dengan Novel Barula...



Teman saya yang seorang ini begitu gigih menulis. Dia yang saya kenali hampir 5 tahun rasanya semasa mengikuti bengkel penulisan dulu tidak banyak berubah. Yang berubah mungkin kerana gelombang emosi. Tapi saya mengagumi dia kerana semangatnya menulis di celah-celah kesibukan pekerjaan di Pizza Hut.

Dalam tempoh 3 tahun ini 3 buah novelnya telah diterbitkan oleh Alaf 21 Sdn Bhd. Yang menariknya tentang Lynn, tajuk-tajuk novelnya sentiasa kreatif di hujung bibir. Bermula dengan Jika Benar Cinta yang sudah tercetak beberapa kali, kehadiran Hak Cinta Terpelihara mengesahkan bakat semulajadi yang ada padanya. Kali ini Lynn kembali dengan TLC... hehehe Tarikh Luput Cinta... Saya sudah terbayang novel keempatnya yang bertajuk....biarlah rahsia dulukan...yang pasti memang catchy dan mudah diingati kerana lain dari yang lain....Kalau anda nak tahu cik Lynn kita ni terror gak bab buat blurb... hehhe yang korang baca kat belakang kulit buku tu la. Dia memang berbakat dengan meringkaskan sebuah cerita! Tapi saya lagi terror! Kalau buat blurb abang selalu kata...tak payah buat lah...baca kat belakang orang dah tahu citer pasal apa... Blurb saya jadi ringkasan cerita yang betul-betul meringkaskan sebuah buku yang tebalnya 400 ms itu....

Jadi kepada peminat novel dan peminat Lynn Dayana, dapatkan senaskah dua novel ini untuk simpanan anda! TLC seperti novel-novel Lynn yang lain, pastinya menyajikan sesuatu yang fresh from the oven! Tahniah untuk Alaf kerana punya novelis seperti Lynn Dayana dan Tahniah juga untuk Lynn yang sentiasa meletakkan satu tangannya di keyboard walaupun satu tangannya yang lagi satu sibuk mengesat air mata!

Sinopsis dari Lynn
Airel, Imanina dan Rezzal mesti bersaing demi harta bernilai RM 22.5 juta. Saat harta menjadi taruhan, nyawa manusia mula kehilangan nilainya. Pertarungan pun bermula untuk menjadi pemenang namun apabila hati mula berantakan kerana cinta, emosi dan logik pun mula bersengketa mencari ruang untuk berkuasa. Mana satu arah mahu mereka tuju?

Bagi Imanina, pendirian dia dan Airel jauh berbeza. Airel di utara, dia di selatan. DI KL sentral, Rezzal mendoakan mereka bertemu. Namun hatinya tidak mahu. Tidak sanggup menerima Airel si kacang hantu! Airel mesti ditumpaskan.
Manakala warna pelamin imanina dan Airel, Rezzal yang mengangankan. Ada masanya, Rezzal berdoa biarlah Imanina pekak manakala Airel pula bisu, agar dunianya jadi lebih tenang walaupun hanya untuk sesaat! Mereka berdua memang menyusahkan!
Kata Rezzal, skala cinta Airel pada Imanina, bagaikan 7 gunung, 7 lautan dan 7 langit. Sedangkan bagi Airel, sebagai kekasih gelap dia tidak mahu, kekasih separuh masa dia tidak rela! Sayang pada Imanina yang hanya seinci, tidak mungkin menjadi seela!
Maka perang pun bermula tanpa menyedari, ada insan keempat yang mahukan bahagiannya. Lalu bingkisan demi bingkisan dari dia yang mengaku sebagai Pencinta mengundang keraguan dan sejuta persoalan? Antara nilai persahabatan, peluang percintaan dan harta dunia yang berjuta, mana satukah yang mahu dijadikan pilihan?



Blurb original dari belakang buku :
Airel, seorang eksekutif muda dituduh pecah amanah kerana menggunakan wang syarikat. Disebabkan tuduhan itu, dia diberhentikan kerja serta-merta. Dalam kesempitan hidup, tiba-tiba dia ditawarkan dengan harta bernilai RM22.5 juta daripada seorang lelaki yang tidak dikenali. Namun, untuk meraih harta itu, dia dikehendaki ke Langkawi. Di sana, dia bertemu dengan Rezzal dan Imanina.
Mereka juga mendapat tawaran yang serupa.

Tuan Haji Kamarul, seorang lelaki tua yang sangat berpengaruh. Namun, sayang... Dia tiada anak untuk mewarisi segala perniagaannya. Lantaran itu, Airel, Imanina dan Rezzal telah dipilih untuk menjadi pewarisnya. Namun, dia bukan ingin memberi dengan cara yang mudah. Tarikh luput diberikan kepada mereka untuk merebut harta ini.

Pada saat impian hampir tercapai, tiba-tiba wujud insan keempat sebagai pesaing. Pesaing yang inginkan mereka semua musnah! Musnah, supaya harta yang diidam-idamkan itu menjadi hak mutlaknya seorang. Namun, siapakah insan keempat ini dan apakah muslihat Tuan Haji Kamarul memilih mereka untuk merebut hartanya?

Sempatkah salah seorang daripada mereka memenangi pertandingan ini sebelum tarikh luput yang diberkan? Tarikh Luput Cinta... Debarnya menyesakkan dada!


ps: sila dapatkan juga novel dari Eyman Hykal-Meniti Maut... novel ketiga buah tangan beliau yang nyata berlainan sekali dari novel pertama dan keduanya...Mungkinkah beliau sedang bereksperimen?

26 Februari 2009

Dah Habis Hibernate?


hehehe...gambar ini tiada kaitan dengan cerita ini

Tak sampai seminggu hibernate... saya dah penat. Rasa rindu menulis di blog membuatkan saya menyingkatkan masa hibernate itu... Tentu ada yang tertanya apa yang saya buat masa hibernate... Tak ada apapun... Saya cuma rasa bosan sendirian... Lalu saya menulis dan menulis dan ZZZZZZZZZ. Lebih ZZZZZZZZZZ sebenarnya dari menulis. Adalah diisi dengan aktiviti kelas masak-memasak; nasi ayam, mee kari dan kuih lapis.

Cadangnya hujung minggu ini kami sekeluarga (tanpa abang...ish ish) akan main ski di Goslar, Jerman. Tetapi memandangkan saya harus menolak Hakimy dengan stroller di kawasan ais itu terus saya fikir, berdua lebih baik... hehe tentunya dengan abang. Jadi hasrat itu batal. Mungkin musim winter yang akan datang kami sekeluarga akan pergi main ski bersama-sama. Oleh itu hujung minggu ini kami akan keluar juga, ke Muzium Matematik....hehe macam tak masuk je nak ganti main ski...

Sehingga jumpa lagi!


kami tidak sabar menanti 2 April

20 Februari 2009

Pengumuman Cuti : Hibernate untuk seketika

Untuk beberapa ketika, blog ini mungkin akan sengaja ditinggalkan bersawang (sekurang-kurangnya seminggu dua). Di akhir-akhir musim sejuk ni tuan rumah hendak berhibernate seketika. Harapnya dengan hibernate itu banyak benda terbengkalai dapat saya sudahkan.... Jumpa lagi nanti dan jangan jemu menunggu saya....

18 Februari 2009

Bercinta...tidak semestinya bersatu...

Siapa yang ingin jatuh cinta hanya jika untuk terluka
Siapa yang ingin jatuh cinta hanya jika untuk tenggelam dalam air mata
Siapa yang jika diberi pilihan, tidak mahu hidup bersama kekasih hatinya
Siapa yang mahu hidup sengsara
Membiarkan kekasih hati hidup bahagia
lalu diri menanggung derita
tetapi itulah erti cinta bagi sesetengah mereka
Cinta tak semestinya bersatu
Cinta tak semestinya keduanya bahagia ke jinjang pelamin


Cinta itu boleh juga jadinya...
Asalkan si dia berbahagia, saya sudah pun punyai seluruh dunia
tidak mengapa tidak bersama
kerana cinta tak semestinya bersatu
Jika akhirnya kita akan mengatakan
"Cukuplah melihatnya bahagia dengan orang lain yang berhak membahagiakannya"
kerana jodoh, ajal dan maut ketentuan dariNya
Kita hanya merancang, Dia menentukan


Sekuat manapun kita berusaha
jika akhirnya kita akan mengatakan
"Usaha saya sampai di sini saja"
Jika tidak tertulis jodoh kita dan dia
Ia pastinya tidak akan membawa kita ke mana-mana
Kerana jika benar dia dan kita memang ditakdir bersama
Dalam dunia lain pasti tetap bersama juga
InsyaAllah...pada masa yang akan datang, dia akan kembali juga....

ps; sajak ini ditujukan istimewa buat dua insan istimewa dalam hidup saya, satu di Malaysia dan satu di UK yang berkongsi nama yang sama....yang begitu tegar mempertahankan cinta kerana mereka tahu cinta itu tidak semestinya bersatu. InsyaAllah, sebagai teman, saya akan sentiasa meminjamkan bahu dan telinga walau mendengar cerita yang sama dari mereka. Kerana dalam persahabatan; tiada sempadan antara kebahagiaan dan penderitaan...tiada sempadan antara kelebihan dan kekurangan. Kita akan sama-sama mengharunginya....walau berkali-kali saya katakan....hidup ini harus diteruskan...dan berhentilah mengesat air mata luka.

Laila@Berlin
18 Februari 2009
8.01mlm

Rutin Baru Setiap Hari

Kalau di Malaysia pada waktu hari bekerja memang saya susah nak buat sarapan pagi sebab jam 6 sudah harus bersiap untuk ke tempat kerja. Tapi bila di sini setiap hari saya harus menyediakan sarapan pagi untuk Hardy juga untuk abang. Yang barunya, saya harus menyediakan bekalan makanan untuk Hardy makan pada waktu Pause (rehat). Di sini sekolahnya tiada kantin, jadi guru dan murid makan bersama-sama dengan makan bekalan masing-masing. Bagusnya kejadian cirit-birit payah nak jadi sebab ibubapa yang sediakan bekalan makanan dari rumah.
Saya fikir-fikir, kalau benda ni digunapakai di Malaysia, mesti dapat tentangan dari ibubapa...juga pengusaha kantin...satu kena bangun pagi masak, dan satu lagi tentu bengang sebab bisnes depa lingkup. Yang untungnya tentu makcik jual nasi lemak tepi jalan. Pasti makin laris jualan mereka... Tapi yang bagusnya, kuranglah berita pasal keracunan makanan di sekolah. Cikgu-cikgu pun tak adalah susah nak hantar murid ramai-ramai ke hospital...

16 Februari 2009

Ada Berapa Imej Kami?

Cuba kira ada berapa imej kami dalam gambar-gambar di bawah? Bolehkan anda teka juga di manakah diri kami yang sebenar? Adakah di kiri, kanan atau di tengah atau di celah-celah cermin kecil? Gambar ini dirakam di Sealife and Aquadome, Berlin. Menarik terowong ini kerana ilusi optik yang terhasil akibat pantulan cermin ini menyebabkan kami terpaksa meraba-raba mencari jalan keluar dan terpaksa memanggil nama anak-anak yang sudah berjalan di depan kerana risau mereka hilang... Menakjubkan!

Ada 3 imej gambar Hardy dan Hakimy
Ada 4 imej gambar abang dan 1 saya sebagai jurugambar pun ada imej juga

Ada 3 imej gambar saya dan 1 abang sebagai jurugambar


Ada 5 imej gambar Hardy dan Hakimy


Ada 5 imej gambar Hardy dan 3 imej Hakimy

14 Februari 2009

Rumah Terbakar Panggil Bomba

Bomba datang berlumba-lumba.... Ingat lagi dengan lagu kanak-kanak itu? Tapi saya bukan hendak bercerita tentang lagu kanak-kanak. Ini cerita benar tentang kelalaian saya yang hampir menyebabkan saya memanggil bomba dan mendail nombor 112.
Di sini saya menggunakan dapur elektrik. Ada empat tungku. Dapur elektrik ni yang kelakarnya kalau letak kertas tak terbakar pun. Letak lilin pun sumbunya tak menyala tapi ia memang panas. Sudah beberapa kali saya salah menyalakan tungku. Nyala yang ini, tapi yang sebelah sana yang menyala. Entah kenapa saya ni tak perasan sedangkan memang sah lagi nyata, label yang diletakkan di depan dapur tu.
Hinggakan suatu hari saya memasak air. Sambil tu saya santai-santai di depan TV. Dua kali abang tanya, masak apa. Saya kata masak air aje.... Mungkin dia sudah terbau sesuatu tetapi bila dia lihat saya tenang saja, dia turut tidak ambil kisah. Sampailah Hardy kata "Mama, apa yang bercahaya kat dapur?" Kami semua ke dapur. Rupanya kelalaian kali ketiga itu memang membawa padah. Api di dapur sudah menjulang. Habis kabinet dapur saya dimakan jelaga.
Rupanya saya menyalakan tungku yang salah sekali lagi. Air langsung tidak panas tetapi yang berapi itu adalah periuk yang mengandungi minyak. Mujurlah Tuhan masih menyayangi kami.... Jika tidak... entahlah...

Untuk Dalilah!

Yang selalu keep in touch dan menghantar berita-berita sensasi ke Berlin; inilah jawapan saya kepada soalan-soalannya bila saya memberitahu hasrat suci murni saya hendak makan buah Melaka. Soalannya ada 4 tapi saya biarkan saja tidak berjawab:
1-Ada tak tepung pulut di Berlin?
2-Bagaimana dengan daun pandan?
3-Kelapa parut macam mana?
4-Gula kabung mana nak cari?
Inilah hasilnya dari resepi yang dikirimnya ke Berlin. Dah menjadi dah buah Melaka saya! Terima kasih....daun keladi....Walaupun tidak berapa cantik di dalam gambar tapi rasanya dapat mengubat seribu rindu pada keenakan buah Melaka di Malaysia. Hehehe. Rupanya orang keras tangan ni boleh juga buat kuih...yang hairannya semua kuih yang saya cuba di sini menjadi...bermaksud boleh dimakan la. Bak kata Emy, teman saya di Berlin "Kat Berlin ni masak apa saja semua menjadi kak." Betullah.... Hanya perlukan sedikit kreativiti..... mengubah bahan di sana sini...

13 Februari 2009

Pakej Fotografi Perkawinan oleh MrCats

Kepada sesiapa yang sedang merancang untuk melangsungkan perkahwinan dan sedang mencari-cari fotographer untuk majlis indah tersebut, apa kata berkunjun ke blog MrCats untuk melihat senarai harga pakej yang ditawarkan.

Rasanya pakej tersebut boleh ditawarkan di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor sahaja kot. Kenalah tanya pemilik blog tersebut, MrCats. Mungkin kalau sebut Laila Kamilia yang rekomen, boleh dapat diskaun kot, kan MrCats kan?

Berkunjunglah ke blog http://88greenwedding.blogspot.com/ untuk mendapatkan pakej terbaik anda.

12 Februari 2009

Puasa Pertama di Perantauan

Hari Isnin lalu (9 Februari 2009), buat pertama kalinya saya berpuasa di Berlin. Ini pengalaman pertama saya berpuasa di perantauan setelah 4 bulan berada di Berlin. Sepatutnya saya ganti puasa pada awal atau pertengahan winter yang lalu kerana waktu berbuka jam 4 petang lebih tetapi asyik bertangguh dengan alasan masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan winter yang sejuk yang selalu menyebabkan perut saya lapar.
Tetapi di penghujung winter ini, hendak tak hendak, saya kena juga berpuasa memandangkan selepas ini waktu berbuka akan menjadi sangat panjang. Masih ada banyak hari lagi untuk saya mengganti puasa, jadi sedikit sedikit lama-lama akhirnya akan habis juga, insyaAllah.
Semasa berbuka, saya sengaja memilih untuk memakan kebab, bukannya makanan Malaysia kerana untuk merasa mood di perantauan. Saya pasang laptop dan bila azan kedengaran, saya berbuka dengan 3 biji kurma, kebab daging dan secawan air coklat panas. Kebetulan abang ada peperiksaan, jadi saya memang berbuka bersendirian. Sengaja saya tidak mahu mengajak anak-anak bersama-sama menikmati juadah ataupun makan di depan televisyen bagi memeriahkan waktu berbuka saya. Saya setting semuanya supaya saya dapat rasakan bagaimana rasanya berbuka di perantauan;jauh dari keluarga, jauh dari juadah enak-enak... Mmm...saya benar-benar merasakannya! Sesungguhnya ia bukanlah satu pengalaman yang menyeronokkan!

Nettbook 3 bulan... Ingatye Hardy!



Ingat lagi notebook di atas? Saya pernah membuat entri pasal nettbook Asus Aspire One yang abang belikan konon-konon nak bagi semanangat pada isterinya ini hendak berkarya...Hehehe. Apa sudahnya dengan nettbook yang baru 3 bulan dibeli itu?

Inilah sudahnya! Hardy terjatuhkan nettbook itu lalu cecair LCD monitor itu pecah.... Tak tahu nak kata apa. Nak kena rotan pun bukan boleh dapatkan balik nettbook tu. Sayang memang sayang, tapi sudah tentu sayang anak tu lebih lagi....
ps-gambar ini diambil supaya bila Hardy besar nanti, dia akan ingat pernah merosakkan laptop yang baru dibeli 3 bulan semasa berusia 7 tahun....hehehe.

10 Februari 2009

Fitnah berleluasa: tak tahu mana yang benar, mana yang dusta

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran). Surah al Baqarah Ayat 10.
ps; Yob dah berenti makan kat kedei Nyah Gayah sebab gawat bukannya sebab lepat pisang Yong sedap.

09 Februari 2009

Rahsia Turun Berat Badan!

Ini gambar saya yang terkini yang diambil semasa hari jadi Hakimy 30 Januari lepas. Betul ke saya dah kurus? Yang saya perasan, peha saya mengecil dan bila ditimbang saya yang dulunya hampir 60kg sudahpun hanya seberat 54kg. Memang saya kurus sedikit tetapi abang lagi kurus. Beratnya turun 8kg dalam masa 3 bulan lebih kami di sini. Sehingga Mac tahun depan saya sepatutnya sudah mencapai 50kg untuk menang taruhan dengan seorang teman....heehehe...macam dia yang kena belanja saya makan ni....
Masa kat Malaysia dulu, penat saya bersenam. Pernah juga cuba minum teh herba tapi akhirnya saya akur, hanya senaman yang boleh menguruskan badan saya tetapi taklah sedrastik ini saya kurus walaupun sedikit....
Saya dah jmpa formula untuk kurus. Jadi sesiapa yang hendak kurus tu bolehlah buang girdle, pil-pil herba atau asyik minum air masak untuk rasa kenyang...(hehehe sapa tu?). Masanya untuk anda tinggalkan kunci kereta dan motorsikal di rumah. Mulakanlah dengan berjalan kaki. Itulah rahsia untuk kuruskan badan yang paling berkesan.... Tak percaya? Cubalah dan beritahu saya hasilnya. Selamat mencuba!

Ape kehenye Yob???

Boleh sebut betul-betul tak ikut loghat Perak? Bunyinya kelakar tapi saya suka... sebab saya orang Peraklah... Terus-terang sejak kahwin, saya lebih banyak bercakap loghat Kedah dari Perak sebab abang orang Kedah. Bila saya ajak dia cakap Perak, tergeliat pulak lidah dia....
Sesekala bila saya marah anak-anak menggunakan loghat Perak, mesti anak-anak gelak. Mereka siap tanya, mama cakap apa... Loghat Perak ni memang best. Sesiapa yang biasa tengok Elly Suriati jadi Pak Bedah dalam drama Pah Bedah dulu, mesti setuju dengan saya...
Tapi hari ni teman bukan endak membebei pasei loghat...mane best... Teman sebenornya tengah bengang pasei politik negheri teman yang udah meraban.... Penin kepala teman.... Orang itu kata gini, orang ini kata gitu. Sampei kite tak tahu nak nilei yang mane satu betui yang mana satu tak betui....
Memang di akhio zaman ni, fitnah bermaharajalela. Itu belum kite bukak internet lagi... Yang herannya sampei sanggup bersumpah, ada pulak sampei ngangkat Quran. Bior bebenor Yob. Tak takut mati ke? Kita yang jadi pengadei udah pusin kepale tak tahu nak nyebelah yang mane. Udahnya kite bengang sendiri....
Nak senang cerite...dapat emel merepek, kalau tak betui sahihnya, buangkan aje. Usahle memandei nak menyampei-nyampei ke orang lain.... Nanti kalau cerite itu memang dibuat-buat tak pasei je kite dapat dosa percume.
Pade orang perak, teman doakan korang selamat ye. Usahle gaduh-gaduh. Teman yang jauh ni riso dibuatnya, mana nak tahu kot-kot sampei berbunuh-bunuh kerane kuase... Orang lain yang makan nangke kite yang kene getahnya.... Udah-udahlah Yob nyembang pasei politik kat kedei kopi Nyah Gayah tu....balik-balik le makan lepat pisang yang Yong kat rumah...zaman gawat-gawat ni elokle berjimat-cermat.
hehehee aku dah merapu.......

05 Februari 2009

Festival Filem Antarabangsa Berlin 2009

Festival Filem Antarabangsa Berlin atau Berlinale yang ke 59 telahpun bermula pada 5 Februari lalu. Tilda Swanson akan jadi Ketua Juri untuk festival kali ini. Filem The International membuka tirai festival pada tayangan pembukaannya pada hari ini 5 Fabruari. Filem ini dilakonkan oleh Clive Owen dan Naomi Watts. Antara bintang antarabangsa yang dijangka menyerikan festival kali ini ialah Keanu Reeves, Reenee Zelweger dan beberapa lagi artis ternama. Beberapa filem akan membuat tayangan perdananya dengan red carpet...hehehe jangan-jangan ada yang menempel seperti red carpet James Bond oo7.... Kepada yang bertanding... semoga berjaya...
Nota Tambahan-
Pada 6 Februari, Kate Winslet hadir di red carpet untuk filem The Reader
Pada 12 Februari, Renee Zelweger hadir di red carpet. Cadang nak pi tapi penat....
Pada 14 Februari, Michele Prefier hadir di red carpet.

04 Februari 2009

Cabaran Anak Kita di Zaman Ini.....

Baru-baru ini saya mendapat beberapa rantaian emel berkenaan seorang kanak-knak berusia 4 tahun yang ditinggal oleh van dari tadika di rumahnya yang tiada siapa-siapa kerana ibubapa bekerja. Sepatutnya anak itu dihantar ke tadika transit, bukannya ke rumah. Masalah ini berlaku kerana berlaku kekeliruan disebabkan pada tahun sebelumnya kanak-kanak ini dihantar terus ke rumah kerana ada pembantu rumah. Pada tahun ini, rumah itu tiada pembantu rumah dan kebetulan itu adalah hari pertama persekolahan. Anak itu merayap dengan kaki melecet disebabkan tidak berkasut di tengah panas. Mujur ada guru transit budak itu terjumpa kanak-kanak itu merayap dan membawanya pulang ke rumah.
Kemudian saya mendapat emel juga tentang pemandu van yang meninggalkan budak sekolah Tahun 4 kerana alasan budak itu terlambat kerana ada urusan dengan guru di sekolah. Mujur ada hamba Allah yang hendak membantu menghantar anak itu ke rumah dengan selamat.
Dalam hal ini masing-masing menuding jari mencari kesalahan orang lain.... Siapa yang harus dipersalahkan? Untuk kes yang pertama, Ibubapa yang tidak bercuti pada hari pertama sekolah dibuka? Kerana jika mereka bercuti, sudah pasti mereka dapat menguruskan persekolahan anak dengan sebaiknya. Atau pemandu van yang main tinggal anak di dalam pagar dengan anggapan ada orang di rumah? Atau guru di tadika yang melepaskan anak kepada pemandu van? Atau guru sekolah transit yang sepatutnya memastikan anak itu dihantar oleh pemandu van?
Bagi kes kedua, adakah guru bersalah kerana melepaskan anak itu lewat kerana ada sedikit masalah? Atau pemandu van kurang bertanggungjawab kerana tidak mahu menunggu sedikit masa lagi? Atau salah ibubapa kerana tidak mengambil tanggungjawab menghantar dan menjemput anak sendiri pulang dari sekolah?
Semasa saya hendak menghantar Hardy pertama kali ke sekolah dahulu, saya mempunyai dua pilihan sama ada henda menghantarnya ke sekolah yang berdekatan dengan rumah atau bersekolah bersama dengan saya. Saya senaraikan setiap kebaikan dan keburukannya. Jika saya menghantar dia ke sekolah berdekatan dengan rumah saya, dia tetap akan kena bangun awal kerana bas sekolah tiba jam 6.15pagi setiap hari. Bermakna dia harus bersiap sekurang-kurangnya jam 5.45pagi. Tetapi dia oleh juga dihantar oleh ayahnya semasa dalam perjalanan ke pejabat, jadi dia boleh keluar lewat sedikit. Tetapi bagaimana pula pada waktu pulangnya? Saya boleh menjemput dia kerana saya balik waktu tengahari tetapi bagaimana jika saya terpaksa berada di sekolah sedangkan sekolah saya jauh dari rumah. Saya boleh bagi kunci pada dia dan balik naik bas saja. Tetapi bagaimana dengan makannya di rumah? Bagaimana jika sebelum saya pulang, ada orang jahat datang ke rumah? Dan jika dia lapar dia main api dapur dan rumah terbakar?
Lalu saya fikir, iarlah dia ikut saya ke sekolah saya yang jauh itu. Sekalipun rumah kami jauh, sekurang-kurangnya kami keluar rumah selepas Subuh dan saya boleh memastikan dia makan dan selamat sampai ke rumah sekalipun kami sampai sudah agak lewat.
Saya tidakmenyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana setiap orang memainkan peranan masing-masing. Yang paling penting, pada zaman yang begitu mencabar bagi anak-anak kita, anak itu hendaklah dipastikan keselamatannya. Zaman sekarang tidak sama dengan zaman kita kanak-kanak dulu. Dulu ayah masih ada masa untuk megambil anak pada waktu tengahari atau pada bila-bila masa kerana ayah bekerja kampung. Dulu ibu sentiasa ada di rumah jadi jika anak pulang ke rumah, ibu sudah menanti di muka pintu dengan hidangan tengahari yang lazat. Kini ibubapa bekerja jauh dari rumah dan sekolah anak-anak. Kerana itu saya katakan anak sekarang punya cabaran yang hebat dalam menjaga keselamatan diri masing-masing.
Pada zaman ini bukanlah satu cerita baru, seorang anak darjah 1 dibekalkan dengan kunci rumah dan wang ringgit yang agak banyak untuk ke sekolah. Tujuannya supaya bila balik anak itu boleh membuka rumah sendiri, makan makanan yang sudah dibeli di kedai dan pergi ke sekolah agama sendiri. Pada waktu malam baru ibubapa dapat melihat anak mereka di rumah. Telefon bimbit diberikan kepada mereka untuk memastikan mereka dapat menggunakannya pada masa kecemasan atau dihubungi oleh ibubapa pada bila-bila masa.
Suatu hari semasa saya makan tengahari di medan seera di Putrajaya, kelihatan segerombolan anak-anak remaja datang ke medan selera. Mereka makan dan menyanyi dengan iringan gitar. Kadang-kadang bertepuk-tampar lelaki perempuan. Harga makanan mereka makan sama dengan harga makanan kita. Siap keluar rokok macam tiada apa masalah mereka. Kemudian saya terfikir, pastinya mereka makan di luar sebab ibu bekerja. Tentu mereka dibekalkan dengan amun duit yang banyak jadi mereka boleh makan sedap-sedap dan membeli rokok dengan baki duit itu. Silap-silap yang mana sudah terpesong jauh, boleh membawa teman wanita ke rumah. Kerana ibubapa tiada di rumah pada siang hari.
Cabaran anak sekarang memang begitu mencabar. Begitu juga dengan ibubapa yang terpaksa bekerja demi tuntutan material dan kehidupan tetapi berdepan pula dengan cabaran membesaran anak-anak zaman sekarang.
Saya berdoa semoga anak-anak kita sentiasa berada dalam lindungan Allah dan tabah menghadapi cabaran kehidupan moden. Itu tidak termasuk dengan tuntutan persekolahan yang begitu mendesak, di mana kecemerlangan merupakan ukuran keperibadian mereka. Bagaimana pula dengan kemajuan teknologi yang semakin pantas meningglkan kita jika kita tidak mahu berjalan seiring dengannya. Sama-samalah kita letakkan yang terbaik untuk anak kita dan mengorbankan lebih masa dan tenaga kita. Hidup ini bukan sekadar RM semata-mata. Sekejap saja, mereka akan dewasa dan kita teah terlepas saat keemasan bersama mereka melihat mereka membesar di depan mata!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...