19 Januari 2008

Minggu demam sedunia



Minggu ini saya tak berapa sihat. Jadi blog saya juga bersawang. Hati memang meronta untuk menulis sesuatu. Almaklumlah dalam tempoh saya sedang bercuti dari menulis ni, blog menjadi tempat saya melepas gian. Tetapi kesihatan saya membuatkan segalanya terbatas.

Bila saya sembuh, anak-anak pula yang demam. Hardy tidak ke sekolah dua hari kerana demam. Bila anak demam, mak pun turut demam. Beberapa kali saya terjaga kerana menyejukkan kepalanya dengan kain. Tujuannya supaya suhu badannya menurun. Saya paling bimbang bila anak demam panas.

Pensyarah saya selalu pesan, kalau anak demam panas, jagalah elok-elok. Kalau boleh tidak tidur, berjagalah. Kalau boleh cuti, temankanlah anak di rumah. Kerana pernah terjadi, si ibu sibuk bekerja hingga mengabaikan anak yang demam. Mungkin pada hematnya, anaknya sudah 7 tahun, sudah darjah 1, sudah besar maka dia tidak perlu ambil berat macam anak masih kecil. Sudahnya anaknya demam panas dan kena tarik-tarik ataupun sawan kerana suhu badan terlalu tinggi. Bila sudah kena sawan, anak yang sedia pintar di dalam kelasnya (periksa dapat nombor 1) tiba-tiba langsung mengalami kerencatan otak lalu akhirnya diletakkan di kelas khas. Kasihan kan...dilahirkan sihat tetapi kerana kelalaian dan sikap ambil mudah ibu, anak itu akhirnya jadi begitu.

Kisah yang kedua tentang ibu yang sibuk bekerja tetapi anaknya sakit mata masih dihantar ke nurseri. Bila ditegur, katanya anaknya sakit mata sikit saja. Tapi virus sakit mata itu menyebabkan ramai kanak-kanak lain turut sakit mata di nurseri itu. Si ibu masih juga menghantar anaknya ke nurseri sehinggalah akhirnya bila dia sendiri dijangkiti sakit mata barulah dia tidak pergi bekerja, cuti.

Kisah yang ketiga tentang si ibu yang menghantar anaknya ke sekolah walaupun anaknya mendapat cirit-birit. Sudahnya habis satu sekolah berbau cirit.

Moralnya di sini, penting manapun kerja, kalau anak sakit, kerja sudah menjadi soal kedua. Kalau anak sakit, biarlah dia berehat di rumah. Satu dua hari tidak ke sekolah tidak mengapa. Dia tidak akan tertinggal jauh. Kalau dia ke sekolah tetapi akhirnya menyusahkan orang di sekelilingnya juga tidak memberi makna. Mana ada orang yang sakit boleh belajar kan!

Saya selalu mengingatkan diri saya, keluarga adalah segala-galanya!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

benda2 mcm ni susah nak cakap lela, hari isnin baru ni, aku EL Alya x sihat, hari jumaat, aku mtk klr, aqil x sihat, bos aku mengamuk giler!ni lah masalahnya, ditelan mati mak, diluah mati bapak.~lilyS

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...