18 Mei 2011

Selamat Ulangtahun ke 11- 1 Mei 2011


Tahun ke 11. Bukan lama sangat tapi bukan juga masih baru. Kalau tengok gambar, sudah nampak beza benar dengan 11 tahun yang lepas. Syukur, selain wajah yang dimamah usia, kami masih seperti berbelas tahun dulu. Kami masih bersahabat dan bercinta....Hahaha.... Masih keluar menonton bersama, berjalan kaki ke kedai, masih bertukar cerita. Dia bercerita saya mendengar, saya bersenda dia ketawa! Alhamdulillah. Moga ALLAH merahmati kami dengan keluarga bahagia, InsyaAllah.

Tahun ini kami meraikannya bersama anak-anak di Universal Studio, Singapura! Kiranya tahun ini adalah ulangtahun dedikasi bersama anak-anak. Kami ingin berkongsi cerita suka-duka perkahwinan kami bersama anak-anak, sementelah Hardy sudahpun 10 tahun. Ya, selama 11 tahun, banyak perkara yang telah kami lalui bersama. Banyak perkara telah menguji, banyak perkara telah terjadi.

Ada perkara yang kami tinggalkan tetapi kami selalu mengingatkannya. Ada perkara yang masih kami kekalkan dan menjadi tradisi. Ada perkara yang harus dilupakan sebagaimana ada perkara yang harus dimaafkan. Tiada kesalahan harus diungkitkan sebagaimana tiada hutang yang harus dikira untuk dibayar bunga. Ada perkara yang harus diingatkan sentiasa seperti kepercayaan dan kesetiaan tanpa curiga. Ada kala kita menangis bersama tetapi di kebanyakan masa kita tertawa gembira. Ada kejayaan demi kejayaan yang dirai malah ada pula kegagalan yang dijadikan landasan untuk berjaya di masa depan.

Tanpa dia, saya bukannya sesiapa. Dan tanpa saya siapalah dia. Hakikatnya antara kami saling melengkapkan. Tanpa satunya....1500 tiada makna!

17 Mei 2011

HARI GURU 2011


Sebiji kek, sekeping kad dan satu tanda mata 
ingatan ikhlas buat insan bernama GURU
pada tanggal keramat 16 Mei itu

muridku yang dikasihi
ingatanmu sangat kuhargai 
cuma kupinta seperkara
doakan kesejahteraan GURUmu
agar dapat dia mengajarmu lagi esok hari
doakan GURUmu menjadi lebih sabar
dari sehari ke sehari
kerana GURUmu ini hanyalah insan biasa
yang cuba menjadi luar biasa
untukmu murid-murid yang sangat ISTIMEWA

dan sekiranya GURUmu ini 'lupa'
yang dia punya murid yang istimewa
peluklah dia dan katakan
kami sayang cikgu.....

muridku yang dikasihi
sesungguhnya cikgu sangat sayang padamu!

12 Mei 2011

Jalan-jalan Indonesia-Jakarta

Sebelum ke Jakarta, saya menggoogle banyak tentang Jakarta tetapi tiada banyak yang saya jumpa. Saya harap entri saya tentang Jakarta ini akan dapat membantu mana-mana pelancong yang ingin ke sana. Apa yang menariknya Jakarta selain dari jem? Hehehe...Memang benar. Anda boleh larut dalam jem berjam-jam lamanya. Mujurlah ada teman saya Kak Siti Marijam yang pakar mengelak jem. Ada satu cerita menarik yang mahu saya kongsikan di sini tentang pengangkutan awam di sini. Semasa di Bandung, kami menempah 2 teksi kerana bimbang tak muat (6 orang bersama 3 beg besar) tetapi semasa sampai di Jakarta, Kak Marijam hanya memasukkan kami bertujuh bersamanya di dalam satu teksi! Haha! Anehkan tetapi ia boleh dilakukan jika anda orang sana! Kak Marijam ini sangat bijak mengelak jem hingga pemandu teksi itu juga tidak tahu jalan yang dibawa beliau tetapi anehnya, beliau sendiri tidak tahu memandu kereta! Haha!






Destinasi yang saya ingin sangat pergi tentulah ke pusat membeli-belah paling besar di Indonesia, tanah Abang. Memang ramai sangat orang sampai nak berjalanpun susah. Lebih kurang seperti pasar Baru di Bandung tetapi ia sangat besar dan terlalu sesak. Jika mahu parkir di tingkat atas, kita akan mengambil masa 1 jam untuk naik dan 1 jam lagi untuk turun. Jadi lebih baik menaiki teksi dan berjalan kaki saja. Kami meminta pemandu memakir kereta di Kebon Kacang (lebih kurang beberapa km dari Tanah Abang). Penat bershopping, kami pulang dengan azam di kepala, esok kalau nak datang, x boleh bawa Hana lagi! Kasihan!





Selain dari Tanah Abang, pusat membeli-belah yang lain adalah Mangga Dua (pakaian moden dan berjenama) dan Sarinah (pakaian moden dan berjenama lebih kepada butik). Kami hanya sempat ke Sarinah tetapi bersedialah dengan wang yang besar jika mahu berbelanja di sini. Apa tempat menarik di Jakarta selain dari membeli-belah? Tarikan lain tidak banyak iaitu MONAS (Monument National) dan Masjid Istiqlal (masjid rasmi Indonesia) selain pusat membeli belah yang besar seperti Grand Indonesia. Boleh kata semua shopping mall kami telah pergi. Oh ya! Kalau mahu membeli cenderahati pada harga yang agak munasabah, satu-satunya tempat adalah di deretan kedai cenderamata di MONAS. Selain dari itu TIADA.







Banyak catatan dan pengalaman baru dapat saya kutip semasa di sana. Tetapi semuanya indah-indah......

11 Mei 2011

Jalan-jalan Indonesia-Bandung ke Jakarta via Keretapi

Dari Bandung, kali ini kami mahukan kelainan. Kami menaiki keretapi dari stesen keretapi Bandung ke Stesen Gambir, Jakarta. Sebenarnya selain dari berkeretapi (lebih kurang 3 jam setengah), pilihan lain adalah menaiki Cipaganti. Tentu ramai yang tertanya, Cipaganti itu apa? Cipaganti ni lebih kurang macam van yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan henti-henti macam bas tetapi ia mempunyai stesen tertentu. Perjalanannya lebih kurang dua jam setengah melalui jaringan lebuhraya. Jadi kalau nak mencuba boleh naik di mana-mana stesen Cipaganti di Bandung. Kalau perbezaan harga, pastilah naik keretapi lebih murah tetapi tidak banyak beza. Cipaganti adalah satu pilihan jika kita mahu cepat ke Jakarta.
Ada beza ke keretapi Malaysia dengan Indonesia. Kami memilih menaiki keretapi yang punya pelayan. Harganya mahal sedikit dari keretapi awam yang lain. Pastilah ia lebih bersih dan selesa. Tapi jangan fikir, tambang itu sudah termasuk dengan harga makan ya. Hehehee....Jangan seperti Tipah yang tertipu! Makanannya boleh tahan mahalnya (tetapi saya yakin anda mampu, hehehe), yang diusung pelayan dari satu gerabak ke satu gerabak. Mee sup juga ada dijual tetapi mee dan sup yer, macam maggie ayam tu bukannya mee sup Malaysia.


Yang menariknya menaiki keretapi di sini adalah pemandangan sawah padinya. Saya berasa sangat kagum kerana pemandangan sawah padinya memang berbeza dengan di Malaysia. Kalau di dalam novel Saat Kau Hadir, saya ada memaparkan latar sawah padi melalui keretapi ke Alor Setar, agaknya saya boleh menambah latar ini di dalam novel saya yang akan datang. Hehehe. Sawah padi bertingkat, di tepi rumah, di sebelah gerabak....semuanya boleh ditanam padi. Senang cerita, Indonesia memang subur!


Di kiri-kanan perjalanan, rata-rata perkampungan. Dari Bandung hingga Jakarta, kami disajikan oleh perumahan yang sangat padat. Yang menghairankan saya, di sepanjang perjalanan itu, memang tidak ada pagar yang memisahkan antara landasan keretapi dengan kawasan perumahan. Orang bebas melintas keluar-masuk. Sepertinya mereka sudah menjadi sebahagian dari jadual keretapi itu sendiri. Saya pula yang gayat takut keretapi melanggar orang. Hahaha. 
Perjalanan memang selesa. Cuma jika anda mengejar masa, ini bukanlah satu pilihan yang bijak. Hehehe. Kalau mahu melihat orang bergayut di atas keretapi macam di dalam filem, ha...marilah naik keretapi dan lihat sendiri. Satu lagi yang saya kagum, di stesen keretapi, orang bersolat di mana-mana menandakan ke manapun kamu pergi, jika Allah sentiasa di hati, amalan yang menjadi tabie itu boleh dilaksanakan hatta di tepi lif mahupun di bawah tangga. Berjalanlah dan lihatlah seluruh dunia!

10 Mei 2011

Jalan-jalan Indonesia-Bandung

Kami ke Bandung lagi. Kalau dulu berdua, kali ini rombongan kami menjadi 6 orang. Hehehe rombongan Cik Kiah nampaknya. Tempat yang kami pergi hanyalah ke Factory Outlet sebab dah set di dalam minda, kali ini datang untuk shopping sakan!



Adakah Bandung berbeza dari beberapa tahun sebelum ini? Rasanya masih sama, cuma yang beza, bilangan rombongan dari Malaysia sudah semakin ramai. Kali ini demam shopping ini telah melekat pada mat saleh pula. Kali ini saya boleh lihat mereka di mana-mana walaupun jumlahnya sedikit. Kalau dulu memang tiada langsung. Yang saya perasan, disebabkan itu harga pakaian sudah mahal dan terlalu sukar mancari pakaian di bawah Rp25 000! Memang masih ada yang murah tetapi tidak semurah dulu. Kali ini kami menjumpai port baru iaitu pusat jeans LEVIS yang harganya memang murah (bawah RM80). 

Nak pergi lagi ke? Hehehe...sedang memikir-mikir kerana memang dah habis duit banyak sebab shopping sakan sampai bila balik rasa nak muntah tengok baju. Beg yang kosong sebanyak 2 buah itu telah selamat dipenuhkan. Saya tetap merasakan Bandung masih menawarkan destinasi membeli-belah yang mengiurkan terutama kepada peminat pakaian berjenama! Harga yang anda laburkan untuk membeli pakaian mahal boleh cover tambang yang anda laburkan. Dengan syarat! Anda membeli banyak! Kalau setakat sehelai dua, pastilah percutian anda tidak berbaloi!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...