07 Ogos 2009

Alhamdulillah....

Puasa oh puasa..... Zaman saya mengganti puasa Ramadhan pada akhir-akhir bulan Syaaban telah lama berakhir sejak 9 tahun lepas. Ingat lagi semasa belum berkahwin, biasala kalau ada puasa yang masih belum sempat diganti sehingga terpaksa berebut-rebut hendak diganti pada hari-hari terakhir Syaaban. Bukan ada apa halanganpun tapi biasalah asyik bertangguh. Rasanya simptom asyik bertangguh mengganti puasa itu ada pada kebanyakan bujang-bujang perempuan..... Bukan apa, terasa masa itu panjang lagi.... hinggalah di suatu hari nan indah tersedar puasa masih banyak yang belum diganti dan Ramadhan hanya dihujung jari. Masa itulah kelam kabut mengganti hingga ada yang terpaksa berpuasa berturut-turut demi mengelakkan tidak sempat mengganti puasa...Kelakar bila mengenang saat itu....

Kini saya merasakan kesukaran untuk mengganti puasa itu di perantauan. Masa mula-mula ke Berlin, waktu itu musim Autumn. Memang Maghrib masuk awal. Jam 4 ptg sudah gelap. Tapi disebabkan perut yang asyik lapar dan masih menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, hasrat itu tertangguh. Masuk Winter, lagi awal gelapnya tetapi alasan saya tetap sama. Sejuk menyebabkan perut sentiasa lapar lalu saya menangguhkan lagi mengganti puasa.

Masuk Spring saya mengandung dan alahan teruk juga. Saya asyik loya dan tak lalu hendak makan. Jadi badan saya tidak kuat. Sudahnya hasrat mengganti puasa tertangguh lagi. Bulan berganti dan waktu Maghrib semakin panjang bila siang semakin panjang dari waktu malam. Saya curi-curi juga berpuasa kerana bimbang tidak sempat dihabiskan bila perut sudah semakin besar dan waktu Maghrib semakin panjang. Pernah juga saya terpaksa berbuka kerana tidak tahan lapar kerana waktu berbuka yang panjang (ada yang hingga 18 jam baru berbuka). Pernah juga saya membatalkan niat hendak puasa kerana kesalahan-kesalahan merapu antaranya saya mengunci jam pada jam 5.00 pagi (terikut-ikut waktu Imsak di Malaysia) sedangkan sebenarnya waktu itu sudahpun Syuruk.

Alhamdulillah sekarang pada musim Summer, berkat sikit-sikit lama-lama jadi bukit.... akhirnya hari ini saya berjaya menghabiskan puasa ganti saya. Saya sangat bersyukur kerana dengan perut yang besar begini, dengan keadaan saya masih tidak berselera hendak makan walaupun kandungan sudah masuk 8 bulan, dengan waktu puasa yang panjang, Tuhan beri saya kekuatan untuk menghabiskan puasa saya.

Ada banyak perkara yang saya cuba selesaikan sebelum saya bersalin. Alhamdulillah salah satunya yang ini. Menyiapkan manuskrip adalah antara yang saya telah senaraikan tetapi jika tidak sempat, saya tetap bersyukur. Rencana DIA hanya DIA yang mengetahuinya (itu tidak bermakna saya harus terus berlengah-lengah). Pesan doktor kepada saya, Don't over do yourself. Pesan saya kepada diri sendiri Just enjoy your life.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...