03 Januari 2011

Kek Kartika Sari Bandung

Berangan nak ke Bandung lagi cuti sekolah baru2 ni tapi disebabkan abang tak dapat cuti maka hajat tu nampaknya terbantut. Saya pernah ke sana beberapa tahun yang lepas. Seronok dan bab yang paling seronok tentulah agenda shopping2. Mungkin masa saya pergi dulu orang Malaysia masih belum ramai ke Bandung. Saya selalu merekomen kawan2 yang gila shopping tu elok2la ke sana...sementelah bolehlah merasa bawa duit seperti jutawan dari langit sebab bila tanya orang sebelah..."Bang, duit kita ada berapa JUTA lagi?" Hehehee....

Disebabkan tak pergi, maka saya sempat mengirimkan dia kek yang ada dalam gambar ni... Dulu saya beawa balik sampai beberapa biji kerana sedapnya yang teramat. Saya tanya kawan saya kenapa tak beli, dia jawab mahallah. Mmmm...mahal? Saya tanya berapa dia jawab RM50. Ha! Terkejut albadak juga kerana beberapa tahun lepas, saya rasa saya membelinya pada kadar separuh dari harga yang diberitahu. Sebab itu saya boleh borong banyak. Kawan saya tu siap bawa resit lagi sebagai bukti...hehehe. Dalam hati saya kata tak apalah, mahal tapi sedap... Hehehe... Tetapi jangkaan saya silap, rupanya kek kartika sari yang saya rasa beberapa tahun lepas rasanya tak sama sebab saya rasa kek itu ...rasanya dan kelembutannya macam kek lapis sarawak yang saya jual masa Aidilfitri lepas.... Baik tempah dengan Kak Teh dan tak payah beli jauh2.

Saya diberitahu kawan saya yang cutinya tak best. Kerana katanya orang sana mengenakan harga yang lebih tinggi jika kepada pelancong Malaysia. Siap boleh tukar tanda harga lagi. Makanan di tepi jalan mahal macam harga makan di hotel. Nak melihat pemandangan di Tangkuban Perahu dan Puncak pula diganggu oleh penjual2 yang asyik mengekor ke mana kaki kita melangkah. Sungguh menjengkelkan!

Wow! Ada hikmah rupanya saya tak ke Bandung kali ini....

Published with Blogger-droid v1.6.5

21 Disember 2010

Jalan-jalan Cari Makan : Nasi Kandar Line Clear-Pulau Pinang

tengoklah panjangnya orang beratur, kalau tengah lapar kena beratur panjang macam ni memang rasa macam nak makan semua orang yang kat depan kita....hahaha

Kalau pergi ke Pulau Pinang, tak sah kalau tak pekena nasi kandar. Lalu setelah sekian lama tak ke sana, sempat juga singgah baru-baru ini. Saya dapat peta lokasi dari siapa lagi kalau tak orang piau Penang, kak Eka Fahara. "Senang aje Laila, nampak panggung wayang India tu kat situla," katanya dengan semangat (kak Eka kalau dengar ada orang nak pi Penang, memang dia semangat lebih sikit, hahhaa). Setelah dua kali pusing, baru boleh parking sebab jalan memang sesak. Restoren ni memang kat tengah-tengah bandar, jadi tak hairan kalau ia menjadi tempat strategik cuma agak tersorok sedikit.

Mak aiiiii! Bila sampai je kat depan restoren, itulah reaksi pertama saya. Punyala panjang orang beratur, nak cari tempat duduk lagi satu hal. Sudahnya kami membahagikan tugas. Abang beratur dan saya bawa anak-anak cari port baik punya. Hehehe...dah namanya ramai orang. Bila dah sesak, hangatla pulak. Tapi demi nak merasa Line Clear, kugagahkan juga. Mujur Hana tak buat perangai....

Akhirnya setelah berada hampir setengah jam, dapatlah kami merasa masakan Line Clear itu. Rasanya ok, nasi kandar tentu boleh dibayangan rasanya kan? Pilihan banyak, harga boleh tahan...berbaloi dengan makanan. Cuma.... hangat dan pedas hingga ke telinga. Bagi yang jenis tak tahan pedas macam saya dan anak-anak, memang mengganggu kosentrasi makan. Tapi bagi yang jenis makan cili padi pun boleh sengih...inilah syurga makanan! Hahaha.... Apapun tidak rugi mencuba!

13 Disember 2010

Kenduri Aqiqah Hana Nurein Fadly

Inilah gambar kambing panggang untuk kenduri Aqiqah Hana pada 20 November 2010 yang lalu. Majlis ini sudah lama hendak dilangsungkan tetapi asyik tertangguh dek kesibukan dan kesihatan Hana yang asyik tidak menentu (2 kali dimasukkan ke wad dan hampir setiap bulan dia batuk/selesema). 

Kepada yang sudi hadir, terima kasih yang tak terhingga dari kami sekeluarga. Mohon maaf atas segala kekurangan. Semoga Hana kami akan sentiasa sihat dan berada di dalam perlindungan ALLAH sentiasa.

12 Disember 2010

KEMBARA EROPAH: Germany-Stuttgart

Salam kembara! Dah lama rupanya blog saya berabuk. Saya menggeleng kepala. Macam-macam alasan tapi yang pasti semuanya kerana geramkan internet yang lembab mengalahkan siput. Setiap kali nak upload atau dah upload, asyik-asyik tergendala, siapa yang tak bengang dan berang.... Cewah! 

Saya mengambil sempena kelajuan internet di tahap petala ketujuh ni kerana berada di Johor Bahru. Wah! Internet laju....apa lagi, bolehlah upload kurang-kurang satu entri....hahahaha tak taulah bil internet hotel ni berapa....belasah saja....

Entri ini sebenarnya dirangka pada Oktober tahun lepas...Wah! Dah setahun lebih usianya! Pejam celik, saya tak upload di internet kerana masalah yang saya nyatakan tadi. Inilah catatan Kembara Eropah saya ke Stuttgart, Jerman. 

Stuttgart merupakan bandar industri, kerana itu sara hidupnya tinggi berbanding dengan bandaraya lain di Jerman ini. Sebuah rumah kecil untuk dihuni seorang, sewanya menyamai sewa rumah untuk 2 orang di tempat lain. Apa yang istimewanya bandaraya ini?  Di sinilah letaknya ibupejabat, kilang dan muzium  kereta jenama mewah seperti Mercedes Benz. Untuk pengetahuan mereka yang tidak tahu, sehingga kini  ada teknologi pembuatan peralatan kereta Mercedes hanya boleh dibuat di Stuttgart seperti contoh kunci kereta. Bermakna, jika kunci kereta Mercedez anda rosak, anda perlu menghantarnya ke Stuttgart kerana hanya di sinilah ianya boleh dibuat sekalipun teknologi pembuatan kereta telah berkembang pesat. Hebatkan bandaraya ini?

Kami tidak berada lama di Stuttgart tetapi sempat ke 2 buah muzium kereta iaitu Mercedes Benz dan Porsche (hehehe... sebenarnya itulah tarikan utama bandaraya ini).


di hadapan Muzium Mercedes Benz


ramai pengunjung sekalipun lokasinya agak jauh dari stesen keretapi



kereta sapa la ni...cantik dipandang tapi sukar dimiliki...




setakat bergambar bolehla....


Muzium Porsche ini memang strategik kerana terletak betul-betul di hadapan stesen keretapi

Itulah saja beberapa keping gambar yang dapat dimuatkan untuk catatan perjalanan Laila. Semoga terhibur!

07 November 2010

Banjir di Alor Setar 2010

Rancangan asal kami sekeluarga mahu ke rumah teman saya Juhaida yang akan melangsungkan perkahwinan Sabtu ini di Temerloh. Namun di saat-saat akhir, saya terpaksa memohon maaf kepada beliau kerana kami sekeluarga mahu menjenguk ibu dan ayah di Alor Setar yang terpaksa berpindah gara-gara banjir besar tahun ini. Kami mahu melihat dan memberikan sokongan moral kepada keluarga di sana. Walaupun dalam hati, rasa was-was kerana tidak pasti boleh lepas ke Alor Setar atau tidak kerana kami diberitakan jalan-jalan utama telahpun ditutup. Lebuhraya menghala ke Hutan Kampung dan sehaluan  di atasnya ke Perlis dan Bukit Kayu Hitam turut ditutup kerana banjir besar.

Alhamdulillah, niat yang baik insyaAllah dipermudahkanNya. Asalnya kami bercadang hendak pergi setakat yang terboleh tetapi Allah mengabulkan hajat kami untuk bertemu keluarga. Walaupun jalan ditutup tetapi kami boleh juga 'lepas' hingga sampai ke rumah di Anak Bukit.

Perasaan saya sangat sedih bila melihat khemah-khemah di tepi jalanraya, hingga ada menjadikan perhentian bas sebagai tempat tidur, di bawah jambatan tempat masak. Sedih sangat bila melihat pakcik yang stroke, melintas jalan hendak mendapatkan bantuan makanan. Itu belum lagi melihat rumah yang sedia elok, bertakung air, bangkai lipas merata, perabot dah kembang macam roti dicicah air. Adoi! Itu belum bau busuk pakaian dan sofa yang terendam. Belum lagi dikira kemusnahan alatan elektrik. Saya berkata di dalam hati, jika Tuhan mengkehendakkan maka jadilah. Kita ini hanya manusia yang kerdil.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada mereka yang berkemampuan, bantulah kepada mangsa banjir. Terlalu banyak yang anda boleh sumbangkan dari wang ringgit hinggalah kepada air mineral dan pakaian terpakai. Tak lama lagi anak-anak akan bersekolah untuk sesi 2011. Duit memang banyak diperlukan setelah berabis mencuci dan membaiki rumah, perabot, barang elektrik dan pakaian. Saya menganggarkan kira-kira RM10K diperlukan untuk perabot dan RM10K untuk barangan elektrik! 

Jadi, jika ada kelapangan, jenguk-jenguklah saudara-mara yang sedang dilanda musibah itu. Kadang-kadang kedatangan kita, sekalipun tidak dapat menyumbang banyak, memberikan mereka sokongan moral. Kepada mangsa banjir, kami sekeluarga mendoakan anda tabah menghadapi ujian Tuhan. Allah pasti tidak akan menguji hambaNya, lebih dari kemampuanNya. Pastilah ada hikmah, mengapa dalam sekalian manusia, anda yang menjadi pilihanNya menerima dugaan ini. Tabahkanlah hati....

 lumpur yang tinggal di lantai dapur

 perabot yang sudah kembang semangkuk

 hehehe budak-budak ni action aje yang lebih, main air lagi banyak dari menolong

 penduduk menerima bantuan makanan. hari tu beras yang dihantar x cukup, jadi sekampit beras 10kg harus dibahagi kepada 2 buah rumah
pemandangan dari jalan raya jalan mengala ke rumah sudah surut

06 November 2010

Jalan-jalan Cari Makan : Baghdad Cafe, Bandar Seri Putra

Bosan dengan makanan Malaysia? Western? Sekarang ini sudah ada pilihan selain dari nasi lemak dan lamb chop. Kedai makan berkonsep Timur Tengah seperti Arab, Lebanon dan Turki sudah mula beroperasi di Malaysia. Di Putrajaya, di Presint 15 ada di Cyberjaya pun ada. Yang pasti, sediakan duitnya saja. Sesekala beralih selera, memang agak mahal juga wang yang harus disediakannya. Almaklum, jika sepinggan nasi Arab, harganya lebih kurang RM20. Tetapi seperti yang saya katakan tadi, sesekala apalah salahnya.

Menu masakan ala-ala Arab ini biasanya nasi dan daging/ayam bakar yang dihidangkan bersama ulaman dan buah tomato bakar. Selain itu roti seperti roti capati/naan dimakan bersama kuah. Yang pastinya, masakan mereka tidaklah bersantan seperti masakan kita, biasanya dibakar. Saya diberitahu, ayam/daging yang dibakar harus dimakan bersama bawang untuk meneutralkan kesan dibakar (oksida). Hidangan mereka tidak sah, jika tidak diminum bersama teh.

Saya berkesempatan ke Baghdad Cafe, Bandar Seri Putra tidak berapa lama dahulu.  Sengaja nak melepak merasakan suasana lain sikit dari suasana biasa di BSP ni. Lokasinya sebaris dengan Restoren Bihun Sup Utara/BSN. Suasananya santai, sesuai kalau nak berborak-borak bersama teman-teman. Tuan punya restoren ni mencuba menjadikannya seArab yang mungkin tetapi pelayannya adalah kanak-kanak/remaja (dia memanggil saya kakak....hahaha) yang mengurangkan sedikit kredit saya dalam memberi markah. Apapun, kalau hendak mencari kelainan, bolehlah ke mari!

antara gambar yang sempat saya rakam dalam bersantai dan bersembang dengan ehem-ehem...hehehe

24 Oktober 2010

Anak gadisku dan Ultraman

Ultraman sudah menjadi hero dari zaman dolu-dolu sampailah zaman anak-anak kita sekarang. Entah dah berapa keturunan dah ultraman ni....dah jadi lagenda. Ultraman ni dah jadi hero kesayangan tak kira bangsa. Baru-baru ni saya sempat bawa 2 anak teruna saya ke sesi Ultraman bertemu Peminat, kali ini di The Mines, Seri Kembangan. Disebabkan sudah banyak sangat kali bergambar dengan Ultraman, saya awal-awal lagi pesan dengan 2 jejaka tu supaya tengok aje tapi x nak bergambar. Bukannya apa, barisan peminat Ultraman itu terlalulah panjangnya.

Tengahari itu kami sampai awal, jam 12.00 tgh seperti yang dijadualkan tetapi sakit hati sebab tidak diberitahu yang Ultraman hanya akan muncul jam 2.00 ptg. Jenuhlah kami menunggu disajikan dengan lagu-lagu persembahan kanak-kanak Cina. Penganjur memang tidak sensitif dengan keperluan peminta Ultraman berbangsa selain Cina yang memang ramai kat depan pentas tu. Sudahlah persembahannya dalam bahasa Cina, patutnya pengacaranya cakaplah bahasa Melayu juga tapi cakap Cina dan bahasa Inggeris. Saya bukannya anti perkauman tetapi saya hairan dengan ketidakpekaan penganjur kepada saranan PM Najib yang mahukan konsep 1 Malaysia. Mujurlah pengacara di acara kemuncak ada bertutur dalam bahasa Melayu juga berselang-seli dengan bahasa Inggeris. Cukup saya tak faham. Agaknya inilah kali terakhir saya bawa budak-budak ni bertemu Ultraman. Nak boikot!

Bercerita pasal Ultraman, Hana di rumah juga sudah mula berjinak-jinak dengan Ultraman disebabkan abang-abangnya suka Ultraman. Hehehee....saya kena lakukan sesuatu ni....kena bagi benda lain ni....Takut anak gadis saya jadi Ultrawomen plak nanti...hehehehe

18 Oktober 2010

Hana sudah pulang ke rumah

gambar hari ke 4 di Hospital Serdang

Semasa reunion ex Berliners di rumah Kak Aed, Hana sudah batuk-batuk tapi dia gembira dan nampak sihat. Masa tu hari Sabtu. Hari Ahad sudah ke klinik dan mula demam pada malam hari, Isninnya saya mengambil cuti kecemasan. Tanpa disangka, demamnya sekejap ok, sekejap jadi terutama pada malam hari. Hari Khamis dia sudah menampakkan semakin tidak bermaya, ayahnya cuti dan bawa dia ke Klinik Kesihatan Bangi. Kemuncaknya saya dan suami ke Hospital Serdang jam 11.00 malam dan dia dimasukkan ke wad 5A, didiagnos  pneumonia.  Dia batuk teruk tidak berhenti-henti sehingga merah padam. Saya yang melihat menitiskan air mata. Kalaulah penyakitnya itu boleh dipindahkan kepada saya. Tetapi apakan daya, saya hanya mampu melihatnya menanggung sengsara itu sendirian tanpa boleh berbuat apa-apa selain dari menemaninya sebaik tamat waktu persekolahan. 

Saya merempit ke hospital dan mengambil tugas menjaga Hana dari pengasuhnya sehingga ke malam. Pagi esok, seawal 6.30 pagi saya sudah bertolak balik ke rumah untuk meneruskan pekerjaan. Almaklum, tugas sebagai guru, saya tidak sewenangwenangnya boleh mengambil cuti kecemasan 7 hari sepanjang tahun itu. Hingga doktor di situ marahkan saya kerana "TIDAK MEMBEKALKAN HANA DENGAN SUSU" semasa meninggalkannya dalam jagaan pengasuhnya. Saya mahu DISEKOLAHKAN dengan mengikuti kelas kaunseling BREASTFEED.  Jururawatpun gelak kerana selalunya ibu yang memberi anak susu botol yang kena beri kaunseling, tapi ini dah terbalik. Semuanya berlaku kerana salah faham. Saya tidak dapat bertemu doktor semasa sesi lawatan untuk memberikan penerangan mengapakah Hana Montella saya tidak mahu susu selain susu ibunya. Tetapi saya memang kecil hati kerana doktor memperkecilkan peranan saya sebagai seorang ibu yang pastiya telah berusaha terbaik untuk "MEMONTELKAN" Hana saya!

Apapun Doktor itu sudahpun menerima 'balasannya'. Bukan saya, tetapi orang lain telah membuat aduan tentang sikap doktor itu yang agak menjengkelkan semasa berkomunikasi dengan pesakitnya. Itulah namanya "HIDUP UMPAMA RODA". 


Setelah 3 hari barulah keadaan Hana menunjukkan perubahan. Alhamdulillah hari ke 5, Hana sudah boleh keluar dari wad. Kebetulan saya memang mengambil cuti rehat pada hari itu. Ada hikmah kerana saya diberi panduan penggunaan puff. Hana saya disahkan doktor mengidap Asma. 

Kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga kerja Hospital Serdang yang membantu sepanjang Hana dirawat di sana. Semoga ALLAH membalas kebaikan mereka dengan kebaikan yang lebih lagi.

Kini, Hana saya sudah sihat walaupun masih memakai puff 2 kali sehari. Gembira sangat dia dan saya tidak sudah-sudah mengucapkan syukur kerana melihat senyuman Hana.

15 Oktober 2010

Payahnya nak update blog

Jenuh saya nak upload gambar beberapa hari ni tapi x boleh. Memang geram!

04 Oktober 2010

Laila sini sana!

Saya memandang skrin blog dengan pandangan kosong. Hati teruja hendak mengemaskini blog yang berabuk tapi disebabkan sudah terlalu lama peristiwa-peristiwa itu terjadi, saya tak tahu hendak menceritakan peristiwa yang mana di dalam blog saya. Padan muka! Itulah sebabnya kalau kerja bertangguh. Sepatutnya kalau nak jadi 'wartawan' kenalah bertindak segera semasa berita masih panas. Hehe. Jadi saya ringkaskanlah cerita saya, lihat ajelah gambar-gambar ini tentang apa yang terjadi kepada saya sepanjang 28 Mac hingga 28 September ini (6 bulan).
 rakaman gambar saya yang terakhir di lapangan terbang Tegel, Berlin
 antara teman di Berlin yang menghantar kami pulang di subuh hening: Erna, Raja Aida dan Sara
 dah 2 kali ke Petrosains bawa anak-anak, sampai dah tak tau nak buat apa kat sana (beli kad tahunan untuk unlimited access). tak tahula kalau anak-anak ajak lagi...
 ke tayangan Toy Storey III-3D. Kimy tanggal speck 3D separuh dari masa tayangan...hehehe tak ke membazir?
 bersama teman seperguruan men'sumbang'kan lagu Guru Malaysia sempena Hari Guru, best sebab dapat tukar sekolah baru...hehe
 bawa nenek dan mak bersiar-siar di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya
 KLCC, tak berubahpun walau 2 tahun x pergi....
 seronoknya main air laut....selepas 2 tahun...lepas rindu pada bau laut di Pangkor
 mama dan Hana...sapa comey? Hana la....hehehe
 tunjuk skil memecahkan belon lawan...sempena Hari Keluarga SMSTSP di Pangkor, juara tau!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...