07 November 2010

Banjir di Alor Setar 2010

Rancangan asal kami sekeluarga mahu ke rumah teman saya Juhaida yang akan melangsungkan perkahwinan Sabtu ini di Temerloh. Namun di saat-saat akhir, saya terpaksa memohon maaf kepada beliau kerana kami sekeluarga mahu menjenguk ibu dan ayah di Alor Setar yang terpaksa berpindah gara-gara banjir besar tahun ini. Kami mahu melihat dan memberikan sokongan moral kepada keluarga di sana. Walaupun dalam hati, rasa was-was kerana tidak pasti boleh lepas ke Alor Setar atau tidak kerana kami diberitakan jalan-jalan utama telahpun ditutup. Lebuhraya menghala ke Hutan Kampung dan sehaluan  di atasnya ke Perlis dan Bukit Kayu Hitam turut ditutup kerana banjir besar.

Alhamdulillah, niat yang baik insyaAllah dipermudahkanNya. Asalnya kami bercadang hendak pergi setakat yang terboleh tetapi Allah mengabulkan hajat kami untuk bertemu keluarga. Walaupun jalan ditutup tetapi kami boleh juga 'lepas' hingga sampai ke rumah di Anak Bukit.

Perasaan saya sangat sedih bila melihat khemah-khemah di tepi jalanraya, hingga ada menjadikan perhentian bas sebagai tempat tidur, di bawah jambatan tempat masak. Sedih sangat bila melihat pakcik yang stroke, melintas jalan hendak mendapatkan bantuan makanan. Itu belum lagi melihat rumah yang sedia elok, bertakung air, bangkai lipas merata, perabot dah kembang macam roti dicicah air. Adoi! Itu belum bau busuk pakaian dan sofa yang terendam. Belum lagi dikira kemusnahan alatan elektrik. Saya berkata di dalam hati, jika Tuhan mengkehendakkan maka jadilah. Kita ini hanya manusia yang kerdil.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada mereka yang berkemampuan, bantulah kepada mangsa banjir. Terlalu banyak yang anda boleh sumbangkan dari wang ringgit hinggalah kepada air mineral dan pakaian terpakai. Tak lama lagi anak-anak akan bersekolah untuk sesi 2011. Duit memang banyak diperlukan setelah berabis mencuci dan membaiki rumah, perabot, barang elektrik dan pakaian. Saya menganggarkan kira-kira RM10K diperlukan untuk perabot dan RM10K untuk barangan elektrik! 

Jadi, jika ada kelapangan, jenguk-jenguklah saudara-mara yang sedang dilanda musibah itu. Kadang-kadang kedatangan kita, sekalipun tidak dapat menyumbang banyak, memberikan mereka sokongan moral. Kepada mangsa banjir, kami sekeluarga mendoakan anda tabah menghadapi ujian Tuhan. Allah pasti tidak akan menguji hambaNya, lebih dari kemampuanNya. Pastilah ada hikmah, mengapa dalam sekalian manusia, anda yang menjadi pilihanNya menerima dugaan ini. Tabahkanlah hati....

 lumpur yang tinggal di lantai dapur

 perabot yang sudah kembang semangkuk

 hehehe budak-budak ni action aje yang lebih, main air lagi banyak dari menolong

 penduduk menerima bantuan makanan. hari tu beras yang dihantar x cukup, jadi sekampit beras 10kg harus dibahagi kepada 2 buah rumah
pemandangan dari jalan raya jalan mengala ke rumah sudah surut

06 November 2010

Jalan-jalan Cari Makan : Baghdad Cafe, Bandar Seri Putra

Bosan dengan makanan Malaysia? Western? Sekarang ini sudah ada pilihan selain dari nasi lemak dan lamb chop. Kedai makan berkonsep Timur Tengah seperti Arab, Lebanon dan Turki sudah mula beroperasi di Malaysia. Di Putrajaya, di Presint 15 ada di Cyberjaya pun ada. Yang pasti, sediakan duitnya saja. Sesekala beralih selera, memang agak mahal juga wang yang harus disediakannya. Almaklum, jika sepinggan nasi Arab, harganya lebih kurang RM20. Tetapi seperti yang saya katakan tadi, sesekala apalah salahnya.

Menu masakan ala-ala Arab ini biasanya nasi dan daging/ayam bakar yang dihidangkan bersama ulaman dan buah tomato bakar. Selain itu roti seperti roti capati/naan dimakan bersama kuah. Yang pastinya, masakan mereka tidaklah bersantan seperti masakan kita, biasanya dibakar. Saya diberitahu, ayam/daging yang dibakar harus dimakan bersama bawang untuk meneutralkan kesan dibakar (oksida). Hidangan mereka tidak sah, jika tidak diminum bersama teh.

Saya berkesempatan ke Baghdad Cafe, Bandar Seri Putra tidak berapa lama dahulu.  Sengaja nak melepak merasakan suasana lain sikit dari suasana biasa di BSP ni. Lokasinya sebaris dengan Restoren Bihun Sup Utara/BSN. Suasananya santai, sesuai kalau nak berborak-borak bersama teman-teman. Tuan punya restoren ni mencuba menjadikannya seArab yang mungkin tetapi pelayannya adalah kanak-kanak/remaja (dia memanggil saya kakak....hahaha) yang mengurangkan sedikit kredit saya dalam memberi markah. Apapun, kalau hendak mencari kelainan, bolehlah ke mari!

antara gambar yang sempat saya rakam dalam bersantai dan bersembang dengan ehem-ehem...hehehe

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...