12 November 2009

KEMBARA EROPAH: Vienna, Austria

Saya memohon maaf kerana berjanji mahu menghantar entri Vienna pada 8 November tetapi baru hari ini berkesempatan melaksanakannya. Kepada anda yang tertunggu-tunggu, saya benar-benar memohon maaf. Sepanjang minggu saya hibernasi dari blog, saya terlalu sibuk untuk menulis entri Vienna ini.

Vienna, Austria. Sebut saja negara Austria, yang terbayang di kepala tentunya pelakon terkenal yang sudah jadi Gabenor di Amerika Syarikat, Arnold Susahnakeja itu... Vienna atau Wien, bandaraya yang mendapat tempat pertama, bandaraya yang paling ingin diduduki di dunia menggantikan Geneva, Swiss dalam tinjauan terkini tahun ini. Apa yang menariknya Vienna hingga berjaya menewaskan beberapa ibukota terkenal dunia? Tentunya kos sara hidup yang berpatutan dan suasananya yang tenteram, pada pendapat peribadi saya.


Stephansplatz
Kami bertolak dari Munich, Jerman ke Vienna pada petang sekitar jam 7.00 malam. Kembara kami menaiki keretapi dari Munich ke Vienna mengambil masa kira-kira 4 jam setengah. Hampir tengah malam baru kami tiba di Vienna mujurlah hotel penginapan kami tidak jauh dari stesen keretapi. Jadi berpandukan GPS, mudah saja kami berjalan menuju ke hotel yang letaknya betul-betul di hadapan stesen tram.


Parliament
Kami tidak punya banyak masa di Vienna kerana keesokan harinya kami harus bergerak ke Bratislava, Slovakia. Jadinya masa satu hari yang ada harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Kami bermula dengan berjalan-jalan di sekitar Stephensplatz. St Stephen's mempunyai struktur binaan yang unik. Teringat saya pada bumbung Perpustakaan Negara yang mirip sepertinya. Orang memang ramai semetelah di situ merupakan kawasan tarikan pelancong. Satu perkara yang sukar dicari di sini adalah kedai cenderamata terutama yang menjual pada kadar yang berpatutan. Kami jumpa satu kedai di hadapan sebelah kanan St. Setphen's menuju ke Hofburg Palace. Harga sehelai T Shirt kanak-kanak sekitar Euro16. Itulah yang termurah!

Kunsthistorisches Museum
Kami kemudian mengambil tram kerana hendak melihat persekitaran Vienna dengan lebih dekat. Dengan tiket sehari yang dibeli, semua kenderaan awam (kecuali tram khas Ring yang berpusing ke semua tempat-tempat menarik sekitar landasan tersebut). Mula-mula kami tersesat hingga masuk ke kawasan luar bandar. Tetapi memberi peluang kepada kami untuk melihat Vienna dengan lebih dekat. Tidak ada beza dengan Kuala Lumpur, di kawasan suburbannya kelihatan aktiviti berjualan begitu aktif. Kawasan yang kami tersesat itu kelihatannya seperti kawasan pendatang Turki. Orang Turki ada di mana-mana di Eropah ni.


Spanish Riding School
Kami berhenti rehat di hadapan Parlimen sebelum ke Rathaus (Dewan Bandaraya). Hujan renyai-renyai pagi itu dan malamnya ada konsert istimewa, saya tidak pasti meraikan apa tapi di kawasan hadapannya memang orang begitu ramai. Gerai-gerai makanan antarabangsa dibuka. Kami kemudian terus ke Belvere Schloss ataupun Istana Schloss yang mengikut peta satu jalan dengan tempat kami hendak makan tengahari, sebuah restoren halal India. Tetapi malangnya sebaik sampai, restoren itu dibuka sehingga jam 2.00 sahaja dan hanya dibuka semula jam 5.00 petang. Lalu dengan perut yang lapar, kami ke Westbahnhof untuk membeli tiket keretapi ke Bratislava esok. Malangnya, tiket keretapi dijual pergi-balik dan tiada sehala. Aduh! Pening kepala. Macam-macam pula. Tiket dua hala tentu lebih mahal dari tiket sehala tetapi mungkin disebabkan Vienna-Bratislava tidak jauh (kira-kira 60km saja) maka tiket yang dijual dua hala. Mujur pula ada restoren makanan Turki yang menjual kebab. Alhamdulillah. Hilang lapar kami bergambar di istana Belvere. Sudah kenyang baru dapat ilham membeli tiket bas sahaja ke Bratislava. Bukan kami tidak bersedia membeli tiket dari Berlin tetapi negara bekas komunis ini masih tertutup. Tiada carian internet yang boleh dijadikan panduan.

Kami menaiki keretapi bawah tanah ke Schonbrunn Schloss (yang mempunyai rating tempat paling disukai oleh pelancong tetapi saya lebih suka Belvedere lagi). Mungkin kerana istana ini sudah ditukar menjadi muzeum dan pelancong barat suka ke muzeum. Sebelum pulang, kami bergambar dari jauh di Karlskirche (kaki sudah tak larat hendak berjalan lagi). Satu hari yang penuh dengan aktiviti (lebih banyak duduk berehat sebenarnya sebab perut berat...hehe). Tak sempatla ke Opera State House yang terkenal dengan Mozart. Badan betul-betul sudah letih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...