20 Disember 2012

Jom Europe! Projek Terbaru Laila

Assalamualaikum dan selamat sejahtera! Wah! Dah agak lama saya tidak mengemaskini blog saya dengan info travel. Seribu kemaafan kepada pengunjung setia blog saya yang kebanyakannya mengikuti blog Laila Kamilia kerana info-info travel Laila. Menyiapkan novel, kesibukan kerja dan kurang berjalan (tahun ni sempat juga berjalan tapi tak sempat dikemaskini juga) antara yang menyebabkan saya tidak dapat menghidangkan anda dengan info terbaru. Tetapi alhamdulillah, mujur sempat menjawab kiriman emel anda bertanyakan tentang info travel. Rasanya semua emel dapat saya jawab di celah-celah kesibukan itu.

Jadi saya dengan sukacita ingin memaklumkan, buku terbaru saya selepas novel Ich Liebe Dich adalah Jom Europe! InsyaAllah saya akan berusaha menyiapkannya secepat mungkin. Doakan saya!

Sehingga itu semoga berjumpa lagi pada entri seterusnya. 


London : Antara 10 destinasi terbaik Eropah dalam buku Jom Eropah (tajuk sementara).

17 Disember 2012

Kesediaan Menulis

Sudah berapa lama juga saya tidak menulis entri tentang pendidikan walaupun sebenarnya saya ingin tulis sejak sekian lama. Kalau dulu saya menulis tentang kesediaan membaca, kali ini saya ingin menyentuh tentang kesediaan menulis pula. Ya, menulis sebenarnya datang dulu dari membaca atau pandai memabaca dulu baru boleh menulis? Ia sebenarnya terpulang kepada kebolehan individu kerana ada yang suka membaca manakala ada yang suka menulis. Tapi saya percaya, sebenarnya ramai antara kita yang bermula dengan menulis terlebih dahulu.

Kebolehan menulis bermula dengan contengan. Ya, semasa kita bayi lagi, bila mendapat pensel, kita akan mula menconteng entah apa-apa. Mula-mula garisan dan kemudian bulatan. Tetapi pernahkah kita terfikir, bagaimana asas untuk kita menulis?

Menulis memerlukan kekuatan motor halus. Oleh itu semasa anak anda masih bayi, sentiasa beri dia galakan untuk menyentuh pelbagai benda, bermula dengan yang lembut kemudian barulah keras. Semasa Hardy masih kecil, saya sentiasa memakaikan dia sarung tangan kerana kata orang tua-tua nanti sejuk tetapi berlainan dengan Hakimy saya sentiasa lepas bebas tangannya tanpa sarung tangan sejak bayi kecuali semasa sejuk. Saya dapati Hakimy lebih cepat memegang, melempar kerana otot tangannya telah bersedia. Motor halusnya telah bersedia untuk dia mengembara dengan pengalaman-pengalaman baru melalui deria sentuhannya.

Oleh itu sebagai persediaan awal, semasa kanak-kanak, adalah digalakkan supaya memberi peluang kepada anak anda bermain dengan pasir, tanah liat ataupun bola lembut supaya dia dapat bermain dan mengembara dengan deria sentuhannya supaya apabila motor halusnya sudah bersedia, dia akan boleh memegang pensel dan mengawalnya dengan baik. Ini kerana menulis bukan sekadar boleh memegang pensel tetapi mengawal pergerakan pensel itu yang paling penting. Kerana itu, di sekolah di dalam kelas pendidikan khas, guru-guru selalu bermain-main dengan tangan anak-anak seperti mengurut, menyentuh, menguli tanah liat dan sebagainya. Janganlah pula dimarah kerana kelihatan seolah-olah guru-guru itu tidak mengajar tetapi sebenarnya beliau sedang melakukan senaman dan terapi kepada tangan anak anda.

Seorang teman suatu hari merungut kerana tulisan anaknya tidak cantik. Dia bertanyakan kepada saya kerana bimbangkan tentang prestasi anaknya yang dikatakan tidak sejajar dengan prestasi dia suami isteri yang sudah boleh menulis cantik pada usia yang lebih awal. Saya tanyakan kepada dia bagaimana dia mengajar anaknya menulis dan jawapannya ialah dengan meminta anaknya menulis di atas kertas A4 kosong yang tidak bergaris. Saya meminta dia membuat garisan atas kertas tersebut dan bila anaknya sudah mahir, barulah dilatih menulis tanpa garisan. Alhamdulillah tidak berapa lama kemudian, dia memberitahu tulisan anaknya sudah semakin cantik. 

Semasa saya bersekolah, teman saya yang mempunyai tulisan yang sangat cantik. Namanya Hirdawati. Sehingga kini saya tidak pernah berjumpa dengan tulisan tangan secantik tulisan tangan dia. Dia boleh menyalin nota yang dibaca guru dengan cantik sekali, berkait-kait, berbunga-bunga. Apa yang saya boleh katakan, dia memang suka membuat latihan menulis hingga mendapat tulisan cantik seperti itu. Kawan saya seorang lagi, berkata ayahnya akan memegang rotan semasa mengajar anak-anak menulis kerana itu adik-beradiknya mempunyai tulisan tangan yang cantik dan kemas.

Kesimpulannya, menulis memerlukan latihan juga sebagaimana lain-lain kemahiran yang kita pelajari. Semakin banyak kita berlatih, semakin kita mahir dengannya. Tetapi ia sebenarnya bermula sejak anak-anak itu masih bayi kerana kesediaan menulis harus diterapkan lebih awal.


Satu lagi, saya ingin kongsikan. Jika anak anda rajin benar menulis, berikan dia kertas. Jangan sesekali memberinya menconteng dinding atau sofa etc kerana ia adalah medium yang salah. Saya bimbang kerana rajinnya dia menulis, habis dinding tandas di sekolah diconteng! Rajin-rajin juga bawa mereka masuk pertandingan melukis atau mewarna. Walaupun tidak menang, semua itu memberi satu pengalaman berharga kepada mereka!

Powerpuff Girls Mama : Kini di Pasaran!


SINOPSIS BUKU 1 HARI 1 CERITA : POWERPUFFGIRLS MAMA


TULISAN LAILA KAMILIA 

Hardy Dan Bola
Kalau budak lelaki tak main bola, bukan anak jantan la! Dari Liga Perdana Inggeris, La Liga, Bundesliga hatta ke Liga Malaysia, Hardy memang gila bola. Tak cukup menonton, dia turut sama mengejar bola. Dia hero kelas dalam pertandingan futsal tahun sebelumnya. Tahun ini mungkinkah ada perubahan ketara? Hardy risau melihat tubuhnya yang sudah berganda. Kata doktor, kadar metabolismenya ada sedikit huru-hara. Adakah dia akan kembali menyarung jersi kelasnya? Jom kita lihat bagaimana Hardy menangani obsesinya pada bola!





Pustaka Mini Aina
Aina bersekolah di SRJK (C) Cina. Gadis usia 11 tahun ini hobinya membaca. Rumahnya penuh dengan buku kerana minatnya. Jadi Aina fikir eloklah dia menjadikan sebuah bilik menjadi sebuah mini pustaka. Hmm... Aina memang seronok membuat transformasi hingga semua kawan-kawan terbabit sama. Suatu hari Aina terpilih mewakili sekolah ke Pertandingan Pidato DiRaja. Mampukah murid sekolah aliran Cina ini menunjukkan bakatnya? Jangan lupa, dia ada Pustaka Mini Aina yang besar jasanya.


Terima Kasih ALLAH
Kata pepatah, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Suatu hari Iskandar didenda kerana ditangkap seorang guru sedang mengejek seorang murid pendidikan khas yang dikatakan gila. Dia didenda selama seminggu untuk menjalani pembelajaran di kelas pendidikan khas, meninggalkan kelasnya di aliran perdana. Bolehkah murid nakal seperti Iskandar menangani rakan-rakan baru di kalangan murid-murid istimewa? Setiap kejadian TUHAN pastilah ada sebabnya. Cuma Iskandar perlu buka mata untuk melihatnya.


TULISAN LYNN DAYANA

Mogok Tak Menjadi
Bila prestasi pelajaran Herman dan Aisya merosot, semua keistimewaan ditarik balik. Tiada PS2, tiada telefon dan mereka pun mogok! Namun, ibu bapa mereka yang lebih dahulu makan garam pastinya lebih berkuasa minda dan ideanya menangani mereka. Mogok pun hilang, rasa insaf pula yang datang.

Jiwa yang Merdeka
4 sekawan belajar makna merdeka setelah terperangkap dalam hujan di depan rumah Pak Ali yang sedang memasang bendera di bulan Oktober. Rupa-rupanya, besar makna merdeka yang tidak pernah mereka fikir dan selalu abaikan. Pulang ke rumah, semua pun berkobar semangat mahu berjiwa merdeka sepanjang tahun dan bukan hanya pada 31 Ogos sahaja.


Upah Vs Pahala
Fareez mahu membeli PS2 maka dia menjadi rajin namun rajinnya mesti berbalaskan upah. Semua tugasan di rumah pun pasti ada ganjaran. Hinggalah Fareez mendengar cerita tentang kerajinan Hanum membantu emaknya. Kata Hanum, dia tidak mengambil upah namun dia mengharapkan pahala. Fareez jadi malu dan belajar mahu meraih pahala juga.


TULISAN MARYAM ELYAS

Husna Dan Angry Bird
Disebabkan bermain permainan video Angry Bird, pelajaran Husna merosot. Dia mulai sedar kesalahannya apabila kerap tertidur di dalam kelas kerana letih bermain Angry Bird hingga jauh malam.

Jamil Dapat Kawan Baik
Jamil sering dibuli oleh Taha, Udin dan Abu. Namun mereka akhirnya menjadi kawan baik apabila Jamil menyelamatkan Taha daripada lemas di sungai.

Jom Facebook
Mimi mengajar atuk dan neneknya bermain facebook untuk memudahkan mereka berhubung. Mimi gembira apabila dia yang tinggal di bandar boleh melihat gambar atuk dan nenek di facebook setiap hari. 

TULISAN NURLIZA MOHD NASIR

Mama, kenapa pakai tudung?
Suka benar Bella kerana dapat balik kampung. Iyalah. Selain dapat berjumpa dengan nenek dan datuk, Bella juga dapat bermain dengan sepupu-sepupunya. Bella pelik melihat emak dan mak cik-mak ciknya yang memakai tudung di dalam rumah. Setelah diperjelaskan sebabnya, barulah Bella faham.

Apa yang penting, kerjasama!
Kelas 5 Cemerlang diumumkan sebagai kelas darjah lima terkotor lagi. Arida tidak berpuas hati. Kelas mereka bukannya kotor pun cuma tidak cukup ceria sahaja. Sasha mencadangkan agar seluruh warga 5 Cemerlang mengadakan gotong-royong dan semuanya bersetuju.

Akibat tak dengar cakap
Aidi anak yatim piatu. Ibu dan ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Aidi sekarang duduk dengan neneknya yang sudah tua. Walaupun ditatang bagai minyak yang penuh, Aidi tetap tidak suka duduk dengan Nenek Siti. Bagi Aidi, rumahnya di bandar jauh lebih selesa. Satu hari, Aidi pergi mandi sungai berseorangan. Walaupun telah ditegah oleh Abang Leman, Aidi tetap berdegil. Namun dengan tidak diduga, Aidi telah terpijak labi-labi.

Live While You're Young- One Direction, lagu inspirasi Ich Liebe Dich

Untuk mendapatkan mood menulis kisah anak-anak remaja di luar negara, saya menemankan diri saya dengan lagu Live While You're Young- One Direction, sebagai inspirasi. Lagunya yang rancak dan 'hidup' membuatkan saya berasa bersemangat untuk menggarap ILD. Muzik video anak-anak muda sedang bersukaria, memberikan saya gambaran kehidupan mereka di sana. Hehe dan menjamu mata juga! 

Jom saksikan video One Direction. Sambil tu cubalah teka yang mana satukah Adrian si mata coklat-biru dalam ramai-ramai ahli One Direction yang comey itu? Hehe.

15 Disember 2012

Ich Liebe Dich : Dalam proses akhir...

Bahagia! Wajah saya ketika ini pasti sama ketika gambar ini dirakam di Taman Keukenhoff beberapa tahun lalu. Hehe... setelah setahun, akhirnya saya menoktahkan juga manuskrip itu. Idea untuk menjana  ILD telah ada ketika saya masih di Berlin. Alhamdulillah ianya dapat direalisasikan setelah 2 tahun setengah saya pulang dari sana.

Seperti selalu, saya mengharapkan anda semua suka pada tulisan saya. Manuskrip ini merupakan yang tersusah saya siapkan di sepanjang saya menjadi novelis selama 6 tahun! Jadi saya harap hasilnya dabom!

Ketika ini, saya sedang menyiapkan perkara-perkara akhir untuk novel ke 5 saya ini seperti blurb, tinta penulis, penghargaan dan segemen ilmu. 

Tak sabar menantikan buah hati saya? Hmm... saya juga. Saya benar-benar berharap anda terhibur dengan kisah cinta yang berlatarkan Berlin ini. Hmm... semoga kisah ini menjadi sebuah kisah cinta yang bukan biasa-biasa...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...