30 November 2009

3 bulan? Macam dah lama...

Hana dengan 'mak' di Rumah Malaysia

Hana sudah boleh teman mama shopping

Hana dengan hobi baru menghisap jari


Hana sudah meronda ke Tembok Berlin

Satu lagi hobi Hana, tengok TV

Atas riba abah pun sedap hisap jari...

Rasa macam lama............sangat dah dari Hana lahir tapi dia baru 3 bulan.... Hana saya bertambah montel.... tapi saya suka lagi-lagi kalau dia ketawa. Ruas jari dengan kaki dia memang geram tengok, berbuku-buku. Kalau goreng ni memang sedap...hehehe memang geram... Cuma satu aje yang sedikit 'merisaukan' saya... adakah kerana ketembamannya, tiada tanda-tanda menunjukkan dia mencuba untuk kemahiran meniarap...hehehe. Oh! Hana...

Aidiladha 2009


bergambar kenangan bersama Kak Ami dan Mar di Rumah Malaysia
Ini tahun pertama saya berhari raya Aidiladha di Berlin walaupun tahun lepas sepatutnya saya sudah merasakan suasananya. Semuanya gara-gara saya baru berpindah dan orang Ikea hendak menghantar barang yang dibeli ke rumah tanpa masa yang tepat. Sudahnya saya dan anak-anak hanya 'beraya' di rumah dan mendengar cerita raya kawan-kawan saja. Abang kebetulan ada kuliah hari itu.
Tahun ini walaupun sambutannya tidaklah semeriah Aidilfitri (diukur dari segi bilangan kehadiran tetamu dan makanan) alhamdulillah disambut kami dengan seadanya. Disebabkan cuaca tidak berapa baik (suhu semakin sejuk), ramai yang demam. Jadi sambutan di Rumah Malaysia tidaklah ramai, begitu juga sambutan kami di Kampung Wedding. Apapun, kami merasa juga makan sedap-sedap bersama kambing panggang!

26 November 2009

Selamat menyambut Aidiladha

Salam dari Berlin!

Kepada semua pengunjung blog, kami sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Aidiladha.... Berhati-hati di jalan raya. Selamat Berqurban dan Bersedekah!
Kelebihan 10 Zulhijjah

Diharamkan berpuasa kerana Hari Raya Aidiladha.
Barangsiapa berkorban dengan satu ekor haiwan pada hari itu maka setiap ttisan darah yang mengalir dari tengkuk haiwan itu menghapuskan dosanya dan dosa ahli keluarganya.
Barangsiapa yang bersedekah dengan memberi makan kepada fakir miskin atau bersedekah pada hari itu maka ia akan dibangkitkan oleh Allah dengan aman sentosa dan berat timbangan amalannya lebih berat dari Bukit Uhud di Madinah.

23 November 2009

Santai Sejenak-Pengawal Vatican City yang menarik!

Gambar ehsan Azman. Saya tak sempat ambil gambar mereka masa di sana.

Menarik pakaian mereka, macam badut atau penari. Pakaian mereka macam kostum dalam filem atau pementasan teater kan? Saya rasa tak ada pengawal yang pakaiannya begitu unik sebegini dalam dunia ni....

17 November 2009

Selamat Bercuti! walaupun ada yang tak bercutipun....


Kepada semua guru-guru dan pendidik dan lain-lain jawatan tak rasmi seperti di atas.... Selamat bercuti mulai minggu depan...

12 November 2009

365 Tage im Berlin III- in memories


Keluarga besar Berliners semakin menguncup. Serang demi seorang pulang tapi tiada yang datang. Kak K, Effa, Khadijah, Muz dan Fida, Rizal, Suhaimi, Reduan, Abang Sidi, Naseer dan paling terkini Naz dan Emy yang pulang Ramadhan tadi.

Teringat saya semasa mula-mula kaki menjejakkan kaki ke Berlin, Mar dan Rizza bersusah-susah datang ke rumah kami di Iranische semata-mata mengajak kami makan nasi di Al Reda. Hendak tunjukkan tempat makan. Fida pula tunjukkan saya di mana hendak membeli barang-barang masak. Dari Leopoldplatz ke Vin Loi hinggalah ke Pasar Turki. Muz dan Fida juga menunjukkan kami cara mendaftarkan Hardy ke sekolah. Naz dan Emy bawa kami pusing-pusing untuk tengok Saturn tempat menjual barang elektrik. Masa tu kami nak cari seterika. Hingga ke malam mereka menemankan. Itu belum cerita bagaimana bersusah-payahnya ketiga-tiga keluarga ini membuat persiapan membantu kami tiba, menjemput di lapangan terbang dan menjamu makanan.

Kesemua mereka yang pulang ada kenangannya yang tersendiri bersama kami. Terlalu panjang catatan saya jika hendak ditulis di sini. InsyaAllah ia akan kekal menjadi satu memori yang abadi.....

KEMBARA EROPAH: Vienna, Austria

Saya memohon maaf kerana berjanji mahu menghantar entri Vienna pada 8 November tetapi baru hari ini berkesempatan melaksanakannya. Kepada anda yang tertunggu-tunggu, saya benar-benar memohon maaf. Sepanjang minggu saya hibernasi dari blog, saya terlalu sibuk untuk menulis entri Vienna ini.

Vienna, Austria. Sebut saja negara Austria, yang terbayang di kepala tentunya pelakon terkenal yang sudah jadi Gabenor di Amerika Syarikat, Arnold Susahnakeja itu... Vienna atau Wien, bandaraya yang mendapat tempat pertama, bandaraya yang paling ingin diduduki di dunia menggantikan Geneva, Swiss dalam tinjauan terkini tahun ini. Apa yang menariknya Vienna hingga berjaya menewaskan beberapa ibukota terkenal dunia? Tentunya kos sara hidup yang berpatutan dan suasananya yang tenteram, pada pendapat peribadi saya.


Stephansplatz
Kami bertolak dari Munich, Jerman ke Vienna pada petang sekitar jam 7.00 malam. Kembara kami menaiki keretapi dari Munich ke Vienna mengambil masa kira-kira 4 jam setengah. Hampir tengah malam baru kami tiba di Vienna mujurlah hotel penginapan kami tidak jauh dari stesen keretapi. Jadi berpandukan GPS, mudah saja kami berjalan menuju ke hotel yang letaknya betul-betul di hadapan stesen tram.


Parliament
Kami tidak punya banyak masa di Vienna kerana keesokan harinya kami harus bergerak ke Bratislava, Slovakia. Jadinya masa satu hari yang ada harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Kami bermula dengan berjalan-jalan di sekitar Stephensplatz. St Stephen's mempunyai struktur binaan yang unik. Teringat saya pada bumbung Perpustakaan Negara yang mirip sepertinya. Orang memang ramai semetelah di situ merupakan kawasan tarikan pelancong. Satu perkara yang sukar dicari di sini adalah kedai cenderamata terutama yang menjual pada kadar yang berpatutan. Kami jumpa satu kedai di hadapan sebelah kanan St. Setphen's menuju ke Hofburg Palace. Harga sehelai T Shirt kanak-kanak sekitar Euro16. Itulah yang termurah!

Kunsthistorisches Museum
Kami kemudian mengambil tram kerana hendak melihat persekitaran Vienna dengan lebih dekat. Dengan tiket sehari yang dibeli, semua kenderaan awam (kecuali tram khas Ring yang berpusing ke semua tempat-tempat menarik sekitar landasan tersebut). Mula-mula kami tersesat hingga masuk ke kawasan luar bandar. Tetapi memberi peluang kepada kami untuk melihat Vienna dengan lebih dekat. Tidak ada beza dengan Kuala Lumpur, di kawasan suburbannya kelihatan aktiviti berjualan begitu aktif. Kawasan yang kami tersesat itu kelihatannya seperti kawasan pendatang Turki. Orang Turki ada di mana-mana di Eropah ni.


Spanish Riding School
Kami berhenti rehat di hadapan Parlimen sebelum ke Rathaus (Dewan Bandaraya). Hujan renyai-renyai pagi itu dan malamnya ada konsert istimewa, saya tidak pasti meraikan apa tapi di kawasan hadapannya memang orang begitu ramai. Gerai-gerai makanan antarabangsa dibuka. Kami kemudian terus ke Belvere Schloss ataupun Istana Schloss yang mengikut peta satu jalan dengan tempat kami hendak makan tengahari, sebuah restoren halal India. Tetapi malangnya sebaik sampai, restoren itu dibuka sehingga jam 2.00 sahaja dan hanya dibuka semula jam 5.00 petang. Lalu dengan perut yang lapar, kami ke Westbahnhof untuk membeli tiket keretapi ke Bratislava esok. Malangnya, tiket keretapi dijual pergi-balik dan tiada sehala. Aduh! Pening kepala. Macam-macam pula. Tiket dua hala tentu lebih mahal dari tiket sehala tetapi mungkin disebabkan Vienna-Bratislava tidak jauh (kira-kira 60km saja) maka tiket yang dijual dua hala. Mujur pula ada restoren makanan Turki yang menjual kebab. Alhamdulillah. Hilang lapar kami bergambar di istana Belvere. Sudah kenyang baru dapat ilham membeli tiket bas sahaja ke Bratislava. Bukan kami tidak bersedia membeli tiket dari Berlin tetapi negara bekas komunis ini masih tertutup. Tiada carian internet yang boleh dijadikan panduan.

Kami menaiki keretapi bawah tanah ke Schonbrunn Schloss (yang mempunyai rating tempat paling disukai oleh pelancong tetapi saya lebih suka Belvedere lagi). Mungkin kerana istana ini sudah ditukar menjadi muzeum dan pelancong barat suka ke muzeum. Sebelum pulang, kami bergambar dari jauh di Karlskirche (kaki sudah tak larat hendak berjalan lagi). Satu hari yang penuh dengan aktiviti (lebih banyak duduk berehat sebenarnya sebab perut berat...hehe). Tak sempatla ke Opera State House yang terkenal dengan Mozart. Badan betul-betul sudah letih.

09 November 2009

365 Tage im Berlin II: Meine wertvollen Erinnerungen

Sepanjang setahun di Berlin, inilah 3 perkara yang paling manis untuk dikenang...... Ia akan menjadi tanda kenangan terindah di bumi Berlin....


Bond 007 Premiere : Quantumn of Solace; 3 November 2008
Peluang bertemu muka, bergambar dan mendapat tandatangan James Bond, Daniel Craig semasa tayangan perdana di Berlin. Kami sekeluarga merasakan sendiri bagaimana suasana di red carpet.

Daniel Craig menandatangani autograf. Sila lihat entri terdahulu tentang pengalaman saya di red carpet dan bertentang mata dengan James Bond 007.

Lawatan Dr. Muhammad Asri ke Berlin; 19 Januari 2009

Alhamdulillah di majlis ilmu di rumah teman Mar semasa kunjungan Dr. MAZA amat memberi manfaat kepada kami sekeluarga. Berpeluang bertukar pandangan dan bertanya tentang permasalahan agama terutama tentang ibadah solat dan makanan semasa berada di luar negara sangat saya hargai. Berita tentang penangkapan Dr. MAZA beberapa minggu lepas benar-benar mengejutkan saya. Saya berdoa semoga beliau dipermudahkan urusan oleh Allah menghadapi ujian kehidupan.

Mengambil peluang bergambar bersama ustaz MAZA. Sila baca entri saya terdahulu tentang pengalaman majlis ilmu bersama Yang Berbahagia Dr. MAZA.


Kelahiran Hana Nurein Fadly; 30 Ogos 2009

Hana Nurein Fadly. Sebaris namanya membuatkan saya tersenyum senang. Dialah anugerah Allah yang tidak ternilai buat kami sekeluarga. Ramai yang bertanyakan pengalaman bersalin di Jerman ni. InsyaAllah di suatu hari nanti akan saya kongsikan.

Gambar terbaru Hana. Untuk Hana, satu kategori istimewa hadiah mama untuk permata hati dalam blog ini.

Saya boleh tersenyum lebar pulang ke Malaysia!

07 November 2009

Sempena 20 Tahun runtuhnya Tembok Berlin

Ini gambar yang saya rakam tahun lepas semasa melawat ke saki-baki peninggalan Tembok Berlin (lihat entri saya terdahulu tentang Tembok Berlin). Tahun ini genap 20 tahun Tembok Berlin diruntuhkan. Tahun ini Tembok Berlin dimuralkan semula. Memang cantik hasil kerja artis-artis yang melukisnya tetapi saya masih belum berkesempatan ke sana walaupun agenda telah lama ada di kepala. Jadi sempena 20 tahun runtuhnya Tembok Berlin yang menjadi simbolik penyatuan sebuah negara, macam-macam acara telah dirancang bagi meraikannya. Stesen TV CNN telah membuat liputan istimewa memperingati tembok ini. Bagi mereka di Malaysia bolehlah membaca tulisan rencana dari wartawan Kosmo! Nur Aishah Mohd Amin yang disiarkan di Kosmo! hari ini di ruangan Rencana Utama.
Bagi mereka di Malaysia yang berminat hendak menyimpan serpihan batu Tembok Berlin, sebagai tanda mata, InsyaAllah akan saya usahakan dalam sedikit masa lagi.

05 November 2009

Salji pertama tahun ini

"Mama, hujan!" kata Hakimy tengahari tadi sekitar jam 1.15 petang. Saya menjenguk di dapur. Kenapa nampak pelik sangat hujan ni, lebat ke? Saya berkata di dalam hati. Oh! Rupanya salji sudah turun!

gambar di hadapan rumah kami

daun berguguran di sini sana

kanak-kanak balik sekolah basah tapi seronok bukan main dapat main salji pertama


masa ni tengah lebat

Hakimy tersengih-sengih sebab memang dia menanti salji

Tidak seperti tahun lepas, tahun ini Autumn sudah sejuk dan turun salji. Tahun ini dijangka salji akan turun lebih lebat dan kerap dan lebih sejuk.... Adakah boleh lawan suhu terendah -20 degree seperti tahun lepas? Kita tengok saja. Yang pasti bila Winter datang, semua orang akan simpan bekalan makanan banyak-banyak dalam rumah sebab malas hendak keluar. Perut asyik selalu minta diisi. Masa hibernasi sudah tiba tetapi kerja-kerja saya semakin bertimbun. Inilah salji terakhir kami di Berlin. Pastinya ada macam-macam agenda hendak dibuat. Saya sudah garu kepala...

04 November 2009

Halloween! 31 Oktober 2009...

Kami berehat-rehat enak malam itu (sebenarnya tak sedarpun dah gelap) bila loceng rumah berbunyi. Kami berpandangan sesama sendiri kerana biasanya siapa yang hendak datang ke rumah akan telefon lebih awal. Tetapi abang bangun menjenguk dan terpacul wajah beberapa orang kanak-kanak yang datang bersama beg plastik di tangan. Ada juga yang menconteng wajah mereka dengan warna atau bertopeng. Mereka menjerit "trick or treat!" (abang agak-agak saja mereka menjerit perkataan itu sebab mereka jerit dalam bahasa Deutsch)

Abang tersengih-sengih di pintu dan memberitahu kami tidak bertutur di dalam bahasa Deutsche. Lalu kumpulan kanak-kanak itu berlari naik ke tingkat atas pula. Tidak berapa lama kemudian, kedengaran suara mereka ketawa dan berlari turun. Selang beberapa minit loceng berbunyi lagi dan kali ini pastinya giliran saya pula yang membuka pintu. Terpacak 2 orang anak remaja di depan pintu rumah saya. Seperti tadi saya memberi reaksi yang sama dan mereka berlalu.


Kasihan melihat wajah hampa mereka saya menelefon Kak Aminah, bertanyakan apa yang perlu saya beri kepada anak-anak itu. Katanya beri gula-gula sudah memadai jika tidak nanti mereka akan buat huru-hara di rumah anda. Saya ketawa mengenangkan budaya mereka dan ini merupakan kali pertama kami sekeluarga harus menghadapinya. Halloween! Disambut setiap 31 Oktober setiap tahun.

Saya ke kedai membeli gula-gula. Di sepanjang jalan kanak-kanak sibuk menekan loceng rumah-rumah untuk disinggah. Bila ada yang datang ke rumah, merasalah gula-gula coklat yang saya beli semata-mata untuk mereka. Lega, bila lihat wajah gembira mereka walau hanya dapat gula-gula. Lebih kurang seperti gambar di atas, begitulah mereka datang ke rumah dengan beg plastik sayur. Hingga jam 9.00 malam, masih ada yang datang tetapi selepas itu, nampaknya jiran-jiran sudah malas hendak membuka pintu. Jadi walau bertalu-talu loceng berbunyi, kami tidak membuka pintu lagi. Tak pasal-pasal kena menggagau gula-gula kat rumah jiran kerana stok gula-gula habis dan kedai sudah tutup. Natijahnya, rumah kami dibaling dengan telur!

Begitulah secebis kisah saya dan Halloween di Berlin.....

Kasihan...begini rupanya tanggapan orang Jerman

Sila baca kisah pengalaman pelajar pertukaran budaya Malaysia-Jerman di Kosmo 2 November 2009 hari ini. Memang membuatkan tangan saya gatal hendak membuat entri ini walaupun sudah saya maklumkan yang saya akan 'berehat' seketika dari dunia blog ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1104&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Alahai... begitu rupanya tanggapan orang Jerman nan seorang ini...atau sebenarnya memang semua begitu? Nampaknya kerajaan Malaysia kena buat promosi lebih giat lagi untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia. Kalau di BBC dan CNN saya rasa macam ada yang tidak kena iklan Tourism Malaysia. Ini kerana kita beria-ia mengiklan supaya datang ke Malaysia tetapi di dalam peta laporan cuaca mereka, tiada langsung tercatat nama Malaysia. Yang ada cuma negara Indonesia, Singapura dan Brunei. Kita yang di tengah-tengah itu langsung dilangkau dan tidak diendahkan sedangkan Singapura itu di dalam peta dunia punyalah kecil. Malaysia ini seolah-olahnya sebahagian dari tiga negara jirannya itu...Saya ni asyik terlupa saja hendak menghantar emel kepada pihak yang berwajib pasal hal ini. Memang saya tak puas hati. Patutlah orang tidak kenal Malaysia, apatah lagi hendak datang melawat ke Malaysia. Hmm...nampaknya iklan kat CNN dan BBC itu memang tak beri impak. Mungkinkah kita hanya membazirkan duit dan yang mendapat keuntungannya negara lain?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...