27 Jun 2008

Sertai Kuiz Rindu Belum Berhenti



Bagi yang telah memiliki novel terbaru keluaran Alaf21, jangan lepaskan peluang untuk memenangi hadiah istimewa dari penulis novel Dhiya Zafira (khabarnya hadiah didatangkan khas dari Sepanyol). Sila jawab soalan-soalan mudah ini sebelum 31 Julai 2008 ke dhiya_zafira@yahoo.com.


1. Apakah nama tempat peranginan yang diusahakan oleh Adni Zuhayra?
2. Kenapakah Izz merahsiakan kepulangannya daripada pengetahuan keluarga dan Adni?
3. Berapa lamakah hukuman sebenar yang dijatuhkan ke atas Izz?
4. Apakah hubungan sebenar antara Pot dan Murni?
5. Berapa lamakah tempoh pertunangan Adni dan Khairy?
6. Sebab apakah yang membuatkan Izz merasakan Pot mempunyai komplot bersama Murni?
7. Apakah yang menyebabkan identiti sebenar Zack terbongkar?
8. " Saya menyukai RINDU BELUM BERHENTI kerana.............( lengkapkan ayat ini).

Selamat Mencuba dan Selamat Membaca!

ps: Yang belum baca, sila dapatkan novel ini di pasaran...

22 Jun 2008

Berakhirnya Prison Break Season 3 (Spoiler Alert!)


Malam esok akan berakhirlah penantian penuh debaran, pengakhiran musim ketiga! Walaupun epidod terakhir hanya akan berakhir esok, tetapi dek kerana tidak sabar menanti, saya telah menonton episod terakhir itu beberapa hari yang lalu (melalui DVD kawan yang didownload daripada internet!).


(Spoiler alert!!!) Dalam episod terakhir ini, Scoffield akhirnya berjaya juga keluar dari Sona, dengan membawa 3 orang banduan termasuklah James Whistler, misi utamanya untuk lari dari Sona. Kebijaksanaan Scoffield dan abangnya Lincoln Burrow dalam melakukan pertukaran antara anak lincoln dan Whitsler tidak dapat dihidu oleh Gretchen, wanita kejam yang menamatkan riwayat Sara (buah hati Scoffield). Memang menarik dan penuh suspens!


Episod terakhir ini juga menyerlahkan ketampanan Scoffield (wajahnya kembali bersih dan kemas). Pasti wanita tertawan dengan senyuman manis dan renungan matanya. Hahaa! Bagi yang meminati Prison Break, jangan lupa temujanji terakhir musim ketiga, malam esok jam 10.30 malam di 8TV. Dan kepada yang tidak tahu apa itu Prison Break, cuba cari DVD musim 1 dan 2 dulu di kedai video berhampiran dan saya pasti anda akan ketagih untuk menonton siri itu lagi di masa akan datang.


Prison Break musim keempat akan kembali dengan misi Scoffield untuk memburu dan membalas dendam pada kematian kekasihnya Sara. Paling best musim keempat mungkin akan menampilkan semula Sara....Mmm...rasanya tidak sabar menunggu aksi musim keempat. Sama-sama kita tunggu!

20 Jun 2008

Apa sudah jadi?

Sudah lama rasanya saya tidak menjenguk manuskrip Cinta Pandang Kedua (CPK). Dari beberapa bulan lepas asyik muka surat yang ke 35. Entah apa yang terjadi kepada saya tetapi saya benar-benar sibuk. Benar, hadis nabi "kejarlah dunia dan dunia akan jauh meninggalkanmu". Sejak maid saya tamat kontrak bulan Mac lalu, saya sibuk dengan urusan rumahtangga yang tidak sudah-sudah habisnya. Bila malam sudah penat dan saya tidur awal. Saya cuba untuk berjaga malam tetapi saya tidak mampu lagi. Bila cuti sekolah, saya habiskan masa dengan keluarga dan entah macam-macam kerja. Sudahnya pejam celik cuti sekolah sudah dua kali meninggalkan saya dan manuskrip saya tidak bergerak ke mana-mana.
Saya masih tidak dapat mengagak bila saya akan menyiapkan CPK. Memang besar harapan saya supaya saya boleh meninggalkan manuskrip CPK sebelum berhijrah tetapi nampaknya harapan itu semakin jauh....Oh TUHAN! Apa sudah jadi pada diriku?


Novel terbaru dari Dhiya Zafira



Kepada penggemar novel, sila dapatkan novel sentuhan terbaru dari novelis Dhiya Zafira. Dengan tajuk dan cover yang gempak, pasti nafsu anda tergoda untuk menyentuhnya...

13 Jun 2008

Rindu Belum Berhenti : Karya Terbaru Dhiya Zafira

Wah! Teman saya ni dah ada buah tangan baru.... Romantic Triller....dahsyat ni. jadi tunggu apa lagi...dapatkan segera di pasaran!
Ikuti temuramah bersama Dhiya yang saya sedut dari laman web Alaf21 (lepas ni saya temuramah Dhiya sendirilah pulak...itupun lepas dia balik dari bercuti di Sepanyol).


1. Tahniah di atas kelahiran RINDU BELUM BERHENTI (RBB). Boleh ceritakan bagaimana Dhiya mendapat idea dan berapa lama masa yang diambil untuk menyiapkan keseluruhan manuskrip?RBB adalah kisah seorang lelaki yang insaf atas kesilapan masa lalunya yang kotor dan hitam. RBB juga kisah seorang wanita yang tiba-tiba menjadi pelarian atas jenayah yang dirancang ke atasnya. Takdir menemukan mereka berdua dan tanpa sedar ada sejarah / rahsia yang tersembunyi di antara mereka. Idea? Kebanyakannya hasil daripada menungan saya yang tidak henti-henti. Apabila sudah mendapat plot secara kasar, barulah saya buat research serba sedikit. RBB lahir bersama KDB. Semasa menghantar manuskrip pertama, hampir 65% RBB telah siap. Cuma terhenti seketika semasa arwah ayah sakit. Saya tidak mengira masa berapa bulan atau tahun saya menulis, yang pasti seperti target saya, setahun mesti sebuah buku.
2. Membaca `Tinta Penulis' dalam RINDU BELUM BERHENTI, Dhiya ada mengatakan ini merupakan percubaan pertama saudari mencuba genre action-romantis. Berbeza sangatkah berbanding karya yang pertama? Saya tidak mengubah genre secara total. Saya masih mengekalkan unsur cinta di dalam novel saya. Ini merupakan percubaan pertama dan juga cabaran buat saya untuk melihat sama ada saya mampu untuk menulis cerita-cerita aksi sebegini. Secara jujurnya, saya lebih menggemari cerita-cerita yang berunsurkan action romance ataupun action thriller ini daripada kisah cinta semata-mata. Sejak dari zaman persekolahan, saya lebih terdedah dengan cerita-cerita begini. Jadi, saya cuba menulis cerita yang saya suka dan mengharapkan pembaca juga suka apa yang saya garapkan.
3. Antara karakter Alia & Taufik dalam KUDAMBA BAHAGIA (KDB) dengan Adni & Zack dalam RINDU BELUM BERHENTI, yang manakah lebih menjadi kesukaan dan yang manakah lebih sukar? Untuk memilih antara dua pasangan ini, sememangnya sukar kerana saya amat mengemari mereka. Saya sukakan kelembutan Alia dan kesetiaan Taufik. Saya sukakan hubungan mereka walaupun menerima dugaan yang bukan sedikit. Adni pula, saya sukakan ketegasannya. Dia tidak pernah kenal erti putus asa. Tidak pernah mengalah untuk memperjuangkan cinta. Adni tahu apa yang dimahukan dan dia berusaha untuk mendapatkannya. Zack, inilah watak yang agak payah untuk dipotraitkan. Saya kena menyelami ke lubuk hati seorang lelaki yang tersepit di antara rasa dosanya pada masa silam dengan keinginannya untuk hidup bahagia bersama Adni. Walaupun payah, tapi saya sukakan Zack dan berharap agar pembaca juga sukakan watak ini.
4. Kami yakin peminat yang telah berpuas hati dengan KUDAMBA BAHAGIA akan merasakan perasaan yang sama dalam RINDU BELUM BERHENTI. Komen sikit. Saya percaya genre apa yang kita tulis sekalipun, kalau garapannya bagus, wataknya meyakinkan, plotnya menarik, cerita itu tetap akan bagus. Itu kenyataan. Saya bercakap secara umum, bukan tertumpu pada karya saya sahaja. Secara peribadi, kemahiran penulisan saya semakin berkembang dalam RBB. Saya juga yakin RBB lebih baik daripada karya saya sebelumnya. Pembaca tidak usah takut. Kalau pembaca mencari cinta, RBB juga ada cinta. Kalau mahu air mata, RBB juga bisa mengalirkan air mata anda. Nasihat saya, bacalah dahulu dan nilaikan kemudian. Perlu diingat juga, saya masih dalam proses pembelajaran..
5. Pastinya ada kenangan manis dan tidak kurang yang pahit sepanjang Dhiya bergelar novelis. Jika tidak menjadi keberatan, kongsi-kongsilah dengan kami.Menjadi seorang penulis adalah impian saya sejak dari alam persekolahan lagi. Apabila sudah berjaya, maka apa sahaja yang berlaku selepas itu adalah manis-manis sahaja. Cuma, apa yang membuatkan saya ralat/kesal adalah kerana arwah ayah saya tidak berpeluang untuk melihat hasil kerja saya. Hanya tiga minggu ayah pergi dan saya mendapat tahu bahawa karya saya akan diterbitkan. Arwahlah yang beria-ia memupuk minat dan semangat saya untuk terus menulis. Kini, walaupun ayah telah tiada, namun semangatnya tetap bersama saya, abadi selama-lamanya.
6. Harapan Dhiya terhadap RBB tentunya yang indah-indah belaka. Ya, kan?Sudah semestinya! Saya mengharapkan yang baik-baik sahaja untuk RBB. Saya berdoa agar RBB boleh diterima pembaca, kerana tanpa pembaca siapalah saya. Saya juga berharap siapa yang menyukai KDB akan menyukai RBB. Seperti yang saya katakan tadi, baca dahulu dan nilailah kemudian. Semoga anda semua berpuas hati.
7. Target Dhiya? Insya-ALLAH... selagi ada kudrat, saya akan terus menulis. Saya mensasarkan sebuah novel setahun. Dan buat masa ini, saya berjaya mencapai target saya itu. KDB terbit pada 2007 dan RBB pula pada tahun ini. Kalau tiada aral, mungkin KTU (judul sebenar biarlah rahsia dulu, ya...) akan terbit pula tahun 2009. Insya-ALLAH. Semua ini tidak akan berjaya tanpa sokongan anda semua. Terima kasih kerana masih menyokong saya.

Novel terbaru dari Najwa Aiman

Dah lama tidak mendengar cerita baru dari novelis 'jantan' ini. Dalam diam mamat ni menghasilkan dua buah tanda mata baru (disamping dua anak baru).... Jika ke kedai buku dan berkesempatan tataplah tanda mata dari beliau.
Tatkala manusia secara fitrahnya berkehendakkan teman, mereka memilih untuk dipinggirkan.

Apakah yang membezakan isteri curang dengan suami mata keranjang?

10 Jun 2008

Satu cerita yang menginsafkan

Cerita ini dikisahkan sendiri oleh seseorang yang sangat dipercayai. Kira, sumber sah dan tiada alasan untuk mereka cerita. Baru-baru ini ibu kepada yang menceritakan ini meninggal dunia. Dia mempunyai seorang saudara kanak-kanak istimewa. Pada masa di hospital, ketika arwah masih di hospital, kanak-kanak ini tidak mahu masuk melihat arwah. Begitu juga ketika orang memberikan penghormatan terakhir kepada arwah, kanak-kanak ini tidak mahu ikut sama walaupun dipujuk.
Ini mendatangkan hairan kepada pencerita dan dia memujuk kanak-kanak itu untuk bercerita apabila semuanya sudah selamat. Menurut kanak-kanak itu pada masa arwah sedang mengucap dua kalimah syahadah di belakang si pencerita (yang ketika itu sedang mengajar arwah mengucap) dia nampak dua makhluk yang bertanduk sedang bertepuk tangan meraikan kematian manusia (mungkinkah ia syaitan yang ingin memesongkan hati orang yang hampir meninggal dunia?). Di hadapan dada arwah satu makhluk yang sangat besar seolah-olah mahu menimpa arwah.
Pada ketika orang mengambil peluang untuk mencium wajah arwah untuk kali terakhir, kanak-kanak itu nampak bilik itu dipenuhi oleh ramai orang tua berbaju putih (mungkinkah roh-roh yang ingin mengiringi jenazah ke kubur) menunjukkan isyarat tangan ke bibir, meminta kanak-kanak itu berdiam.
Pada akhir perbualan kanak-kanak itu dengan pencerita, kanak-kanak itu menyesal kerana menurutnya telah mungkir janji pada seseorang kerana membocorkan rahsia.
Betapa istimewanya kanak-kanak yang boleh melihat alam ghaib. Pengajaran dari cerita ini begitu menginsafkan. Mati itu pasti dan bersediakah kita pergi? Semoga kita mati dalam iman, dalam Islam....

Pertandingan Mewarna Hakimy yang Pertama

Jeng..jeng...jeng... inilah hasilnya selepas puas bertungkus-lumus selama 15 minit! Hasil tangan umur 2 setengah tahun...Tak cukup di depan, di belakangpun berconteng....

08 Jun 2008

Euro 2008 sudah Bermula!

Demam Euro 2008 sudah bermula. Masa ini sindrom mata bengkak-sembab dan pening kepala akan melanda para peminat bola sebab tak cukup tidur. Mana taknya pertandingan yang bermula seawal 12.45 malam dan hanya akan berakhir kira-kira 5.30 pagi. Hanya ada sejam untuk tidur dan selepas itu perlu bergegas untuk ke pejabat pula.
Namun bola punya pasal, berjaga malam bukan menjadi soal. Malam tadi pasukan pilihan Rep. Chec dan Portugal telah melepasi ujian pertama dan pagi nanti pasukan pilihan saya dan abang German akan beraksi menentang Poland. Malam tadi saya hanya menonton perlawanan Portugal-Turki kerana ada Ronaldo! Pagi ini insyaAllah saya akan berjaga untuk menonton aksi Klose, Podolski, Ballack dan Lehnman.
Siapa kata orang perempuan tak menonton bola? Dulu masa di sekolah saya rajin menonton Piala Dunia dan pasukan pilihan saya Brazil dan German. Masa kerja dulu saya siap angkut TV ke ofis kerana ofis saya tiada TV. Biasanya saya menonton kesemua perlawanan kegemaran saya. Namun disebabkan batasan masa dan usia nampaknya kali ini jumlah perlawanan yang saya akan tonton mungkin berkurangan.
Apapun jika anda mahu berkongsi demam Euro dengan saya, boleh layari blog saya sepanjang Euro ini kerana jadual dan keputusan perlawanan akan sentiasa dipaparkan. Selamat Demam Bola!

Batam, Indonesia Hari Kedua (2 Jun 08)


Dari jauh hotel ini menyerupai kapal, unik rekabentuk. Dekorasi dalamannya menggunakan konsep Yunani/Roman serta seakan ruang dalaman kapal star cruise.




Wow! Pertama kali melangkah masuk ke hotel ini saya tertarik pada dekorasi mewahnya. Elemen mewah dari sofa hingga ke kolam mandi. Segalanya mewah di sini tetapi harga hotelnya murah, hanya Rp 450 000 bersamaan RM158 untuk semalam di bilik Superiornya.
Kami jalan-jalan sekitar Jalan Sei Jodoh di Top 100, Jodoh dan DC Mall. Sebelah malamnya kami ke Batan Centre Mega Mall.
Kami hanya shopping sakan di Top 100 pada esoknya sebelum pulang. Kali ini kami tidak membeli barang banyak disebabkan susahnya nak mengangkut barang dengan budak-budak sekali.
Kami bergegas menaiki feri 10 minit sebelum berlepas. Memang seperti mengikuti Rancangan Amazing Race. penat dan mendebarkan (sebab takut terlepas bot dan nak kejar imegresen lagi). Kami hanya sampai ke rumah jam 11 malam.

Batam, Indonesia Hari Pertama (1 Jun 08)

Dalam feri, mengisi kebosanan perjalanan selama 1jam 30 minit
Hotel Nagoya Plasa, hotel hari pertama, strategik tempatnya
Tempat shopping yang memang ramai pengunjungnya, tempat di mana kamera digital saya hilang
Sempat berposing di depan hotel
Ke Pulau Batam? Apa ada di sana? Dalam fikiran kami sekadar ingin bersuka-suka membawa anak-anak mencari satu lagi pengalaman hidup. Perjalanan kami bermula jam 7.00 pagi menuju ke Selatan. Sampai di terminal feri The Zone, Stulang Laut, JB kami membeli tiket. 30 minit sebelum berangkat, kami tidak dibenarkan masuk jadi kami hanya boleh menaiki feri jam 1.30 petang dan tiba di Batam jam 2.00 petang (perbezaan waktu tempatan).
Sibuk bertanya pemandu teksi destinasi pilihan pelancong, kami akhirnya ke hotel Nagoya Plasa di tengah bandar Nagoya Hill. Memang sibuk dan kami berjalan-jalan di sekitar hotel. Malamnya kami makan sate dan ikan bakar segar di depan hotel. Namun kerana persekitaran yang bising, menyebabkan kami tidak boleh tidur malam itu.
Di awal di dalam pemikiran saya, Batam adalah pulau yang mundur, walaupun dicanangkan sebagai salah sebuah negeri terkaya di Indonesia. Nampaknya apa yang ada di fikiran saya tidak benar. Benarlah pepatah 'Don't judge a book by it's cover'. Jangan berkata kalau anda tidak tahu apa-apa.
Tempat shopping menarik tentulah Nagoya Hill Shopping Centre. Pengunjungnya ramai dan disinilah saya kehilangan kamera digital semasa bersesak-sesak di situ. Sedar-sedar kamera digital yang ada di beg sudah lesap! Memang ia mengganggu mood saya untuk bercuti seketika tetapi mengenangkan jika sudah tertulis itu bukan rezeki saya, tiada apa yang saya boleh lakukan. Di sini banyak sungguh peralatan komputer dan kamera selain pakaian di Sunn Boss di tingkat 3.

Kungfu Panda Mania!

Panda yang boleh berkungfu.... cerita ni memang kelakar. Boleh release tension...
Hardy dan Hariz menyertai pertandingan mewarna Kungfu Panda
Suasana meriah di Mid Valley sempena Kungfu Panda
Panda menunjukkan skil berkungfu dan menari
Sempat bergambar dengan hero ni

Sabtu lepas saya dan keluarga menghabiskan masa separuh hari di Mid Valley semata-mata untuk bertemu hero Kungfu Panda. Kami tiba awal pagi 10.45 pagi untuk menyertai pertandingan mewarna. Seramai 22 orang kanak-kanak menyertainya. Dari pemerhatian saya majoriti (15) adalah kaum Cina, 5 Melayu dan hanya 2 India. Mereka bersedia dengan peralatan mewarna dan ada juga yang bawa meja sekali. Begitu bersemangatnya ibubapa membawa anak-anak menyertai pertandingan dan memberi sokongan moral kepada anak-anak ini. Awal-awal lagi, saya memang tidak meletakkan harapan untuk menang. Sekadar suka-suka. Bak kata seorang kakak, "tak apa, beri pendedahan" apabila saya mengatakan Hariz ikut sibuk mewarna, hanya menyonteng saja (aksi Hariz mencuit hati beberapa penonton, mungkin sebab dia antara peserta terkecil).
Habis mewarna, kami melihat aksi silap mata dan pertunjukan kungfu dan tarian si Hero, Panda. Lepas bergambar kami menghabiskan masa menonton Kungfu Panda. Satu hari indah yang penuh memori dengan Panda!

05 Jun 2008

Pacific Palace Hotel, Batam


I've been here last weekend...
It was an amazing hotel. Discover it for yourself...
Pacific Palace Hotel, Batam, Indonesia.

04 Jun 2008

Cari makan di Village View Bangi




Jika anda idamkan suasana yang santai, romantik, harga yang berpadanan, makanan yang sedap dan servisnya pantas, apa kata anda mencuba di restoren ini. Lokasinya di Bangi. Jika anda selalu ke Rimbun Klasik atau Soho Seafood di Bangi (selepas exit Kajang), anda pasti tahu lokasi restoren ini yang terletak sedikit tersorok di belakang betul-betul di sebelah Petronas. Cubalah dan anda pasti terpesona.

Bertemu Ultraman




Cuti sekolah ini, mak budak dah jadi tak berapa mak budak. Dah serupa aje mak dengan anak... Tak percaya tengoklah gambar-gambar ni....


Bersama Ultraman Max dan Raksasa di Jusco Cheras Selatan pada 24 Mei 2008



Bersama Ultraman Nexus di Sg. Wang Plaza pada 31 Mei 2008


Anak-nak saya memang gemarkan Ultraman. Hero mereka. Dan ultraman boleh jadi duta keamanan kerana ia tidak mengenal sempadan agama, bangsa juga negara. Peminat Ultraman merata di seluruh dunia walaupun ia hanya boleh menjadi hero di Jepun sahaja.... kerana raksasa hanya ada di Jepun!


Dulu-dulu Hardy lebih gemarkan raksasa dari Ultraman... Pelik, yang kita tak suka yang itulah yang dia suka....tapi bila difikirkan kembali, kalau semua orang suka tengok Ultraman siapa pula yang nak tengok Raksasa. Dia pernah menangis hanya kerana raksasanya kalah pada Ultraman.


Di rumah, ada macam-macam Ultraman. Masa keluar dengan Lynn Dayana, dia pun naik sama hairan sebab seperti saya, dia hanya tahu Ultraman aje...tak sangka Ultraman ada banyak...malah Ultraman perempuan pun ada... Minat Hardy menjangkit pada Hariz. Tanyalah pada dia nama Ultraman semua dia tahu....Ini Ultraman Max, Leo, Tiga, Tiga Dark, Nexus, Gaia, Dyna dan entah bermacam mak nenek Ultraman lagi... Kalau dikira jumlah RM yang dilaburkan membeli koleksi patung dan VCD, rasanya memang cukup tambang Ultraman nak datang ke Malaysia lagi cuti sekolah nanti....

Harga minyak naik tengah malam ni!

Semasa abang memberitahu saya petang tadi saya gelak-gelak saja. Saya kata, bukan dalam suratkhabar kata bulan 8 baru harga minyak naik? Itulah akibatnya tak percaya pada cakap laki sendiri...hahaha. Masa pusing di Petronas dengan Kak Eka Fahara, saya yang memang nak ambil duit di ATM terus membatalkan niat, panjangnya orang beratur di ATM. Kak Eka kata mungkin gaji agaknya. Rupanya kami tak tahu pengumuman kenaikan harga minyak sebanyak RM0.78 bermula tengah malam ni.
Abang pulang lewat kerana mengisi minyak. Beratur panjang sungguh. Malam itu selepas makan-makan, kami mencuba nasib untuk mengisi minyak. Wah... Jalan penuh sesak macam ada pesta. Semua jalan menuju satu-satunya stesen minyak di BSP sesak dengan orang yang nak mengambil peluang di saat akhir sebelum detik tengah malam.
Memang melampau hingga polis terpaksa berkawal. Gambar ini saya rakam semasa mengusya stesen minyak itu dengan kamera handphone yang tak berapa canggih itu. Kami membatalkan niat mengisi minyak kerana masih ada separuh di tangki. Rasanya tidak berbaloi beratur panjang. Sampai di depan, minyak dijual sudah habis dan tangki kereta pula kering kerana jam.
Dalam kepala saya berkra-kira sendiri. Dulu suratkhabar kata Pilihanraya lambat lagi... Suratkhabar hari tu belum habis dijual, sudah umum minggu depan pilihanraya.... Perkara begini sudah kali yang kedua terjadi. Siapakah yang bersalah? Mereka atau keluarga mereka? Atau lepas ni suratkhabar itu tak payah dibeli, hanya layak dibuat bungkus belacan. Atau pemerintah yang bersalah? Apapun Tipah sudah tertipu!

Sg. Tekala Semenyih, Selangor


Berkuatkuasa 1 Julai 2007 yang lalu, pengunjung ke air terjun ini telah dikenakan bayaran masuk; dewasa RM1 manakala kanak-kanak RM0.50. Pada kunjungan saya sebelum ini bayaran belum lagi dikenakan. Saya agak terkejut dengan pengumuman ini tetapi mengambilnya dari sudut positif. Beberapa kawasan menukar pakaian telah didirikan, kawasannya juga agak bersih dan kemas berbanding dulu. Terdapat beberapa pekerja warga asing yang sibuk mengemaskan mana-mana yang patut. Cuma satu saja, jangan kerana dah dibayar, maka menjadi tiket kita boleh membuang sampah merata-rata. Almaklum... ada yang akan kutip sampah tu.... Cuti masih ada, apa kata berkunjung ke sana...bercuti-cuti Malaysia...

Menjala ikan pulak....

Jika cuti yang lepas, kami memancing ikan, kali ni kami menjala ikan pula. Saja suka-suka walaupun dapatnya tak banyak mana. Lebih dapat bau hanyir dari dapat ikannya tapi pengalaman menjala ikan bagi seorang Hardy buat pertama kalinya adalah satu pengalaman yang berharga buat dirinya. Yang kelakar, dia lebih takutkan pacat gigit kaki dan rumput/duri yang mencucuk kakinya dari kereta yang lalu-lalang. Terlompat-lompat dia ke tepi jalan raya tanpa menghiraukan kena langgar dek kereta. Saya pernah bawa dia menyauk ikan di sungai dan akibatnya saya terpaksa mendukung dia kerana dia gelikan kakinya memijak tanah selut. Itulah padahnya kalau lebih banyak dibesarkan di atas jalan tar dari jalan tanah merah yang berdebu dan menyesakkan nafas!
Inilah dia hasil tanggapan kami. Beria-ia inilah hasilnya. Abah memang dari dulu kalau mencari ikan tak pernah dapat banyak...kira kalau abah nak tukar profesionnya dari berkebun ke nelayan memang sah tak berasap dapur. Kata mak itu sebab abah pernah tengok mak bersalin. Ye ke? Ada logik ke? Nampaknya kalau macam itu lelaki zaman sekarang, buang masa ajelah bercita-cita nak jadi pemancing terhebat....
Abah sedang bersiap hendak menebar jala yang saya rembat dari bawah kebuk nenek laki. Nenek tak tahu saya rembat, kalau dia tahu memang tak dapatlah nak menjala petang tu...hehehe.
Abah menunjukkan skilnya petang tu pada cucu kesayangan. Terpaksa dia mengorbankan bermain badminton semata-mata melayan karenah cucu nan seorang.
Abah menjala dan adik saya Hafis nak tunjuk skil menyauk ikan. Dapatlah dua tiga ekor.....anak ikan....
Petang itu satu petang yang memberi seribu kenangan yang tidak boleh dibeli dengan ikan beratus-ratus ekor....terima kasih abah dan Hafis yang sanggup melayan karenah dua beranak yang suka merepek-repek ni....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...