28 Februari 2010

Dah besar anak mama...

Hari demi hari berlalu, sekejap saja Hana saya sudah 6 bulan. Macam baru semalam aje dapat tahu yang saya mengandung lagi (saya dan abang saling berpandangan tidak percaya semasa pertama kali dapat tahu). Macam baru semalam aje kami menempuh Ramadhan dan di suatu pagi pada waktu bersahur itu (selepas saya berkemas apa yang patut kerana kami ada tamu waktu itu), saya tiba-tiba sakit hendak bersalin. Kini anak dara saya dah 6 bulan dan kami sedang membilang hari untuk membawanya pulang ke tanah air Malaysia yang tercinta; untuk bertemu nenda-nenda dan yang lain-lain tercinta. Saya tahu, mereka semua tidak sabar bertemu Hana Nurein lebih dari mereka merinduinya saya dan yang lain-lain. Sementelah inilah pertama kalinya mereka mahu bertentang mata dengannya. Untuk maktok dan wan, inilah cucu perempuan pertama mereka dan untuk nenek dan atuk, inilah satu-satunya cucu yang mereka tidak pegang pada hari pertama kelahirannya. Sudah pastilah kehadiran Hana Nurein di LTA Sepang, di suatu hari nan indah sangat-sangat mereka nantikan!





Inilah gambar terbaru Nurein saya yang dirakam di sebuah restoren di LTA Franfurt Han dalam perjalanan pulang dari Kembara Eropah kami (betul Cik Din, kami jalan-jalan lagi sebab tu rumah ni berabuk...heheh). Inilah Hana saya bersama tocang pokok nyiornya yang pertama!

17 Februari 2010

Senyum sejenak...



Haha... tapi baju ni dah hilangpun....tertinggal dalam ICE dalam perjalanan pulang dari Hamburg ke Berlin.

11 Februari 2010

Senyum sejenak...


Tensen-tensen minggu ni...senyum la sikit...(klik untuk besarkan gambar)

07 Februari 2010

Status saya minggu ini...

Minggu yang sibuk....Kalau saya x sempat balas emel dan update blog, harap faham....saya sedang mengeram...haha. Harap semuanya ok...dan dipermudahkan. Tambah2 untuk orang yang nak viva! Juga selamat datang orang Kaiserslautern ke rumah kecil kami! Selamat kembali ke sekolah Hardy! Willkomen SRK n lovely Kajol! Hamburg n Copenhagen....in mind!

ps-ini status saya sekarang ini ni Facebook....Doakan segala-galanya berjalan lancar dan dipermudahkan urusan olehNya. Jumpa lagi!

01 Februari 2010

30 Januari 2010- Hari Jadi Hariz Hakimy

Tahun ini tahun kedua Hakimy menyambut harijadinya di Berlin. Semasa meninggalkan Malaysia dia baru berumur 2 tahun 8 bulan dan pulangnya nanti umurnya sudah 4 tahun 4 bulan....terasa macam kejap saja masa berlalu...teruna saya yang dulunya saya dukung ke mana-mana kini sudah besar; pasti nenek, atuk, maktuk dan wan terkejut tengok Hakimy nanti.


Hakimy dengan hadiah 'misteri' . Belum buka dah tau dah ni sebab abah dah bagitau awal-awal. Balut tu saja je nak bagi thrill...hehehe. Kimy nak tengok je....kata Kimy

Hakimy ni kareaktor dia macam saya juga...Hehehe...kalau dapat bercakap memang tak reti berhenti. Betullah kata orang tua-tua, kalau rupa macam mak, perangai macam ayah. Kalau rupa macam ayah, perangai macam mak. Jadi Hardy rupa macam saya, perangainya macam abahlah....tak banyak bercakap kecuali dengan orang yang rapat...Hakimy pulak, kalau tak kenal memang dia segan, tapi kalau dah kenal....siaplah...sampai tak larat nak melayan dia...Hana macam siapa? Kata Kak Mahizah (teman di Berlin), Hana ni kecil-kecil dah ada karektor lawak...hehehe...ikut siapa tu ek?


3 permata hati saya yang melengkapkan hidup saya di perantauan...(Hariz Hakimy Fadly 4 tahun, Hardy Zahidy Fadly, 9 tahun dan Hana Nurein Fadly, 5 bulan)



Rakaman lensa Hakimy sedang 'mamam' donut dan syiling 'gabak'

Hakimy lahir selepas Hardy 5 tahun. Jadi memang kehadirannya sangat-sangat kami nantikan. Ada cerita di sebalik kelahirannya yang begitu istimewa pada saya...


tomyam hidangan birthday Hakimy tengahari itu di restoren Thai, di Alexa


abang Long turut teruja...

hadiah dari mama dan abah....senyum sampai telinga

Tahun ini kami sambut harijadinya dengan sangat sederhana. Bawa dia makan-makan dan jalan-jalan di Alexa. Sementelah cuaca sejuk dan waktu kritikal abang dengan tesis membuatkan rancangan kami untuk ke mana-mana ditangguhkan buat seketika. Apapun Hakimy gembira dengan hadiahnya dan tahu dia sudah 4 tahun....Selamat ulangtahun Hakimy! Moga jadi anak yang soleh....

Karnival Karangkraf

Kepada peminat dan pengumpul buku....Masih sempat lagi ke Karnival Karangkraf yang akan tamat hari ini 1 Februari 2010. Karnival Karangkraf berlangsung di premisnya sendiri iaitu di Seksyen 15, Shah Alam. Program yang diadakan selama 4 hari berturut-turut bermula dari 29 Jan-01 Feb turut disertai oleh ALAF 21 Sdn Bhd dan juga Buku Prima. Diskaun buku sehingga 30% diberikan di samping berpeluang untuk bertemu dengan penulis-penulis novel/buku yang diminati.

Untuk mengelakkan kesesakan, perkhidmatan bas sekitar SHAH ALAM oleh RAPID KL yang beroperasi setiap satu jam untuk ke tapak karnival dengan kos tambang hanya RM1! Berikut adalah panduan perjalanan RAPID KL untuk anda yang bercadang ke tapak karnival :

1. HENTIAN BAS SEKSYEN 14 (BELAKANG IBU PEJABAT MAYBANK) > KOMPLEKS PKNS > BULATAN UITM > KE PERSIARAN SELANGOR (DEPAN PEJABAT KARANGKRAF) > KE STESYEN KOMUTER SEKSYEN 19.

2. KOMUTER SEKSYEN 19 > SEKSYEN 18 > LALU DEPAN BOMBA > PERSIARAN SELANGOR (DEPAN KARANGKRAF) dan seterusnya.

Tambang: RM1.00 sahaja.
Kekerapan: setiap 1 jam

Jadi, bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke tapak karnival hari ini, anda masih berpeluang untuk mengunjunginya. Program akan berlangsung dari jam 9 pagi – 7 ptg.

Sumber: Alaf21 Sdn Bhd

Panduan Menghantar Cenderamata ke negara EU

Saya pasti tentu ramai yang punya teman-teman di seberang laut. Kadang-kadang terasa nak hantar hadiah pada teman-teman yang sudahpun lama tidak kita jumpa. Ada ketika, bagi mereka yang tinggal di luar negara pula, terasa hendak mengirim cenderamata istimewa yang melambangkan negara yang kita tinggal itu kepada teman-teman, mengatakan kita sangat menghargai mereka. Tambah-tambah jika orang itu yang dekat dengan hati seperti teman istimewa, keluarga mahupun sekadar teman tapi mesra, mengeratkan lagi silaturrahim yang sedia ada.

Walau bagaimanapun, kegembiraan si penerima dengan hadiah kiriman kita kadang-kadang tercalar dengan bayaran cukai yang dikenakan kerana menerima hadiah dari kita. Di negara EU (European Union), kadar cukai VAT (berbeza mengikut negara, di Jerman 19% dari harga nilai taksiran barangan ) biasanya dikenakan kepada mana-mana bungkusan yang masuk ke negara tersebut.

Jangan terkejut jika hadiah itu cuma berupa beberapa helai Tshirt, keychain ataupun fridge magnet (sekadar menamakan barangan cenderamata popular) yang bukannya untuk dijual tetap dikenakan cukai. Di Jerman, setiap barangan masuk ke Jerman yang bernilai Euro22 ke atas akan dikenakan cukai. Jadi bagaimana untuk kita mengelak dari dikenakan cukai tersebut dan membuatkan si penerima tersenyum riang menerima bungkusan dari kita?

Perkara pertama yang harus dilakukan ialah Custom Declaration. Borang ini boleh didapati di mana-mana pejabat pos di negara yang kita tinggal. Isikan borang tersebut dan tampal di atas bungkusan yang kita hendak pos itu. Di atas borang itu sila tandakan yang barang tersebut adalah untuk hadiah (gift) (biasanya hadiah tidak akan dikenakan cukai) dan letakkan nilai anggaran barangan tersebut di dalam Euro/ Pound etc (mengikut nilai matawang negara yang bakal kita kirim itu). Nyatakan juga apakah barangan itu (Tshirt etc). Jangan lupa tandatangan borang deklaration itu yang mengatakan barang yang kita pos itu tidak mengandungi barangan merbahaya. Jika borang Custom Declaration itu tidak ada di pejabat pos, anda boleh juga menulis maklumat-maklumat yang saya nyatakan tadi di atas kertas dan jangan lupa tandatangan. Lihat juga senarai barang yang tidak boleh dibawa masuk ke negara tersebut bagi mengelakkan barangan yang kita hantar langsung tidak boleh diterima. Pasti membazir wang mengirimkannya. Laman web Fedex ini http://fedex.com/berguna untuk anda tahu lebih lanjut tentang tax etc jika mahu mengirim barang ke luar negara.

Harapnya info ini berguna kepada anda! Kadang-kadang kita mahukan orang istimewa menerima kejutan dari kita. Jangan biarkan mereka terkejut dengan bayaran cukai yang tidak disangka-sangka bersama-sama hadiah kita. Rasanya, panduan ini bukan saja untuk negara EU tetapi juga untuk ke negara-negara lain seluruh dunia.

cenderamata jam dinding Edward ni sekadar contoh yer...hehe

30 Januari 2010

Hana sudah 5 bulan....

Hana saya dah 5 bulan hari ini....Semakin tembam, semakin bulat. Belum ada tanda dia nak meniarap mungkin sebab badannya berat. Tapi kalau duduk, memang nak bangun sendiri hingga saya terpaksa memakaikan dia tali pinggang keselamatan semasa di dalam buaiannya... Kata Kak, Su anaknya dulu tidak meniarap tetapi boleh terus berjalan tak sampai setahun... Jadi saya harap Hana saya juga begitu...

Hana saya sudah mula makan pada 17 Januari lalu(sempena harijadi mak). Mulanya saya nak tunggu sampai 6 bulan tapi bila Hana asyik merengek dan tidak boleh lena tidur malam hingga saya terpaksa berjaga (pernah hingga 9 pagi esoknya baru dia boleh tidur), jadi saya beri dia makan. Alhamdulillah, kini tidurnya semakin nyenyak...perut dah kenyang....hehehe...semakin gendutlah anak dara saya ni...

Lihatlah gambar-gambar yang dirakam oleh Hakimy. Aksi-aksi Hana ini Hakimy yang ambil..katanya nak jadi photographer bila besar nanti... Amacam? Boleh tahan tak budak 4 tahun ni ambil gambar?






Semoga Hana sihat-sihat selalu. Biarlah tembampun...mama suka...ehhhee

28 Januari 2010

Berjuang Sendiri

Biarkan aku
berjuang dalam sendirian
dalam sejuk-sejuk dingin bersalji
mencari kekuatan
agar kuat berdiri

Biarkan aku
berjuang dalam sendiri
mencari sisa-sisa mandiri
agar terus gagah berdiri

berjuang harus terkorban
kata orang
tapi
aku tidak ingin terkorban
jangan sampai terkorban

teman
salam tahniah dari kejauhan
atas kejayaan lahirnya buah-buah tangan
doakan aku
berjuang sampai tuju kemenangan!

27 Januari 2010

Saat Kau Hadir : Satukan Hati Tiga Negara


SKH mempertemukan Kak Ami (Jerman), Kak Su (Brunei) dan Laila (sudah pasti Malaysia tercinta, juga Hana!)

Saya tidak pernah terfikir, novel-novel saya akan membawa saya 'keluar' dari Malaysia. Mungkin saja saya ini terlalu 'low profile' ataupun merendah diri hingga saya tidak meletakkan aras yang tinggi dalam pengharapan saya. Saya memang begitu. Dari dulu walaupun siapa saya, saya tetap Haslina Kamaluddin yang sama. Itulah yang selalu saya katakan kepada teman-teman. Saya bukanlah penulis hebat seperti Habiburrahman malah terlalu jauh dibanding dengan Asma Nadia, penulis-penulis besar di Indonesia. Apatah pula hendak diukur dengan Aisya Sofea, Anis Ayuni atau kakak-kakak kesayangan saya Norzailina Nordin dan Eka Fahara atau teman Lynn Dayana, Bikash Nur Idris, Aleeya Anesa, Dhiya Zafira, Shanika Latisya, Umi Azrini dan ramai lagi yang senarainya terlalu panjang jika saya harus menulisnya di sini Ya, saya hanyalah penulis kerdil yang masih banyak perlu belajar. Terpulang kepada 'motivator' yang mengatakan, orang yang selalu berasa kerdil sememangnya kerdil. Tetapi saya memang penulis kerdil yang bukan siapa-siapa. Lalu jika ada yang bertanya kepada saya, tips menulis novel, saya akan ketawa dan seolah-olah mengelak menjawabnya. Bukan kerana apa, kerana kerdilnya saya ini tentunya tidak layak memberikan tips atau nasihat apatah panduan dunia penulisan.


bergambar di galeri kereta di Kudam

Saya mengenali Kak Su melalui emel kirimannya. Ya, dia membaca SKH dan dari situ kami berkenal mesra. Kami saling bertukar khabar dan semasa beliau memberitahu akan menziarahi saya di Berlin, saya sangat berbesar hati. Lalu pada 17-18 Januari lalu, kami bertemu dan menjalin kasih di Berlin!


Pangeran Alimin, abang, saya dan Kak Su menanti bas 100 di Zoologischer Garten

Saya berasa terharu dengan kunjungan Kak Su sekeluarga. Maaflah jika terdapat sebarang kekurangan semasa bersama kami. InsyaAllah jika ada rezeki, kami akan membuat kunjungan balas ke Brunei, bersama-sama Kak Aminah (yang tidak sabar-sabar mahu ke Malaysia...hehehe). Kini saya, kak Su dan Kak Ami meneruskan ukhwah lewat Facebook. Moga di suatu masa kami dipertemukan kembali, insyaAllah!


ke Hard Rock Cafe, Berlin

Melalui novel, saya bersyukur kerana dapat menjalin ukhwah dengan ramai kenalan yang saya tidak pernah kenal sebelum ini. Alhamdulillah, rezeki yang Allah kurniakan dengan bakat yang ada, itulah caranya kita menjalin ukhwah. Kepada 'follower' blog Laila Kamilia, saya sekali lagi ingin merakam penghargaan dan terima kasih dengan sokongan ada. Tanpa anda, saya mungkin tiada kudrat untuk meneruskan penulisan di ruang maya ini. Kerana andalah saya terus semangat menulis dan menulis. Saya sangat berharap dapat berkomunikasi dengan anda. Jangan biarkan hanya saya sendiri yang berbicara. Tinggalkan pesan walau hanya dengan satu perkataan. Anda boleh hubungi saya di lailakamilia@yahoo.com atau facebook Haslina Kamaluddin. Mari kita kongsikan pengalaman bersama!

ps-jika Nisah dari Singapura membaca entri ini, harap dapat emel saya kerana alamat emel Nisah saya sudah tiada (ditelan virus komputer). Semoga Nisah selamat melahirkan bayi yang comel ya!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...