28 November 2013

Ekpedisi Kinabalu ; 18 November 2013 Menggapai Puncak

Perjalanan dimulakan jam 2.30 pagi. Setelah berjaya tidur-tidur ayam, pastilah tak sukar untuk bangun jam 1.30 pagi untuk bersiap. Apabila restauran dibuka jam 2.00 pagi, apa yang saya boleh telan hanyalah roti sekeping dicicah air kopi. Itupun jenuh nak telan. Saya makan vitamin dan panadol untuk elakkan pening kepala. Setelah bersarapan ala kadar, kami berkumpul tepat jam 2.30 pagi. Kami diberikan penerangan ringkas, senaman ringkas dan berdoa (tak ringkas hehe). Paling best, orang yang sampai lambat (saya la tu), diberikan ruang jalan terlebih dahulu. Hahaha... semangat tu. 

Sampai 30 minit berjalan saya masih di depan tapi kemudian tiba-tiba saya rasa pening. Saya berhenti dan bagi peluang orang memotong. Pada ketika itu, abang dah duduk kat sebelah saya dan saya **** Habis semua makanan yang tak seberapa tu keluar semuanya. Pakcik Ishak tanya kepada saya okey ke tidak. Dia dah beritahu awal, kalau ada simptom mabuk-mabuk, boleh beritahu dan misi akan diberhentikan. Saya kata saya ok. Setelah bertenang, saya meneruskan perjalanan.

Perjalanan pagi itu hanya diterangi lampu suluh dan cahaya bulan yang cantik. Subhanallah. Nak ambil gambar bulan tapi kamera tak dapat capture, jadi saya tak dapat kongsikan bersama anda di sini.
Seperti semalam, perjalanan kami menaiki tangga-tangga dengan jalanan berbatu. Rupanya bukan saya seorang yang kena AMS (Acute Mountain Sickness) ataupun dalam bahasa Melayu yang mudah mabuk gunung/altitut tinggi. Boleh baca pasal AMS dan simptomnya di sini AMS. Mungkin saya berjalan terlalu laju supaya tak tertinggal macam semalam menyebabkan  saya kena AMS. Tapi kawan saya yang memang selalu mabuk bila naik bas, turut menghadapi AMS. Jadi mungkin itu juga salah satu sebabnya. Orang yang selalu mabuk-mabuk (bukan minum alkohol ye hehehe) naik bas, naik bot, etc la, akan mudah dapat AMS ni rasanya. Tapi kawan saya lagi teruk kerana dia muntah beberapa kali. Saya cuma muntah sekali dan pening-pening, tapi saya masih boleh melangkahkan kaki.

Kami sampai di checkpoint Sayat Sayat jam 5.30 pagi. Hmm... sepatutnya saya kena sampai jam 5.00 pagi paling lewat. Tapi renjer baik hati, benarkan kami naik. Dia pesan, kalau orang lain trun, kami kena turun juga. Saya memang tak tahu yang kena sampai di checkpoint itu jam 5.00 pagi. Kalau tahu, mungkin saya bertambah tertekan. Saya kata kat abang, kalau ada rezeki, kita sampai. Kawan saya yang tiba selepas itu tidak dibenarkan naik ke puncak. Ini disebabkan mereka menjangka kalau sudah naik lewat, nanti turun juga lewat. Hotel checkout jam 10.30 pagi dan selepas sejam bayaran tambahan RM100 akan dikenakan. Ini untuk beri peluang kepada pendaki yang baru tiba pula.

Sebaik naik mengikut tali, kami berhenti seketika untuk solat Subuh. Air yang dibawa memang sejuk gila. Matahari sudah mula mahu menunjukkan diri, lalu kami bertiga (ada seorang kawan lagi) mahu duduk melihat pemandangan matahari naik. Subhanallah. Melihat matahari muncul ketika berada di atas awan, pemandangannya memang sangat cantik!



Selepas matahari terbit, kawan saya mahu turun kerana lututnya cedera. Jika sudah sampai di Sayat Sayat, anda sudah boleh dapat sijil Kinabalu, cuma tidak berwarna. Untuk dapatkan sijil berwarna, anda kena sampai ke 8.5km. Saya dan abang berbolak-balik sama ada hendak meneruskan perjalanan atau turun saja. Badan sudah lesu tapi kami tidak cedera. Kalau tak naik, entah bila akan datang lagi. Ini operasi now or never. Sekalipun tak berapa cergas, saya kata kat abang, kita lihat dulu apa ada di sebalik puncak berbatu di belakang kami. 

Dengan semangat itu, kami tiba di balik puncak dan nampak sayup dari situ, ada kira-kira 2.5km lagi untuk sampai ke km8.5 (nak dapat sijil warna) hehe. Abang tanya kondisi saya dan saya kata, kita jalan sampai jumpa kawan-kawan lain. Kalau mereka sudah mahu turun, maka kami akan turun sama. Jika ada rezeki sampai ke puncak, maka sampailah. Dengan menapak di kawasan berbatu menuju puncak, memang penat sementelah melihat ramai pendaki yang sudah turun.

Namun kata-kata semangat seorang pendaki wanita Inggeris yang mula-mula turun, supaya kami sampai ke puncak. Katanya tak jauh lagi... Cuaca sangat cantik, jadi kami perlu teruskan... membuatkan semangat kami semakin pulih. Kami tiba di landmark Gunung Kinabalu, puncak runcing itu. Itupun saya sudah gembira. Ingatkan saya tak akan jejak ke situ. 



Perlahan-lahan dengan dorongan suami, kami berjalan perlahan-lahan. Akhirnya kami terserempak dengan kawan-kawan lain yang baru turun dari puncak. Untuk bergambar di puncak, kena beratur.  Jadi mereka terpaksa menunggu giliran. Terus-terang pakcik Ishak guide tu sudah melaporkan yang saya tidak sampai ke puncak. Jadi dia kena betulkan laporannya. Tentu dia tak sangka, si kura-kura ini akhirnya sampai juga. Sebab itulah gambar saya tak ada bersama-sama dengan rombongan utama. Mereka memang begitu fit dan sihat sebab sampai ke bawah puncak Low's Peak sekitar jam 6.30 pagi. Jadi ketika saya sampai, mereka sudah berada 2 jam di sana. Alhamdulillah, mereka memberi semangat kepada kami berdua untuk terus mendaki puncak. Mereka turun untuk mengejar untuk mengemas barang-barang dan makan. Saya sempat meminta tolong seorang kawan untuk mengemaskan barang-barang saya di katil jika saya tak sempat sampai.

Inilah akhirnya. Dalam AMS, saya berjaya sampai ke puncak. Memang puas hati. Alhamdulillah. Disebabkan hanya kami berdua, maka memang kami suka hati mengambil gambar dan video dengan bebas. Saya sempat merakam pesanan untuk anak-anak dari puncak Low's Peak tapi disebabkan angin kencang, suara saya tak jelas kedengaran.



 Inilah impian saya sejak kenal aktiviti mendaki, mendaki Kinabalu, puncak tertinggi di  Asia Tenggara. Alhamdulillah Tuhan mengabulkan impian saya. Saya harap, kejayaan saya dan suami menjadi inspirasi kepada anak-anak kami untuk mencapai impian mereka. Jika kami berdua, boleh melakukan misi mustahil dengan hanya berbekalkan doa, harapan dan semangat, pastilah mereka juga boleh menggapai impian mereka sendiri, in syaa Allah.

Ketika turun dari puncak, AMS saya semakin merusuh. Setiap kali saya berdiri, saya akan rasa loya, pening kepala dan nak muntah. Sudahnya saya mengesot. Hanya kesabaran ketika itu yang menyebabkan suami saya menanti saya. Pada pertengahan jalan, disebabkan terlalu lambat, guide tertinggalkan kami. Dia terpaksa menunggu di checkpint Sayat Sayat. Malah pakcik Ishak yang sudah turun, terpaksa naik semula ke Sayat Sayat kerana bimbangkan kami yang terlalu lama mengambil masa turun.

 Inilah papan tanda amaran tentang bahaya. Pada waktu subuh hening ketika kami semua mendaki, tak nampak bagaimana rupanya tapi bila dah siang, baru nampak betapa bahayanya di situ. Alhamdulillah kami tidak cedera dan berjaya turun dari Sayat Sayat dan tiba ke tempat penginapan di Laban Rata pada jam 11. 00 pagi.  Ketua ekspedisi, Shahrul menanti dengan beg kami. Alhamdulillah kawan tolong kemas. Makananpun masih ada disimpan. Kawan-kawan lain sudah pun check out menuju ke Timpohon Gate. 

Kami memulakan perjalanan turun pada jam 12.30 tengahari. Tak lalu makan. Perlahan-lahan kami turun ke Timpohon Gate menuruni batu-batu dan tangga, laluan sama seperti semalam selama 6 jam. Bermakna kawna-kawan terpaksa menanti 3 jam di Kinabalu Park, sebab mereka sampai jam 3.30 petang. Sabarnya mereka menunggu kami!  



Alhamdulillah misi tercapai. Daripada 19 orang yang mendaki, 16 mendapat sijil warna, 3 lagi mendapat sijil hitam putih. Tapi bersyukur kerana semua dapat sijil! Ada saja pendaki yang tak dapat sijil. Kami telah membuktikan, apapun boleh diatasi dengan menawan mental sendiri terlebih dahulu. Kekuatan fizikal penting kerana dengan fizikal yang baik, anda akan dapat menikmati ekspedisi dengan lebih gembira tetapi jika fizikal anda telah lumpuh, hanya kekuatan mental yang berjaya membawa anda sampai ke puncak! Terima kasih kepada semua rakan pendaki yang memberi sokongan juga kepada teman-teman lain yang mendoakan dan memberikan sokongan dan harapan hingga ke pintu balai ketibaan. Saya tahu ada ramai lagi di luar sana yang mendoakan saya menggapai impian saya. Terima kasih semua! Andalah permata saya yang berharga!

Saya tinggalkan anda dengan lagu yang begitu memberi semangat dan inspirasi. It's only in your mine. You can achieve everything if you want! Kepada mereka yang bercita-cita untuk menawan Kinabalu, saya mengucapkan selamat maju jaya. Anda boleh melakukannya jika anda mahu. Bawalah seseorang yang dekat dengan hati anda kerana apabila berada bersama dengan orang yang anda sayang, anda menjadi lebih kuat menghadapi kesukaran. Berdua kan lebih baik? Saya tahu saya tidak akan sampai ke puncak jika saya sendiri. benarlah kata suami saya awal-awal dulu, saya tak akan berjaya tanpanya! Selamat mendaki!



Tercapaikah 3 impian saya untuk menyahut cabaran Kinabalu? Saya sedang menyiapkan manuskrip novel saya yang terbaru Cinta Top Secret. Hanya apabila saya meletakkan titik, barulah kejayaan Kinabalu lengkap bagi saya.

3 ulasan:

Mehmet Wie berkata...

Tahniah kpd awak suami isteri kerana berjaya menawan puncak tertinggi di asia.. saya pun ada angan2 nak mendaki gunung kinabalu juga tapi tak tahulah bila agaknya..

Ryanna Ad berkata...

Tahniah! Sebagai org Sabah, sy dah 2x naik gunung tu. Rasa nak cabar diri sekali lagi sbb dulu naik zaman muda remaja. msh fit. skrg ni.. alahai.. ragu2 jg.. hehehe..

LK berkata...

Wie-terima kasih. semuanya bermula dgn angan2. smg angan2 jadi nyata.

Ryanna- tahniah org Sabah. kalau dah 2 kali naik tu pasti boleh kali ke-3 in syaa Allah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...