30 September 2007

Jualan Gudang! Minggu ini....

Kalau anda membaca blog ini pada hari ini (Ahad) anda sempat lagi pergi! Kalau esok, gigit jari...

Lokasi : 2nd Floor Dataran Hamodal
Jalan Bersatu 13/4
Section 13
46200 Petaling Jaya
Biasa murah. Barbie doll boleh dapat RM5. Orang borong macam nak buka kedai mainan. Saya faham, mungkin nak buat stok. Bila birthday aje, cari hadiah dalam kotak.... Peringatan....jangan bawa anak-anak pergi bagi mengelakkan anda habis duit sebelum waktunya.

27 to 30 September 2007 di Wisma MinlonBt 12 Lebuhraya Sg Besi43300 Seri Kembangan(Serdang Lama)

Yang ini saya sempat pergi pagi tadi. Ada macam-macam, dari bunga hiasan, peralatan tidur, perabot, langsir semua ada. Tadi masa lelongan, ada orang beli set meja taman, RM 1** aje daripada harga asal RM3**.


Penggemar buku ahli MPH silalah ye MPH terpilih.... pada 28 to 30 September 2007
15% Off All Books
And get up to 30%
On Selected Books

Lokasi (Tel 603 2938 3818)
MPH Taman Maluri
MPH Bangsar Village 1 & 2
MPH Subang Parade
MPH Gurney Plaza
MPH Kinta City
MPH JB City Square
http://www.mphonline.com/

Selamat menghabiskan duit.....

29 September 2007

Kena Tagged (untuk Lily Suriani)


8 perkara tentang saya....


1-Sopannya saya...

Pertama kali jumpa, semua orang akan beranggapan begitu. Kenapa ye? Mungkin kerana pada kali pertama berjumpa, saya tidak akan menunjukkan ciri-ciri Pah Bedah saya.... Saya jenis yang reserved. Maksudnya saya akan baca kareaktor seseorang dulu, samada boleh masuk ke tidak.... Saya sangat berhati-hati terutamanya kepada orang yang pertama kali saya kenali. Kalau saya rasa ok...rasanya lepas tu saya yang lebih joyah...Bak kata Lynn...tunggu berapa minit lagi....


2-Lembut hati

Saya jarang marah. Kalau saya marahkan orang, biasanya kalau saya nak marahkan dia saya akan ambil masa. Masa untuk saya bertenang. Saya bimbang masa marah, saya akan keluarkan kata-kata kesat. Kalau orang sakitkan hati sayapun saya sabar....banyak. Tapi seperti selalu saya katakan pada abang setiapkali ada orang sakitkan hati saya, biarlah sebanyak mana dia nak sakiti saya, tapi jangan sampai saya kata stop....cukuplah.... Masa tu tiada jalan kembali. Nak kata dendam rasanya tidak tapi lebih kurang kot. Saya tak akan pandang dia lagi.


3-Tak berpura-pura

Bila dah sampai limit (masalahnya susah sangat nak sampai limit) hati saya akan keras. Orang akan tahu dari air muka saya samada saya suka atau tidak dengan orang itu. Biasanya saya tidak akan banyak cakap dengan dia yang saya tidak suka. Kalau dah bergaduh biasanya saya jarang boleh bertepuk tampar lagi. Hati dah luka beb....


4-Tenang

Saya ni macam tanah. Kalau masalah datang, saya masih boleh mengawal diri dan memikirkan jalan keluar. selalu jadi kaunselor masalah orang. Kalau orang membebel marahkan saya, saya masih boleh tenang membatu.


5-Garang dan ganas

Pertama kali berjumpa saya, ramai yang kata saya ni orangnya keras. Raut wajah saya yang serius, ramai yang beranggapan saya sombong. Ramai juga yang bila berjumpa anak-anak saya, akan rasa hairan... Anak-anak jantan saya, sopan teratur. Tidak padan dengan ibunya yang ganas....


6-Keras tangan

Saya bukan manusia berseni. Tapi cuba belajar untuk jadi manusia seni. kalau lukis ayam, mesti jadi burung...kreatif tu. Tentu Rose gelak kalau tengok hasil seni saya.


7-Respon baik punya tetapi selalu jatuh

Refleks saya cepat. Kalau jatuh mesti cantik aje. Alhamdulillah kalau jatuh, saya jarang cedera. Masa saya jatuh motor, saya terbang macam superman, tapi saya tidak cedera. Baru semalam saya jatuh longkang. Kawan saya kata tertibnya saya jatuh. Kalau kaki terpelecok kerana berkasut memang selalu. sebab itu tak suka kasut tinggi dan tangga. Biasa kalau turun tangga saya mesti pegang pemegangnya. Saya pernah jatuh tangga berkali-kali dan alhamdulillah saya tidak cedera.


8- Awet muda....haaaahaha

Saya tidak kata saya muda tetapi nampak muda....Umur dah tuapun. Ramai yang geleng kepala bila tahu anak saya darjah 1 tahun depan....
Mmm...nak tagged siapa ye....
1- Lynn Dayana yang sibuk memanjang
2- Rose Harissa yang sengaja menyibukkan diri
3-Dhiya Zafira yang suka menyepi
4-Umi Azrini yang nak naik pelamin beberapa hari lagi
5-Eka Fahara yang asyik melancong dan melencong
6-Lily Haslina Nasir yang saya selalu buat wake up call
7-Yana yang comel
8-oh ya...Pokcik Mersik.....

Istimewanya dia

Beberapa hari yang lepas, Pensyarah Pakar Bahasa Melayu datang menilai pengajaran saya. Semasa beliau bersembang dengan salah seorang murid di situ beliau menjumpai sesuatu. Seorang murid A, menunjukkan keistimewaan yang jarang ditemui. Nak tahu apa dia?
Murid ini didiagnos sebagai Autisme. Dia boleh bertutur dalam 4 bahasa iaitu BI, BM, Sepanyol dan satu bahasa yang saya terlupa. Bahasa Inggerisnya pula boleh ditukar slanga dari Britain, American dan Australia. Tatabahasanya superb dan dikhabarkan ibunya terpaksa membuka kamus untuk memahami percakapannya. Menurut seorang pensyarah Bahasa Inggeris yang datang bersama pensyarah saya, bahasa yang dia gunakan sangat jarang dituturkan kerana peringkat tinggi. Yang menakjubkan, murid ini mempelajarinya hanya melalui pemerhatian dan pendengarannya menonoton TV siaran Astro (animal planet etc) kerana dia langsung tidak boleh membaca!
Pensyarah saya kata, sebenarnya murid ini ada sedikit Autisme tetapi lebih kepada Sindrom Down yang tidak mencirikan fizikal Down tetapi Down yang pintar. Dia ada Disleksia. Satu program khas akan dirangka untuknya memandangkan murid ini boleh pergi jauh jika dia boleh membaca. Dicadangkan seorang guru khas yang boleh mengajar one to one yang pernah mengikuti kursus Disleksia dan fasih berbahasa Inggeris mengajarnya dalam program tersebut.
Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada A. Seperti katanya What a life!
Subhanallah....Besarnya kuasa DIA.
Glosari: Autisme- Subjek ada dunia lain (dunia sendiri yang orang lain tidak nampak atau fahami)
Disleksia- Subjek bermasalah di dalam membaca di mana apa yang dilihatnya tidak sama dengan yang dilihat orang lain. Contoh b dilihat sebagai d.
Sindrom Down - Subjek kelihatan serupa dari segi fizikal terutamanya bahagian muka. Berlaku kelainan dalam genetik pada kromosomnya.

Laila Was Here


Semalam 28 September 07 adalah hari terakhir saya di SK*. Oh banyak pengalaman yang saya kutip. InsyaALLAH jika ada kelapangan nanti akan saya ceritakan....

27 September 2007

Sindrom Maid


Kelmarin Pensyarah saya datang melawat. Sepeti biasa, banyak perkara yang kami perbualkan. Selain dari memberi tips dan berkongsi pengalaman menjadi guru pendidikan khas yang cemerlang, kami berbual dari satu topik ke satu topik. Yang ingin saya kongsikan di sini ialah Sindrom Maid. Jangan silap congak menyangkakan ia merupakan salah satu penyakit genetik yang mengganggu kanak-kanak hinggakan mereka hilang upaya dalam pembelajaran. Ia bukan penyakit genetik tetapi boleh diperturunkan kepada generasi kita kalau kita tidak membendungnya dari awal.

Ramai pekerja dari Indonesia dan Filipina diambil bekerja di negara kita sebagai pembantu rumah. Banyak tugasannya dari subuh hinggalah menjelang malam. Malah jika ditawarkan kepada warganegara Malaysia hari ini, ramai yang langsung pandang sebelah mata. Baik kerja kilang dari bekerja di rumah orang.

Berapa di kalangan kita yang punya pembantu rumah? Tidak kira apapun alasannya peranan pembantu rumah di rumah kita amat besar. Malah ada pula hinggakan menyerahkan tugasan mendidik anak di rumah kepada pembantu rumah atas alasan hambatan tugasan di pejabat.

Pensyarah saya kata, ramai anak kita sekarang sudah hilang skill sebagai wanita. Kalau dulu ibu-ibu kita mengajar kita mengemas rumah hinggalah menjaga adik-adik pada usia yang muda. Umur sepuluh tahun sudah boleh menanak nasi, pergi ke kedai dan membeli sayur mayur dan lauk pauk. Sekarang ini apa yang budak perempuan sepuluh tahun buat di rumah? Ada yang langsung tinggal pinggan atas meja dan terus lari tengok TV. Kalau pembantu cuti dua hari, dua harilah pinggan tu tak berbasuh. Ada pula sekadar melonggok baju di tepi bilik air. Seterika baju sendiri? Hangus terbakarlah baju. Malah ada satu kes dimana masuk universiti lipat baju tak reti. Hanya basuh dan gantung dengan penyangkut baju. Belum lagi disuruh ke pasar membeli ikan. Yang boleh dibuat beli lauk siap masak, tunjuk2 aje, nama ikan langsung tak tahu.

Saya merenung kembali kata2nya. Memang benar, dulu2 mak kita mana ada duit nak cari pembantu rumah. Maka peranan anak dara di dalam rumah sangat penting bagi meringan kerja dapur. Mak saya mengajar saya membasuh pinggan dengan membaling pinggan tak bersih yang saya basuh melayang ikut tingkap. Pagi2 jangan bangun lewat. Pukul sepuluh dah pergi kedai cari lauk dan sayur. Nasi mesti siap masak , ikan dan sayur kalau tak masak pastikan sudah disiang sebelum pergi ke sekolah jam dua belas.

Pensyarah saya menyarankan jika ada pembantu rumah, ajar-ajarlah anak kita berdikari juga. Seboleh-bolehnya suruhlah basuh kasut dan baju sendiri. Bila lapang ajak anak ke dapur dan ke pasar. Moden macam mana pun dunia, orang perempuan mesti ada skill kerja rumah. Biarlah ada sepuluh orang pembantu rumah sekalipun. Jangan sampai tak reti ke dapur. Badan anak dara kita macam guni sebab asyik makan tidur. Cermin mata tebal seinci kerana asyik mengadap komputer dan telenovela. Jangan juga sampai lupa cakap Melayu dan terbawa-bawa slanga Indonnya.....

26 September 2007

Kambing Panggang!


Maaflah....kalau membuatkan air liur anda kecur...

Bulan-bulan puasa ni topik makan rasanya paling best... Gambar ni diambil semasa menghadiri Jamuan Berbuka Puasa PPTD (Persatuan Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik) di INTAN (Institut Tadbiran Awam Negara) Bukit Kiara Jumaat lepas.

Yang seronoknya makanan punyalah banyak, berderet-deret. Ia dibuat stail gerai dan kita boleh pergi ke gerai mana yang kita suka. Macam-macam ada....dari ais kacang ke goreng cempedak panas, dari kambing panggang hingga ke udang goreng, nasi beriani dan sate...alah....banyak2 sebut buat menambah banyak air liur ditelan...
Tahun depan boleh pergi lagi....InsyaALLAH...

20 September 2007

Kena tangkap tak posa



Haha! Pernah tak anda jumpa orang tak puasa makan depan anda tanpa segan silu? Atau masa anda jalan-jalan di belakang kedai mamak, ada orang Islam yang masuk beli makanan ikut jalan belakang?
Saya pernah menghadapi dua situasi ini...
Yang pertama semasa saya kerja kilang dulu... Selamba badak aje budak2 ni membeli makanan di kantin kilang. Bila saya datang tanya, tahu pulak malu. Apa lagi saya bebel dan mereka lari. Saya kata, kalau tak malu dengan orang Islam lain, malulah kat kawan-kawan yang bukan Islam tu... Alasan mereka sebab mereka kerja shift, penat....
Yang kedua masa saya kerja di UPM dulu. Kebetulan saya nak berjumpa dengan seseorang yang rumahnya dekat sangat dengan kedai mamak... Dia nampak saya dan saya renung aje dia... Rasanya dia tak rasa malu langsung....
Yang hairannya yang saya jumpa tu semuanya lelaki...Bukankah lelaki makhluk yang dijadikan ALLAH serba kuat? Saya terfikir, di manakah kekuatan itu? Masih adakah kelelakiannya?

Jose Mourinho Letak Jawatan!






Di kalangan peminat bola terutamanya English Premier League, siapa tak kenal dengannya.
Kenapa saya minat sangat dengan jejaka ini? Dia ada 4 K, kharisma, kontroversi, kaya dan kacak! Kalau tak percaya lihat saja cebisan gambar di atas. Dalam usia begitu, saya rasa dia tergolong dalam lelaki yang kacak juga. Lelaki Portugal ini punya kharisma yang tersendiri. Dia membawa Chelsea ke mercu jaya. Dari pasukan yang biasa-biasa Chelsea milik jutawan Rusia ini menang banyak piala. Semua piala sudah disapu bersih dan cuma Piala Juara-juara yang belum dipegangnya. Tiba-tiba kita diberitakan yang Jose meletakkan jawatan....
Selepas ini aksi-aksinya kontroversinya di padang, kata-kata sinisnya malah renungan mautnya akan kita rindui.... Malam ini Chelsea turun buat pertama kalinya tanpa Jose bertemu dengan MU. Ramai yang frust terutamanya Kapten John Terry dan peminat Chelsea. Dengarnya pampasan yang dibayar Chelsea kerana penamatan kontraknya RM150 juta!
Oh ya, Jose akan ke Malaysia tidak lama lagi untuk sesi pengambaran iklan sebuah bank terkenal di Malaysia. Mmm....agak2 dapat tak saya bertemu jejaka 4K ini nanti semasa kunjungannya...atau gigit jari saja..............

Tengah Nakal....

Penat melayan Hariz Hakimy. Dua malam lepas dia cucuk telinga dengan termometer. Tadi pula orang sedang berbuka nasi ayam, dia gigit sabun. Aduh....
Orang kata anak nombor dua ni pelik sikit. Entahlah...sebab dia belum besar. Membuat perbandingan terkini, abangnya memang senang dijaga, saya tak perlu tinggi2 suara dia dah faham saya marah dia. Mungkin sebab ambil perhatian mama dia menjaga di hospital, maka dia memang tak banyak buat hal. Masa dia kecil tak pernah pasu bunga pecah dan CD calar balar dan pecah dua. Adiknya pula walaupun tidak memecahkan pasu bunga dan CD, akalnya panjang untuk 'mengembara'. Kristal kecil tu dia masuk mulut, lepas tu tabur atas tangga. Batu dalam pasu bunga di dalam rumah dia ketuk dan lempar ke lantai. Siap main ultraman kat dalam pasu bunga tu lagi. Pandai dia pilih setting tempat, ada batu-batu dan bunga hidup. Dulu-dulu bila Hardy main batu saya akan pukul tangannya sebagai ajaran yang batu itu bukan mainan, tapi dengan adiknya tak jalan... Jadi saya guna pendekatan psikologi pulak. Bila dia letak balik batu tu dalam pasu, saya tepuk tangan. Masalahnya pulak, dia boleh ambil batu, tengok saya, letak balik batu dan tepuk tangan sendiri...Mak dia buat apa? Tepuk dahi.....

Alasan tak pergi sembahyang terawikh

1- bulan mengambang
2-kenyang sangat la...
3-banyak kerja, ada presentation esok
4-ngantuklah, malam tadi jaga anak demam
5-tengok kerja sekolah anak
6-masjid jauh
7-imam baca surah panjang

Yang sebenarnya kalau dah kena penyakit MIM....susah....

19 September 2007

Bulan-bulan puasa ni...sabar ajela...

Masa ni la jiran saya nak renovate rumah.... Mungkin nak pindah lepas raya ni, lepas anaknya habis SPM seperti yang dia pernah beritahu dulu...
Saya cuba memekakkan telinga bila gerudi berbunyi waktu petang. Hariz nak tidurpun terpaksa belajar pekakkan telinga. Hardy memang tak kisah sebab memang kerjanya main dengan Amsyar. Rumah runtuhpun dia tak peduli bila dapat main ultraman dan dinasor. Abang memang tak dengar sebab dia balik, pekerja tu semua dah balik....Tapi dalam bayak-banyak kebisingan itu, bila part diaorang pasang lagu Tamil... Kuatnya memang buat saya angkat bendera putih...

17 September 2007

Lagi tak percaya...

Inilah buah cempedak yang abang beli dalam bulan Ramadhan ni dekat makcik jual buah. Makcik tu kata walaupun isinya putih, rasanya manis bila abang komplen kata isi putih tentu tak sedap. Dia jual buah ni dengan harga RM8 untuk dua biji. Dua-dua biji hampeh, buahnya masak layu dan isi yang boleh diambil hanya 20 biji. Bermaksud 40 sen seulas untuk buah yang langsung tak sedap. Lekat getah dan bau ajela...

Tidak percaya???



Pernahkah anda terfikir yang orang tanpa tangan boleh melukis? Bagaimana pula jika lebih jauh dari itu, menyara hidupnya dengan melukis misalnya? Jika anda tidak percaya lihatlah gambar di atas dan layari web berikut mfpa.tripod.com. Jika anda ingin membantu, belilah lukisan mereka...

Pertolongan diperlukan


Labuci dan dadih yang berjaya saya buat.Huhu..sikit punya siksa nak siap!


Laila Kamilia....apa yang dia tahu selain dari menulis? Emm.....saya suka bersukan tapi jarang bersenam sekarang. Anak petani tapi kalau tanam sayur gerenti mati. tangan dah panas. Masak setakat yang simple2 bolehlah. Buat kuih raya langsung tak jadi. Buat kuih-muih tak reti. setakat cekodok penyek bolehlah. Menjahit sikit-sikit, sampai sekarang tak khatam-khatam.

Minggu ni pulak saya kena mengajar murid-murid saya kraftangan.Kelakar, sebab saya ni memang kerastangan. Pensyarah saya sudah sedia maklum. Apalah yang saya nak ajarkan...Penat jugalah cuba melembutkan tangan ni ha... Jadi saya berguru dengan rakan-rakan yang memangnya halus buatan tangannya...
Minggu lepas saya dah ajar cucuk manik buat gelang tangan, pegang gunting ada seorang aje yang tak reti-reti. rasanya projek saya gunting, tampal, lipat ...senang citer nak ajar buat kad ucapan. Lepas tu boleh buat bottle painting. Aduhai...rasanya hasil kerja anak murid lagi cantik dari hasil kerja cikgu.
Masa hantar kerja kursus kad ucapan dulu, awal-awal lagi saya dah sound dengan kawan-kawan, "Korang jangan tengok depan, tengok dalamnya ye." Sebab kalau nak lawan, bahagian depannya awal2 lagi saya dah angkat bendera. Kat dalam saya bubuh sajak dan rasanya hanya saya sorang aje yang ada sajak. Nak menang cara kotorlah tu.

Panjang-panjang mukadimah, saya sebenarnya nak beritahu sekarang ni saya sedang belajar membuat kuih-muih yang simple2. Jadi jika sesiapa baik hati yang ada resepi bulehlah hantarkan kepada saya ye di lailakamilia@yahoo.com. Huhu...susahnya kalau tangan hanya lembut atas keyboard! Itupun entah apa-apalah yang ditulis.....


PARAM: Pasar Ramadan la...


Ke mana dah sampai? Memang tak dinafikan sepanjang bulan Ramadhan ni berderet-deret pasar ramadhan kan? Di tempat tinggal saya ni berhampiran dengannya, banyak betul param sampai tak tersinggah-singgah. Alhamdulillah puasa masuk 5 hari, dapur saya masih berasap.
Antara param yang terkenal ialah param SS iaitu sri serdang. Kalau sesiapa ada kelapangan ke sana cubalah pergi. Istimewanya param di sini memang sesak sangat2 sebab ramai student UPM. Kadang2 sampai sentuh bahu. Kat sini makanannya (sah sehingga setahun lepas) murah-murah. Lauk-pauk murah. Malah kuih 4 RM1 masih ada. Selain itu orang suka sangat ayam golek madu. Ramai beratur beb!
Bila pindah Putrajaya saya suka juga pergi ke Presint 8 tu, dekat MoF. Paling best kat sini bersih sangat. Kuih-muih harga standard. Yang paling ramai orang beratur, Roti John. Istimewa sebab ada inti daging. Pernahlah saya beratur hampir sejam masa mula-mula nak rasa dulu. Tapi sekrang dah tak hairan, cawangannya kat Taman Warisan dan pasar malam Seri Putra ada jual.
Bila dah pindah ke Seri Putra, saya sempat jeling-jeling aje param kat depan jalan tu. Ramai juga manusia, almaklumlah ada student KUIS. Param Bandar Baru Bangi pun ramai orang juga.
Seronok pergi param selain menjamu mata dengan lauk-pauk, seronok tengok gelagat orang. Penulis macam nilah. Suka memerhati tingkahlaku orang untuk dipelajari dan dihayati.
Tapi kadang-kadang peniaga ni ada yang nak ambil kesempatan. Mentang2 bulan puasa, air masamlah, tak manis langsung, nasi basi, kuih tak rasa apa. Bila kita masuk aje mulut, selera berbuka yang menggebu-gebu masa tengok makanan siang tadi, langsung padam. Cis! Anti oksidan betul!

Selamat Hari Lahir Hardy




Dua jejaka yang lahir dengan semangat patriotik. Ayahnya 31 Ogos dan anaknya16 September.
Selamat Hari Lahir ke 6 anak mama, Hardy Zahidy Fadly. Semoga sentiasa sihat. Sekejap saja sudah 6 tahun umurnya. Tahun depan dah darjah 1. Dan maksudnya mama ni dah semakin tua. Jadi anak berguna. Sempena hari lahir ini, mama poskan kembali sajak yang mama tulis istimewa buat Hardy.
PESANAN UNTUK SEORANG ANAK

Anakku…
Bila besar nanti
Jadilah anak soleh
Bila mama telah tiada
Hadiahkan mama dengan doa dan bacaan suci al-Quran
Moga tenang dan aman mama dalam pembaringan
Mengadap Khaliqnya

Anakku…
Bila besar nanti
Jadi lelaki budiman
Yang kecil dipimpin penuh kasih sayang
Ciumlah pipinya dan tunjukkan jalan kebenaran
Yang tua dihormati
Ciumlah tangannya dan dengarilah
Leteran yang penuh kata nasihat dan pedoman kehidupan
Pada wanitamu
Ciumlah diubun kepalanya
Rendahkan suara dan dengarkanlah luahan hatinya
Yang salah nasihati dengan kepintaran akalmu
Yang benar pujilah dengan lidah manismu

Anakku…
Bila besar nanti
Jadilah orang bijak pandai
Bukan setakat menjadi pilot permintaanmu
Kerana ilmu akan mengharumkan namamu
Lebih harum dari kasturi
Bukan setakat menjadi doktor buat penyembuh sakit jantungmu
Kerna ilmu akan mengangkat martabatmu
Lebih tinggi dari pergunungan tertinggi di muka bumi

Anakku…
Bila besar nanti
Bila mama sudah tiada di sisi
Untuk berpesan dan berleter apa-apa lagi
Ingatlah mama pernah ajarmu
Hidup berdikari, tidak meninggi diri dan sayangi diri sendiri

Anakku…
Doamu setiap kali aku menadah
Tangan pada Rabbul Jalil
Ketika kau baru mengenal dunia
Moga Allah memakbulkannya

Amin…Ya Rabbal Alamin…

Dalam mengenang doa2 Zahidy semenjak 21/2 tahun

“Ya Allah,
Ampunkan dosa ibubapa aid
Sembuhkan sakit jantung
Jadikan Aid anak soleh dan budak pandai
Supaya boleh jadi …. Pilot”

Mama
UPM. Serdang
25 April 2005

14 September 2007

Siapa Dzalia dalam LK


Saya ingin berkongsi pengalaman saya diajukan dengan pertanyaan oleh mereka yang sudah membaca LK. Ramai yang bertanya, dalam LK tu Dzalia tu wujud ke? Bila saya cakap watak dia betul wujud, soalan kedua pula keluar, betuk ke dia janda? Cerita dalam LK tu kisah benar ke? Bukan saya seorang saja, saya rasa semua penulis sentiasa diajukan pertanyaan yang sama. Ia menunjukkan betapa prihatinnya seorang pembaca dengan apa yang dibacanya sehinggakan terbawa-bawa keluar ke dunia realiti.

Untuk menjawab soalan yang nombor satu itu, jawapan saya, memang Dzalia wujud. Kareaktornya diambil bagi memperingati seorang kawan yang cukup sweet dan baik hati. Bahagian paling tidak benar tentang Dzalia, saya wujudkan sebagai janda berhias sedangkan di alam realiti, dia masih bujang trang tang-tang. Still available.

Harapan saya semoga 'Dzalia' saya cepat-cepat bertemu jodoh. Dan harapannya biarlah dengan lelaki sebaik Zuhairee. Kalau ada yang mahu menjalin persahabatan dengan Cik 'Dzalia Nidzar ' silakan ke http://profiles.friendster.com/juecute

Walau di mana 'Dzalia' saya berada, saya doakan dia menemui kebahagiaan yang dia ingini. Terima kasih kerana sudi menjadi Dzalia dalam LK.

12 September 2007

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1428



Kepada semua Muslimin/Muslimat,

Salam Ramadhan Al-Mubarak daripada kami sekeluarga. Semoga Ramadhan ini membawa sinar untuk kita semua dan moga iman kita sejernih mutiara untuk hari-hari yang seterusnya.

11 September 2007

Bajet 2008: Elaun Guru Pendidikan Khas Naik



Melayang!
Masa Pak Lah sebut aje saya dah senyum-senyum kambing. Abang tunggu bonus tapi melepas. Hah! Kali ni saya menang.
Dulu masa saya di kuliah, pensyarah saya kata. Awak tak payah bersaing memang dah dapat hadiah khidmat cemerlang. Elaun RM100 yang awak terima setiap bulan lebih dari guru biasa menunjukkan awak sememang cemerlang dan istimewa.
Kini bila ditambah menjadi RM250 sebulan, apa maknanya?
Bagi saya dan rakan-rakan di dunia Pendidikan Khas, ini satu pengiktirafan yang sungguh bermakna. Akhirnya peranan guru pendidikan khas diberikan perhatian sama penting seperti guru lain di kelas normal. Sekalipun kami mengajar tidak kepada kelas yang akan mengambil peperiksaan, menunjukkan pendidikan khas juga sama pentingnya dengan kelas peperiksaan.
Dengan bertambahnya elaun, bermaksud kena kerja kuat lagi. Hari-hari kena pasak niat yang betul ke sekolah. Tanggungjawab semakin membesar.

Tengok anak bulan posa





Tiga gambar diambil semasa berkursus di Banting bulan Jun yang lalu. Gambar pertama tu adalah gambar menara di mana anak bulan dicerap semasa bulan posa dan raya. Bukit Jugra. Nak sampai punyalah payah. Malu nak cerita tapi saya orang terakhir yang mendaki bukit tu. Mana tahan beb, hampir 90 darjah dia punya bukit siap berbelok lagi. Kuatkan semangat jugalah nak sampai ke atas. Mujur tak cedera hingga perlu diusung. kalau tak manalah nak disorokkan muka ni. Baru tersedar rupanya dah tua dah, tak macam dulu-dulu tersengih je mendaki bukit dan gunung.

Dari ketinggian itu nampak pemandangan sungai yang memisahkan Malaysia dan Indonesia. Ada kem askar di bawah. Semasa saya berada di atas bukit tu terserempak dengan sekumpulan askar wataniah yang berlatih menuruni Bukit Jugra. Kita pulak rasa gayat, diorang rilek aje.

Gambar yang kedua tu makan Sultan Abdul Samad. Makamnya di dalam bangunan sedangkan makam anakandanya dan kerabat di sekeliling. Sekarang ni keluarga diRaja tu tidak dimakamkan di situ lagi.

Gambar ketiga merupakan tinggalan istana lama. Ada dua tiga lagi yang saya ambil, tapi saya tunjuk satu ajelah. Isy seram juga. Mujurlah masa ambil gambar tak ada yang nak masuk sebagai candid. Kalau tak, tak tahulah...

Pengalaman semasa berkursus tu... aduihlah.... Paling saya tak boleh lupa, kena angkat kayak seberat lebih 60kg dua orang saja, sama-sama pompuan pulak tu. Nasib baik tak kena campak dalam tasik tahi angsa. kalau tidak ada pulak yang bawa wabak selsema burung. Memang tak bagus kawasan perkhemahan kami tapi bagi banyak pengalaman. Yang saya sedar, semenjak operation tu, badan saya dah tak kuat lagi....dah terasa tua benar saya. Sekejap saja bila Allah dah tarik balik apa yang dia bagi pinjam...

Save The Cheerleader, Save The World!








Tagline yang cukup menarik bukan? Save the cheerleader and then save the world... Apa maksudnya? Kenapa? Bagaimana? Di mana? Siapa?

Sesudah habis menonton siri ini minggu lepas, barulah saya tahu kenapa siri Heroes ini menjadi buah mulut dan kegilaan ramai di seluruh dunia. Tersenyum sendirian apabila membaca berita sambutan luar biasa terhadap 4 pelakonnya yang datang membuat promosi DVD Heroes di Singapura minggu lepas. Agaknya kalau datang ke Malaysia, tentu saya juga ribuan peminat yang akan menyerbu pelakon-pelakon yang mempunyai 'kuasa' itu.

Heroes... Bagaimana ingin saya mulakan? Cadangan abang untuk membeli DVD siri Heroes melalui taukeh DVD Johor (sapa yekk...) terjelma lama dahulu sejak saya mula meminati Prison Break. waktu itu, saya tidak pedulikan sangat siri ini. Maklumlah, jatuh cinta dengan Wenworth Miller lah katakan... Namun setelah menontonnya, makin lama makin sedap rasanya siri ini, ibarat memakan kuaci, makin lama dimakan, makin tak mahu berhenti!

Heroes mengisahkan manusia-manusia yang dianugerahkan super power yang berbeza-beza dan datangnya dari segenap lapisan manusia dan dunia. Mereka hidup di antara manusia biasa dan mula mengenal kelebihan masing-masing. Dalam mereka mengenali kuasa mereka, timbul satu kuasa yang akan cuba untuk memusnahkan dunia dan hero-hero ini mempunyai misi untuk menyelamatkan dunia tanpa mereka ketahui jalannya.

Mudahkan? jalan ceritanya seakan-akan buku komik X-Men. Namun kelainannya dan kekreatifan cerita ini cukup berhasil. Hanya yang menonton perjalanan ceritanya dari mula hingga ke akhir akan merasai betapa siri ini memang menggemparkan dunia.

Walaupun permulaan siri ini agak perlahan, biasalah, untuk memperkenalkan karekter perlu berhati-hati, takut orang confused. Namun, selepas saja episod kelima, cerita ini sudah berubah rentak. Dari siri ke siri, persoalan demi persoalan dimainkan. Seakan-akan anda sedang menghayati komik, bezanya, komik ini anda tidak perlu baca!

Memang menarik. Save the cheerleader, save the world... Tagline yang amat kreatif, sekreatif ceritanya... Cubalah tonton Heroes. Anda pasti temui jawapannya...

09 September 2007

Ramadhan Datang...



Dapur kita berasap ke?

Piala Malaysia 2007 Milik Kedah






Lebih 80, 000 orang hadir malam itu. Lautan manusia itu saya antaranya. Perlawanan malam itu bukan setakat pertemuan Perak-Kedah tetapi sebenarnya lebih kepada pertaruhan peribadi di antara suami isteri. Saya orang Perak dan abang orang Kedah. Awal-awal lagi kami sudah berperang psikologi.

Tapi abang main kotor. Awal-awal lagi dia sudah menggunakan kuasa veto. Elok-elok saya berbaju pink (kerana saya berkecualilah bila duduk di kem kedah), terus dia suruh tukar. Terpaksalah memakai baju warna hijau. Dia guna kuasa vetonya 'membeli' kerakyatan saya. Hampeh.

Malam itu saya awal-awal berpesan dengan abang. Kalau Perak gol, abang pegang saya. Mati kena boo lah kalau dalam lautan penyokong Kedah itu saya menyokong Perak. Tetapi mujur juga Perak bagi Kedah menang percuma malam itu. Mungkin juga kalau Perak menang, ada yang bertelur di dahi.


Ini bukan kali pertama saya masuk stadium tengok bola. Banyak kali juga. Bola ni saya minat juga. Masa sekolah dulu, kalau Piala Dunia, saya sanggup bersengkang mata melihat perlawanan pasukan kegemaran. Dulu saya minat Itali dan Belanda. Malah jika saya disuruh menghafal nama pemain bola dengan artis, rasanya senarai nama pemain bola lebih banyak saya ingat. Peraturan permainan juga saya tahu. Bila masa seseorang pemain itu off side atau bila perlu diberikan sepakan sudut semuanya dihujung jari saya. Bukan setakat bola, permainan lain juga bolehlah kalau setakat nak menduga pengetahuan. Saya ada sijil kejurulatihan BAM untuk badminton. Kalau rezeki baik, ujian kepengadilan olahraga KOAM yang akan keluar keputusannya hujung tahun ini, ada dalam tangan. Kalau setakat sesak2, bolehlah saya ajarkan main badminton tu. Malah kalau bersembang dengan jantan yang kaki bangku rasanya, awal-awal lagi dia kena angkat bendera. Hah! Mulalah Laila nak perasan! (Sesekala bagila peluang!)

Apa yang saya lihat, sukan ini menyatukan manusia. Tidak kira pangkat dan darjat, keturunan dan warna kulit. Saya sempat bertanyakan kepada abang, "Bila masa abang berkenalan dengan mamat rambut warna tu?" selepas saya melihat dia siap boleh berlaga tangan meraikan kemenangan. Rasanya kalau tak disebabkan gol itu, mungkin abang langsung tidak bertegur dengan adik yang berbelang rambutnya dengan warna itu.

Tapi yang tak seronoknya dalam negara yang sudah merdeka ini, mentaliti orang kita masih belum berubah. Dalam stadium yang tahu penuh orang itu ada ramai yang buat tidak tahu, merokok di khalayak tanpa rasa bersalah. Jantan-jantan ni buat stadium tu macam dia tengok tv kat dalam rumah sendiri. Pening kepala bau asap rokok yang macam-macam. paling tak tahan bau rokok daun nipah. Peh....

Tahniah untuk Kedah. Pemain muda yang masih bersih dari sebarang pemikiran kotor yang sudah sebati dengan pemain senior Malaysia. Ada orang yang sudah meramal, tahun depan Kedah akan kalah. Tiga piala yang dimenanginya tahun ini akan terlepas bila pemain muda ini merasai erti sebenar bolasepak Malaysia.

07 September 2007

Matta Fair 2007


MATTA Fair Sept 2007 (Kuala Lumpur) di Putra World Trade Centre (PWTC) Kuala Lumpur
bermula 7 - 9 September 2007.

Seperti tahun lepas, tahun ini Matta Fair datang lagi. Jika anda ingin melancong atau melencong inilah masanya mendapat peluang menikmati pelbagai diskaun untuk pakej2 percutian di dalam dan luar negara. kalau nak beli tiket taman tema atau urutan di spa juga inilah masanya mendapat diskaun istimewa. Ambillah peluang bercuti dengan diskaun, berbaloi untuk anda! Untuk lebih maklumat sila ke http://www.matta.org.my/mattav2b/index.cfm

06 September 2007

Selamat Hari Lahir

Buat dia yang tersayang. Selamat Hari Lahir pada 31 Ogos. Hidup ini tiada erti tanpa kau di sisi....

Apa erti Merdeka

Setiap orang punya erti yang tersendiri. Mungkin bagi murid Tahun 6 yang baru habis UPSR semalam, inilah erti merdeka. Bagi seorang Wenworth Miller, keluar dari penjara adalah merdeka. Bagi seorang maid, tiada tuan rumah bererti merdeka!

Setiap kali menyambut merdeka, yang saya ingat mesti ada, iklan merdeka dan konsert merdeka serta bunga api. Apa sebenarnya erti merdeka kepada saya?

Bila sudah dewasa ini bila boleh berfikir sendiri, barulah sedar betapa jerihnya orang dulu-dulu nak mendapatkan kemerdekaan. Dan bagaimana mudahnya kita anak merdeka menyambut dan memperingati hari kemerdekaan. ia ditunggu-tunggu sebab ia adalah hari cuti umum.
Merdeka bagi saya bila kita bebas dari dibelenggu rasa yang bukan-bukan. Kita tidak jadi bimbang jiran atau orang di sekeliling kita akan menganiaya kita. Di mana kita berjalan dengan rasa tenang dan aman. Di mana bila kita nak solat, surau itu ada di mana-mana dan telekungnya tidak masam. Di mana apa yang kita nak makan kita boleh dapat pada harga yang berbaloi dengan kualitinya. Di mana kita tak dicemarkan dengan bau dan asap rokok. Di mana telinga tak sakit mendengar caci maki orang. Di mana kita saling tersenyum bila bertemu. Dan segala urusan harian kita di pejabat kerajaan dan swasta menjadi lancar dan kita dilayan selayaknya kita sebagai warganegara dan tuan tanah di tanah air yang merdeka. Di mana kita tidak sakit mata dengan aksi2 berahi lagi memberahikan. Di mana anak-anak kita boleh bermain tanpa kita takut mereka diculik. Di mana kita tidak gentar rumah kita dimasuki pencuri. Di mana....
Kalau nak diikutkan panjang senarai di mana itu... erti merdeka terlalu besar. Tanggungjawab dan pengisian merdeka itu lebih besar. Perjuangan kita mengisi kemerdekaan belum terhenti...

Kekasih Separuh Masa

Separuh Masa ~ De Lima ( Gangstarz )
Dulukan telah diberitahu
jangan menganggu di hujung minggu
nanti dia akan tahu
rahsia engkau dan aku
Kita sudah sama setuju
berjumpa hanya bila perlu
kerana kita sudah punya teman istimewa

Korus:
Kuhanyalah kekasih separuh masa
separuh lagi cinta untuk dia
janganlah kau meminta lebih daripada itu
Kuhanyalah kekasih separuh masa
dari Isnin sampai Jumaat saja
jangan pula kau mengharap berdampingan selalu
denganku

Jika kau tak terima khabar
bererti dia ada di sini
jangan gatal meninggalkan pesan
curiga dia nanti
Tak perlu kata-kata manja
itu sudah sering kudengar
dari dia yang masih tidak tahu
adanya dirimu

Kuakui ada sesuatu antara kita
tetapi kutahu bukan seperti biasa

Apa perasaan anda tatkala mendengar lagu dari Delima ini? Ciptaan Edry kali ini buat saya banyak berfikir. Pertama kali mendengarnya di radio, tegak badan saya. Memang saya suka mendengar lirik lagu, biasanya itu adalah yang saya utamakan dari melodinya. Kata saya kepada hubby, "Isy ada juga orang nak buat lirik lagu cam gini." Inilah yang dikatakan kreatif kerana dalam sekalian lagu-lagu cinta yang merayu kekasih, ada juga lagu yang begitu berani memberi amaran kepada kekasihnya. Selalunya kita tidak akan terbuka sehingga sebegitu. Seolahnya lelaki ini langsung tidak takut kehilangan kekasih gelapnya itu.
Lagu ini sesuai kepada dia yang bercinta dengan suami/isteri orang dan kekasih orang lain. Cinta itu sesuatu yang menakjubkan. Ia boleh datang lebih sekali dalam hidup. Takdir pula menentukan dia yang kita jatuh cinta itu milik orang. Akibatnya diri terpaksa menanggung risiko.
Adakah ia menjadi trend sekarang ini? Kita pernah dengar orang bercinta begini tetapi kita tidak tahu seramai mana yang terlibat kerana tiada statistik yang boleh mengukur tetapi memandangkan sudah ada lagu sebegini dan dengarnya ramai yang 'panas punggung' bila mendengar lagu seperti ini, mungkin juga statistiknya meningkat dari masa ke semasa.
Saya tidak mahu komen banyak tetapi mendengar lirik lagu ini dan lagu kekasih gelapku, banyak yang kita boleh belajar...

Lirik lagu ini disalin dari http://cintadearhaniey.wordpress.com/

04 September 2007

Masak telur dalam tanah

Gambar di atas diambil semasa demonstrasi memasak telur di dalam tanah. sebenarnya menjadi Pengakap ni seronok juga sebab ada macam-macam benda pelik. Contoh lain masak nasi dalam buluh, buat menara kawalan dan macam-macam gajet. Kalau sesat dalam hutan ilmu pengakap ini sedikit sebanyak boleh membantu. Saya ni baru belajar. ada sikit-sikit je ilmu pengakapnya. tapi yang kelakar kesian si Ika ni dan saya membuat demo, alih-alih bila nak masak kena lanyak dengan murid. Jawabnya jadi telur tanah la...Kalau korang ada camping2 cubalah masak telur dalam tanah. Sebenarnya paling bagus telur tu disalut dengan lumpur macamm buat telur masin tu baru dipanaskan tapi cara ni pun boleh juga. Korek tanah sedalam cukup untuk letak lapisan pasir, bubuh telur dan lapiskan lagi dengan pasir. atasnya bubuhla bara api. Selamat mencuba!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...