07 Mei 2007

Spiderman 3 - Lebih Drama

Tanggal 1 Mei 2007, bermulalah era Spiderman 3 menguasai pawagam di seluruh tanah air. Saya juga tidak ketinggalan untuk menikmati filem superhero kesayangan dunia ini. Tiket telah dibeli 1 minggu sebelum tayangan dan seawal jam 7.30 malam saya sudah berada di hadapan GSC Midvalley untuk mengambil tiket di kiosk tiket yang disediakan bagi mereka yang membeli tiket melalui kad kredit. Mujurlah berbuat demikian, memandangkan kaunter-kaunter tiket dipenuhi oleh rantaian-rantaian manusia dan pengumuman dari corong pembesar suara telah memaklumkan bahawa tiket untuk tayangan filem tersebut bagi malam itu dan keesokannya telahpun habis dijual. Sungguh hebat penangan adiwira Peter Parker ini.




Di hadapan GSC Mid Valley penuh sesak dengan manusia. Jam 8.50 malam saya sudahpun berada di dalam panggung 10 bagi menantikan tayangan yang akan bermula pada jam 9.00 malam.


Ceritapun bermula...


Kisah percintaan Peter Parker dan Mary Jane Watson (MJ) diteruskan lagi. Kali ini plot dramanya agak berpanjangan berbeza dengan dua sirinya yang lalu. Kegagalan MJ dalam membawakan nyanyian dalam pementasan 'broadway' mengundang kritikan pedas daripada pelbagai pihak sehinggakan dia terpaksa digantikan dengan pelakon lain. Di sinilah bermulanya konflik antara Parker dan MJ. Tiga karektor jahat juga telah dibawa di dalam siri ini iaitu Sandman, Venom dan Green Goblin Jr. Dalam masa yang sama juga Parker telah diresapi oleh satu kuasa jahat (darkside) yang menjadikannya lebih agresif dan tidak terkawal.


Saya tidak berhajat untuk menceritakan kisahnya. Maklumlah, takut ada yang belum menontonnya lagi akan terasa dengan spoiler yang tertera. Apa yang ingin disampaikan ialah filem Spiderman arahan Sam Raimi kali ini agak meleret dari segi dramanya, namun aksi dramatiknya memang menghiburkan. Perubahan Spiderman ke arah 'darkside' memang menarik. Gaya lakonan Tobey Maguire daripada seorang 'nerd' kepada seorang yang agresif dan liar amat meyakinkan.


Pujian harus juga diberikan kepada Kirsten Dunst dalam membawakan wataknya sebagai MJ. Walaupun tidak sehebat lakonannya yang lalu, namun tidaklah terlalu mengecewakan. Namun usaha Sam Raimi membawakan watak cinta kedua Parker agak tidak menjadi. Begitu juga dengan perubahan watak Harry Osborn (James Franco), rakan karibnya yang menjadi Goblin dan kemudiannya hilang ingatan, seakan-akan kaku.


Namun, hasil kerja kumpulan special effect kali ini agak menarik. Walaupun terdapat scene yang terlalu pantas dan gelap untuk dilihat (contohnya ketika spidey bergayut dan bertarung dengan Sandman dan venom) namun, secara keseluruhannya penggunaan teknik CGI pada kali ini agak menarik.


Secara keseluruhannya, Spiderman 3 kali ini menarik untuk ditonton tetapi saya lebih sukakan Spiderman 1 dan 2 yang ternyata lebih mantap berbanding sekuel ketiganya kali ini.


Rating: ***1/2

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...