Setiap kali menyambut Hari Guru pada setiap 16 Mei, dua lagu yang boleh dikategorikan sebagai lagu wajib yang menyentuh hati saya adalah Lagu Guru Malaysia dan Biarku Menjadi Lilin. Setiap bait lagu yang dinyanyikan itu benar-benar membuat hati saya sayu. Tanpa orang lain sedar, air mata saya bergenang setiap kali menyanyikannya. Bagi saya setiap lirik lagu itu memberi banyak peringatan kepada saya tentang niat saya terjun ke bidang pendidikan terutamanya bidang pendidikan khas. Setiap kali lagu itu dinyanyikan seolahnya ia memberi peluang kepada saya untuk menilai diri, azam dan menguatkan semangat. Kedengarannya klise tetapi itulah hakikat yang saya rasakan.
Dulu semasa saya di sekolah, saya sering tidak faham apabila guru-guru marah pada lawan-kawan yang nakal dan saya jadi hairan bila murid nakal selalunya dapat nombor tercorot. Namun apabila menyandang jawatan guru, baru saya tahu kenapakah murid yang selalu menyakitkan hati cikgu selalu dapat nombor akhir sekalipun sudah berbuih-buih guru mengajar. Sekalipun jika banyak duit murid itu pergi ke kelas tuisyen keputusannya tak juga bertambah baik. Rupanya benar, doa seorang guru (saya yakin setiap guru tidak akan mendoakan yang tidak baik kepada muridnya) itu dan pandangan guru itu terhadap muridnya mempengaruhi prestasi murid. Bila sudah duduk di depan kelas menjadi seorang guru, apabila saya memandang murid, akan ada satu rasa; murid yang menyenangkan, redhanya hati seorang guru itu mengajarnya. Walaupun sukarnya murid itu untuk mendapatkan ilmu tetapi akhirnya murid itu akan berjaya.
Sebaliknya jika guru itu memandang dengan pandangan yang kurang menyenangkan kerana kenakalannya mahupun kerana tak tahan dengan karenah ibubapanya, maka sukarlah anaknya itu mendapat ilmu ataupun prestasinya akan menurun dari semasa ke semasa. Tahulah saya kerana walau seorang guru itu cuba bersikap profesional terhadap setiap ujian yang datang menjengahnya sebagai seorang pendidik, sebagai manusia yang penuh kelemahan, pastilah dia tetap berasa susah hati, marah, terkilan dan sebagainya. Jadi kerana itu sedaya mungkin, sebagai ibu, saya akan cuba sedaya upaya mengekalkan hubungan baik dengan guru-guru anak saya. Bukan untuk 'membeli' guru itu tetapi saya tahu, gurulah yang terbaik mengetahui siapa anak kita yang sebenarnya. Tidak rugi mempunyai hubungan baik dengan guru anak.
Selalu orang kata, senang kalau anak bersekolah sekali dengan emak. Memang senang kerana mudah untuk saya memantau pergerakan anak di sekolah. Selain itu saya boleh berbincang dengan guru anak tentang prestasi mereka. Tetapi percayalah, sekalipun satu sekolah, saya sangat menghormati guru-guru anak saya. Seboleh mungkin apa yang gurunya minta, saya akan cuba menjadi orang pertama yang mendapatkannya seperti bayaran yuran, laporan akademik mahupun bahan sekolah kerana saya tidak mahu menyusahkan gurunya. Saya hanya mahu anak saya menimba ilmu dengan gembira kerana saya percaya, bila guru meredhainya, mudahlah ilmu akan diterima oleh anak saya.
Kepada guru-guru saya di luar sana, saya sangat berterima kasih kerana telah menjadikan saya seorang manusia pada hari ini. Seperti kata-kata di kad yang saya terima saban tahun dari ibu murid saya yang dipetik dari kata-kata Imam Al Ghazali,"Hak guru lebih agung dari hak ibubapa, sebab ibubapa penyebab adanya kita sekarang dan kehidupan yang fana sementara guru, penyebab hidup yang kekal. Sekiranya tiada guru, nescaya apa yang dihasilkan dan diarahkan oleh orang tua akan celaka selamaya."
Selamat hari guru. Jasamu dikenang sepanjang kehidupan....
Lagu Guru Malaysia
Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan
Lagu & Lirik : Hashim Ahmad
Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Terangi sekeliling dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar
Disaat kegelapan rela aku berkorban
Demi satu harapan
Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki
Aku tenang disini dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh terluka dan tersungkur
Kurawat biar sembuh
Aku tak kan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan setiap pemberian
Demi satu ikatan
Keikhlasan dihati
Walaupun kau ragui
Pada suatu masa dan suatu ketika
Akan ketara jua
Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Saat kau kesepian saat kau kegelapan
Kurela menerangkan
Aku senang begini dapat terus berbakti
Dengan cara sendiri
Memberikan cahaya
Terangi sekeliling dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar
Disaat kegelapan rela aku berkorban
Demi satu harapan
Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki
Aku tenang disini dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh terluka dan tersungkur
Kurawat biar sembuh
Aku tak kan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan setiap pemberian
Demi satu ikatan
Keikhlasan dihati
Walaupun kau ragui
Pada suatu masa dan suatu ketika
Akan ketara jua
Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Saat kau kesepian saat kau kegelapan
Kurela menerangkan
Aku senang begini dapat terus berbakti
Dengan cara sendiri
Kepada diri sendiri...setiap tahun saya harus memperbaiki diri, supaya saya menjadi guru yang lebih baik dari sehari ke sehari. Menjadi guru pendidikan khas, memang tidak akan dikritik oleh murid di dalam kelas tetapi di akhirat nanti, doa saya, janganlah mereka mengkritik saya di hadapan TUHAN. Sekalipun murid saya tidak mengucapkan selamat hari guru mahupun memberikan hadiah kerana ketidakupayaan mereka, saya tahu mereka sayangkan saya.....saya tahu mereka akan berikan satu dunia jika boleh kepada saya. Bukan hadiah yang cikgu harapkan tetapi cukuplah dengan ilmu dan kasih sayang yang cikgu bagi....kalian boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan murid di aliran perdana.
Kesempatan ini saya ingin merakam terima kasih kepada semua ibubapa anak istimewa ini yang sudi mengingati guru-guru pendidikan khas di seluruh dunia dengan kiriman pelbagai bentuk ingatan sempena hari istimewa mengenang guru. Percaya atau tidak, memang ramai yang tidak mengambil berat tentang ingatan kepada guru anak mereka pada hari istimewa ini tetapi ada ibubapa yang tetap mengirim salam hari guru kepada saya walaupun saya telah lama tidak mengajar anaknya dan sudah bertukar sekolah. Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan kepada beliau dan keluarganya.
Selamat hari guru kepada semua........ Guru itu cumalah manusia biasa yang punya hati dan perasaan.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan