22 Oktober 2009

365 Tage im Berlin I


Diam tak diam sudah 365 hari saya di Berlin. Masa terasa terlalu lewat berlalu saat rindu menggamit hati untuk pulang. Tetapi mengenangkan manuskrip yang berjalan lebih lembab dari siput, masa itu memang cepat benar beredar meninggalkan saya sejauh-jauhnya. Saya tidak mahu masa berputar meneroka silam kerana saya mahu menjadi golongan manusia yang harinya lebih baik dari hari semalam. Namun apakan daya sebagai manusia, saya merancang dan terusnya dibawa angan-angan, tugasan, leteren dan bebelan pada diri sendiri, berjalan-jalan, window shopping sana sini lalu saya tetap menjadi seorang Laila Kamilia yang masih tidak berjaya tiba di garisan penamat walau diri hanya jaraknya tidak sampai dari 5 meter ke destinasi akhirnya...Hmm...salahkan diri sendiri.

Namun sebagai Haslina Kamaluddin, saya tetap gagah berdiri sebagai seorang isteri, pegawai kerajaan yang mengambil cuti tanpa gaji, seorang ibu, seorang ustazah dan seorang guru kepada 3 anak yang lasak, seorang pelancong dan penulis blog yang tegar! (rujuk entri awal saya 30 hari di bumi Hitler). Saya merasakan hidup saya bahagia. Dapat melihat anak-anak membesar di depan mata. Tidak payah pening kepala memikirkan saat mereka sakit, hendak meminta cuti dari Guru Besar pagi-pagi buta. Kebahagiaan itu paling besar ertinya bila Hana Nurein Fadly datang menyerikan hari-hari indah saya di Berlin. Setiap kali memandang Hana, air mata saya bergenang. TUHAN begitu Pemurah kepada insannya yang serba kekurangan ini.

Bersempena 365 hari di Berlin pada 10 Oktober 2009 yang lalu, sekali lagi saya jawab soalan-soalan yang sama dengan entri 30 hari tu. Nak tengok adakah jawapannya sudah berbeza atau masih sama.

Apa yang berubah hidup saya di sini?
Saya belajar lebih berdikari dan cuba memperbaiki kekurangan diri. Saya sendirian di sini... semuanya harus saya lakukan sendiri. Harus lebih kuat dan tabah mengharungi kehidupan. Demam? Telan ubat, tidur sekadar patut dan bangun kembali dengan bateri baru. Di sini tiada emak atau ayah hendak membantu atau mengadu....

Apa perkara yang saya paling suka di sini?
Berjalan....

Apa perkara yang masih saya buat di sini yang tidak boleh tinggal?
Berdiri di depan tingkap, merenung pemandangan dan mula berangan.

Makanan?
Masakan sendiri...hahaha perasanla pulak dan apa-apa masakan Malaysia. Tapi itulah hakikatnya kerana makanan lain memang tidak serasi bersama tekak saya. Boleh makan sekadar melapik perut. Memang sudah lama tak makan di luar. Hobi baru saya sekarang ini mencuba masak kuih-muih Malaysia. Saya yang memang keras tangan bab kuih-muih ni sudah semakin rajin mencuba resepi minum petang.

Minuman?
Mmm... mungkin latte machiato (kopi tarik) tapi teh tarik tetap menjadi pujaan hatiku.

Paling bohsan?
Sekarang dah tak ada masa nak berebut komputer sebab komputer dah ada 3 (tapi keje masih tak siap juga). Paling bosan bila duduk dalam rumah tak keluar beberapa hari. Rasanya macam fius dalam kepala terputus.

Paling syiok....
Jalan-jalan... Memang betul jalan-jalan sebab kena berjalan kaki. Kutip seberapa banyak pengalaman yang boleh.

Paling rindu...(selain makanan)
Keluarga di kampung, masakan mak, rumah dan katil sendiri, kawan-kawan....

Dapat bertutur dalam bahasa Jerman?
Hahaha...malunya nak mengaku sampai sekarang saya masih tidak boleh bertutur di dalam bahasa Jerman. Ya, sudah setahun tetapi saya masih gagal dalam bab bahasa ni. Namun saya bolehlah faham sikit-sikit...memang sikit....sangat. haha

Kalau saya di Malaysia saat ini...
Masih dalam cuti bersalin. Duduk rumah rehat-rehat sambil melayan kawan-kawan yang rajin datang bersembang. Tengah pegang rotan sebab Hardy nak periksa. Juga sedang merancang percutian sempena cuti sekolah!

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...