Kami tiba juga di Paris walaupun perjalanan kami tergendala sementara. Mengikut rencana pagi itu dari Gent, Belgium kami akan menaiki bas Eurolines ke Paris yang mengambil masa 3 jam perjalanan. Tetapi pagi itu kerana berlaku salah faham disebabkan bermula 1 April, stesen bas telah ditukar ke destinasi lain maka kami ketinggalan bas tersebut.
Panik! Memang kami panik. Pagi itu dengan rombongan ahli seramai 7 orang, kami langsung berkejaran dari stesen St Pieters ke stesen Dampoort. Di kepala hanya terfikir bas, hingga yang mengandung turut berlari apatah lagi dua anak-anak saya. Macam di Amazing Race pula. Namun bila kami sampai, bas memang sudah meninggalkan kami dan perjalanan seterusnya hanya esok hari kecuali kami ke Brussels.
Grande Arche de la Défense-si kembar Arch de Triomphe versi abad 20
Arch de Triomphe-dibina pada zaman Napoleon 1806 untuk memperingati perjuangan tentera di medan perang
Memang kami penat betul hari itu. Terasa hilang mood untuk ke Paris tetapi mengenangkan kami ada agenda yang telah dirancang, kami sepakat untuk sampai ke Paris pada hari itu juga walau apa yang terjadi. Sudahnya kami dapat menaiki keretapi jam 2.00 petang. Kami berlari lagi kerana hanya ada 4 minit sebelum keretapi berlepas. Masuk dalam keretapi, semua wajah terpancar kelegaan! Walaupun kami terpaksa membayar tambahan Euro45 lagi dan terpaksa menukar keretapi sebanyak 2 kali, tekad kami insyaAllah kami akan sampai juga ke Paris pada hari yang sama!
Paris! Pastinya destinasi pelancongan yang terkenal di seantero dunia. Bila bercakap tentang Paris, pastinya di kepala terbayang menara Eiffel yang megah berdiri di tengah kota Paris. Menara yang dibina oleh Gustava Eiffel, seorang jurutera bermula pada 23 Januari 1887 memang merupakan mercu tanda yang sangat mengkagumkan hingga kini selepas 122 tahun tetap megah menjadi satu ikon dunia yang terhebat. Tidak sah kunjungan ke Paris jika tidak menjejakkan kaki ke Eiffel Tower 2 kali, sekali di waktu siang dan sekali pada malam hari. Pemandangannya ternyata berbeza kerana di malam hari kota Paris dipenuhi dengan cahaya lampu. Setiap sejam Eiffel Tower akan bergemerlapan bermandikan lampu cahayanya sendiri.
Paris sama ada siang atau malam sentiasa menawan dengan panoramanya
Penat kami berjalan di sekitar tempat menarik di Paris ini. Sementelah kami sudah hampir seminggu mengembara dari Amsterdam menyebabkan kami sedikit hilang stamina. Tetapi walau berada 3 hari berjalan di sekitar tempat-tempat menarik ini, memang rasa tidak cukup masa. Kami tidak sempat menaiki Effeil Tower kerana tidak sanggup beratur panjang.
Memang ralat kerana tidak dapat melihat pemandangan cantik dari atas Effeil Tower tetapi melihatkan orang yang terlalu ramai beratur memang kami tidak sanggup berkompromi lagi. Melalui pengalaman mereka yang pernah naik ke atas, pemandangan Paris bagaikan kelopak bunga yang sangat cantik. Jadi jika anda punya masa, datang seawal yang mungkin dan rasakan sendiri bagaimana rupanya Paris dari atas Effeil Tower.
Pagi esoknya kerana keletihan satu hari di Disneyland, kami hanya berjalan-jalan untuk membeli cenderahati dan melihat pasar Arab. Petangnya kami sudah bersedia untuk pulang dan menamatkan pengembaraan kami. Kali ini kami telah memastikan stesen keretapi yang betul untuk pulang. Pengalaman ditinggalkan memang begitu menyakitkan. Kami menaiki keretapi City Night Line terus ke Berlin. Perjalanannya selama 13 jam tetapi kami memang tidur nyenyak kerana keletihan. Tetapi pengembaraan selama lebih kurang 10 hari itu kekal sebagai pengalaman yang begitu berharga dan kekal dalam memori kami. Entah bila kami akan sampai ke sini lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan