28 Mei 2010

Hana sudah pulang ke rumah

Alhamdulillah, setelah berkampung selama 10 hari di HKL, Hana sudah dibenarkan pulang. Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kesejhteraan permata hati saya ini. Inilah wajah terbaru Hana yang akan berusia 9 bulan pada hari esok. Sudah ada gigi sebatang dan belajar merangkak sekarang. Tapi nak dara saya ini, saya sorokkan kat rumah kecuali  nak bawa dia jalan-jalan (kasihan pada Hana yang hobinya bersiar-siar ni...hehe). Kepada yang nak jumpa Hana, jemputlah ke rumah!

09 Mei 2010

Hana: Ketika di ICU dan Hari Ini

Dua situasi berbeza.



Gambar di atas dirakamkan ketika Hana ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur pada minggu lalu. Ketika itu, Hana tidak sedar kerana diberi ubat pelali dan dia bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan. Umurnya baru 8 bulan tetapi terpaksa menanggung kesakitan sebegini rupa. Di badannya terdapat tiub-tiub yang untuk ubat, antibiotik, NaCl, susu, oksigen dan tiub untuk ujian darah. Berselirat wayar dan kabel bagi mengesan pernafasannya dan nadinya, jumlah oksigen dan pelbagai lagi yang saya sendiri tidak mengerti. 


Hari ini.  Hana masih di Institut Pediatrik tetapi di Wad kanak-kanak. Beratnya sudah mengurang setengah kilo dalam masa 2 minggu di hospital. Lihatlah wajah cerianya yang amat saya rindui. Ini Hana yang amat saya sayangi dengan hela nafas saya sendiri. Akan saya tatang anak comel ini sehingga akhir hayat saya. Semoga Allah pelihara dan memberi kesihatan kepada dirinya mulai hari ini dan untuk masa-masa akan datang.

04 Mei 2010

Terkini dari Laila : Doakan kesejahteraan Hana Nurein saya...

Pejam celik rupanya sudah sebulan saya kembali ke tanahair tercinta! Ya! Kepada yang belum tahu, saya dengan rasminya mengumumkan kepulangan saya ke Malaysia. Saya tahu! Ramai yang marah-marah sayang pada saya kerana tidak memaklumkan tentang kepulangan saya tetapi saya lakukannnya kerana saya sayangkan anda semua. Saya pulang pada 30 Mac 2010 yang lalu bersamaan hari Selasa di waktu Subuh yang hening. Saya tahu, jika saya beritahu, ramai yang terpaksa mengambil cuti pada hari itu atau kurang-kurangnya meminta izin masuk lewat ke pejabat untuk menunggu saya di KLIA kerana saya tahu, anda sayangkan saya....Hehehehe...perasan! Jadi untuk membuktikan yang saya lebih sayang anda,  saya tidak mahu menyusahkan anda dan terimalah kezutan saya di depan pintu rumah atau panggilan telefon/SMS fraud. Maaflah semuanya saya lakukan kerana saya sayangkan anda! Hehehehe.....ps-tak boleh lupa reaksi kalian masa tu!

Perkataan pertama! Laila....kenapa kurus!....Jadi kalian ada banyak sebab untuk bagi saya kembali ke bentuk asal...hahhaa bila kita jumpa nanti. Sediakan aje duitnya ya!

Laman web berabuk.....FB pun berabuk....semua berabuk! Komen kedua! Ya, saya sedang berusaha membuang semua habuk, tak kiralah di mana-mana, tapi belumpun sempat saya mencuci habuk-habuk itu sebersih-bersihnya dan kembali ke rencana hidup yang asal seperti yang saya tinggalkan kira-kira 2 tahun lepas, permata hati saya, my precious, little Hana Nurein di masukkan ke wad gara-gara batuk dan demam.

Petang Selasa 27 April, Hana saya bawa ke klinik kesihatan Batu 14, Hulu Langat kerana saya lihat tubuhnya yang sudah tidak bermaya. Doktor di situ menyarankan saya membawa Hana ke Hospital Serdang untuk diberi nebulizer untuk asmanya. Saya sangat bimbang hendak bawa Hana ke klinik/hospital kerana virus H1N1 itu tetapi keadaan telah memaksa. Saya berharap Hana saya dapat dirawat segera. 

Malam selepas menguruskan Hardy dan Hakimy, saya dan abang ke Hospital Serdang. Saya sudah siap membawa pakaian kerana naluri saya keras mengatakan yang kami akan bermalam di wad malam itu. Tetapi setelah diXray, doktor kata Hana kena pneumonia dan dimasukkan ke Hospital Serdang. Namun setelah 2 hari di situ, batuk Hana semakin teruk dan pada tengahari Jumaat itu, Hana dibawa oleh ambulans ke ICU, Institut Paediatrik, Hospital Kuala Lumpur kerana sesak nafas, paras oksigennya turun mendadak. Ketika itu saya berdoa semoga Allah tidak mengambil semula hadiahnya yang paling berharga kepada saya. Saya hantar SMS kepada semua, minta mendoakan untuk Hana saya. Terima kasih saya ucapkan untuk kata-kata azimat dan semangat, juga doa buat berkat. Saya dan keluarga sangat menghargainya.

Di HKL, Hana disahkan terkena jangkitan influenza A. Alhamdulillah bukan H1N1 tetapi simptomnya lebih kurang sama dan antibiotik yang sama digunakan untuk merawatnya. Hari ini hari ke 4 Hana di HKL, dan dia memerlukan 6 hari lagi untuk melengkapkan rawatannya. Kepada teman-teman yang mahu melawat, saya tidak galakkan kerana untuk kebaikan Hana juga anda. Doa dan ingatan anda sangat bermakna kepada saya dan keluarga. InsyaAllah, bila Hana sihat nanti, kita pasti ada banyak masa untuk bersama-sama lagi.

Pesanan saya kepada anda yang punya anak-anak kecil, ibu mengandung dan mereka yang berisiko tinggi, jauhkan dari mengunjungi kawasan yang ramai orang seperti shopping mall, tempat mandi awam,  hospital/klinik demi kepentingan anda sendiri. Virus ini mudah menjangkit dan tersebar. Jagalah diri anda dan keluarga. Saya doakan semoga kita semua berada dalam perlindunganNya dan tidak terkena dengan jangkitan virus yang sangat merbahaya ini. Jika boleh, dapatkan vaksin percuma yang ditawarkan kerajaan kerana buat masa ini, ia adalah pertahanan terbaik. Mencegah lebih baik dari merawat! Jika sudah terkena, sukar hendak diubati. Percayalah, ada yang anak-anak di sini yang terpaksa tinggal di hospital hingga 6 minggu demi melengkapkan rawatan gara-gara serangan virus merbahaya ini.

Bagi yang merindui Hana saya, inilah gambar terbarunya! Doakan Hana cepat sembuh ya! Terima kasih. 

@ Hospital Serdang; masih boleh gelak-gelak tetapiyang tak disangka itu serangan tiba-tiba itu tak sampai 5 minit! dan Hana saya terus dipengsankan.
@ Institut Paediatrik HKL, hari pertama setelah keluar dari ICU. Wayarpun masih berselirat di sini sana.

01 Mei 2010

Selamat Ulangtahun ke 10!

gambar yang dirakam pada 19 November 2010

Diam tak diam, kami menyambut ulangtahun yang ke sepuluh pada 1.5.10 yang lalu. Kejap saja masa berlalu dan tarikh ulangtahun tu pun dah basi...hahhaa tapi inilah baru berkesempatan memuatnaik gambar. Masa ulangtahun ke 10 tu, kami berdua sedang diuji Tuhan. Ketika itu Hana sedang berada di dalam ICU di HKL. Jadi ulangtahun ke 10 kami raikan di celah-celah kesedihan. Disebabkan 1 Mei merupakan cuti wajib, jadi memang setiap tahun kami akan bercuti untuk meraikannya. Tetapi untuk ulangtahun ke 10, sememangnya ia akan menjadi tanda untuk kami sentiasa mengenangnya...

10 tahun tu macam lama tapi sebenarnya kejap aje. Kami berkahwin pada usia yang agak muda (saya 23 dan abang 24). Ketika itu ramai di kalangan kawan-kawan masih belajar. Ketika itu kami baru setahun bergraduat. Kalau hendak dikisahkan, memang macam-macam dugaan berkahwin pada usia muda. Namun kami bersyukur, dugaan-dugaan itu mematangkan hubungan kami. Di kala teman-teman sedang berusaha untuk melengkapkan sebuah perkahwinan, alhamdulillah kami sudah lama 'settle down'.

10 tahun, 2 putera dan 1 puteri dengan sebuah rumah yang diibaratkan bagai syurga dunia, Alhamdulillah rasanya hidup kami telah lengkap segala. Moga Allah sentiasa memberkati hidup kami sekeluarga. Seperti kata abang 13 tahun lalu, InsyaAllah We will grow old together.

16 Mac 2010

Pengumuman Cuti : Lama ni...

gambar terbaru: dari Venice, sarat dengan cinta....ehheeh

Salam semua!

Saya ingin memaklumkan yang blog ini dengan rasminya akan bersawang mulai hari ini hingga ke satu tempoh yang tidak dapat dimaklumkan (mungkin sehingga penghujung April) untuk pelbagai urusan yang terlalu panjang senarainya jika mahu ditulis di sini. hehe. Dalam tempoh itu, jika anda mahu berhubung dengan saya, sila email saya di lailakamilia@yahoo.com atau di facebook haslina kamaluddin. Jika ada masa terluang dan ada sambungan internet, insyaAllah akan ada maklumbalasnya dari saya. Jumpa lagi nanti insyaAllah!

15 Mac 2010

Senyum sejenak...

"Mama! Ada diskaun shopping 15%!" Mungkin itu yang sedang Hana fikirkan.hehehe. Peninglah kepala abah lepas ni nak menangani dua wanita yang suka shopping....hehehe
Gambar Hana 'membaca' majalah dengan wajah serius ini dirakam semasa dalam pesawat Ryan Air dari Berlin-Stockholm.

12 Mac 2010

Pesta Buku Antarabangsa KL 2010

Salam...
Pesta buku KL datang lagi... 19-28 Mac 2010. Sila layari sini dan sini untuk temui barisan novelis kesayangan anda! Hehe! Seperti yang diumumkan, tahun ini tahun ke 3 saya tiada di pesta buku! Harap jumpa lagi di pesta buku 2011!

Buah tangan ke empat Lynn Dayana!


Di bawah timbunan batu bata mereka memulakan bicara. Kisah hati yang sepi, hidup yang malang dan cinta yang tak kesampaian. Mereka sama-sama bermimpi mahu mencapai bintang namun mereka sedar, kaki mereka terantai di bumi.
Bagi Haida Fatma, pertemuan itu mengujakan dan dia mahu mengubah hidup. Masa silam yang hitam mahu dibersihkan buat bekal untuk masa hadapan yang sempurna.
Sebaliknya bagi Julia Hana, terperangkap di bawah timbunan batu bata menyedarkan dirinya yang si suami sudah hilang rasa cinta. Jadi, dia harus membebaskan diri dari terus terbelenggu!
Rasa kasih, sayang malah setitis cinta… sudah lama tidak singgah di hati Zira Maya. Yang ada hanya kekosongan. Dia lupa makna bahagia. Dia alpa dengan materialistik dunia. Dihampiri malaikat Maut, dia merasa kerdil dan terpinggir.
Tragedi bangunan runtuh itu menemukan mereka bertiga. Perjalanan hidup yang sepi kini seakan terisi. Namun, adakalanya menyayangi amat sukar dilakukan apabila batas diri terus menghantui. Bahagia itu milik mereka yang berusaha. Mampukah mereka meraih cinta yang terhad haknya?


ps-tahniah untuk Lynn yang telah membuktikan, menaip sebelah tangan boleh juga menyiapkan novel. Hendak seribu daya....tidak seperti saya yang menaip sebelah tangan tapi tak siap-siap juga....hehe

Hero Cilik

Tadi semasa menonton CNN, ada satu berita yang rasanya wajar untuk dikongsi bersama warga BSP. Kisah seorang kanak-kanak 7 tahun di USA yang telah diangkat menjadi hero kerana tindakannya yang pintar dalam menangani krisis. Ibubapanya telah diikat oleh pencuri dan dia telah menelefon 911 untuk meminta pertolongan. Menurutnya, ibunya yang telah mengajar dia bagaimana untuk menelefon 911 apabila ada situasi genting seperti itu. Apa kata kita semua ajar anak-anak kita dengan perkara asas ini? Si cilik pasti saja boleh membantu saat kita memerlukannya. Asalkan ada pemantauan dari ibubapa. Jangan buat panggilan palsu pula!

05 Mac 2010

KEMBARA EROPAH: Budapest, Hungary


bangunan Parlimen yang menjadi tarikan utama Budapest

cili yang dikeringkan dijadikan hiasan dan ulam, kebanggaan Hungary

sempat merakam gambar di hadapan istana

lagi sudut di bangunan Parlimen

tinggalan sejarah Budapest

jambatan (Chain Bridge) yang menghubungkan bandar Buda dan Pest

Entri kembara Budapest ini telah lama disimpan tapi kerana tidak berkesempatan menulis, ia hanya tersimpan di dalam peti deraf saja. Lihat gambar sudah tau, ketika kembara ini saya sedang sarat mengandung tetapi kerana tiket ICE sudah dibeli, saya harus juga meneruskan agenda kembara saya dengan perut yang besar itu...hehe.

Kami ke Budapest, Hungary dengan keretapi dari Bratislava, Slovakia. Kami tiba sudah lewat malam dan syukurlah hotel tempat kami menginap betul-betul di hadapan stesen keretapi utamanya Keleti (memang sengaja dicari hotel yang terdekat kerana perut saya itu...hehe). Stesen keretapinya memang besar dan masih mengekalkan tinggalan sejarah.

Budapest merupakan dua bandar yang terhubung melalui jambatan Chain Bridge. Disebelah baratnya bandar Buda, merupakan bandar yang masih mengekalkan tinggalan-tinggalan sejarah (dengan istana di atas perbukitan) sementara di seberang sungai Danube iaitu di sebelah timurnya bandar Pest, mewakili Hungary yang moden, digabungkan keduanya menjadi BudaPest. Entri yang sangat ringkas namun gambar-gambar di dalam pos ini pasti membuatkan mereka yang ingin kembara memikirkan satu lagi pilihan jika ke Eropah terutama yang meminati bangunan klasik dan bersejarah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...