16 Jun 2010

Jom Makan! : GP Jati Beriani House

Restoren GP Jati Beriani House ini baru dibuka Jun tahun ini. Terletak di pintu masuk Putrajaya-Dengkil, restoren ini menawarkan nasi beriani dengan susunan perabot kayu jati selari dengan namanya.
Restoren ini menawarkan resepi nasi beriani asli original dari Batu Pahat seperti nasi beriani ayam merah/ayam beriani, daging, kambing dan ikan keli. Tiada menu selain nasi beriani dijual di sini. Restoren ini dibuka bermula jam 11.00 pagi setiap hari. Jika ada masa, marilah singgah menjamu selera di restoren yang menawarkan nasi beriani yang lembut dan sedap dalam haruman perabot kayu jati. Hehehe...sambil-sambil makan, boleh pesan perabot jati kat sini....Cubalah!

perabot kayu jati di mana-mana di restoren ini, baru dibuka masih banyak kerja2 penyelenggaraan

beriani daging-hidangan sepinggan tidaklah terlalu banyak, cukup untuk seorang makan terutama yang berdiet tapi mahu cuba nasi beriani

nasi beriani ayam merah/beriani
pandangan luar

Kalau dah bosan dengan restoren di sekitar Putrajaya, bolehlah cuba pula di restoren baru ni ya!

14 Jun 2010

Piala Dunia Hanya 4 Tahun Sekali


Piala Dunia 2010. Sekiranya anda bukannya dari planet lain, tentu anda sedia maklum bahawa acara sukan terhebat dunia ini sedang berlangsung dari 11 Jun lalu sehingga 11 Julai ini. Namun jika anda masih lagi tertanya-tanya apa itu Piala Dunia, izinkan saya memberitahu anda bahawa piala seperti gambar di atas merupakan piala yang menjadi rebutan bagi 32 pasukan negara ketika ini di Afrika Selatan dalam permainan yang mungkin anda pernah dengar - bolasepak! Dan Malaysia bukan salah satu pasukan yang sedang bertanding merebutnya ketika ini, walaupun kita mempunyai wakil di pertandingan tersebut, seorang pengadil...

Pertandingan ini hanya hadir empat tahun sekali. Dan dalam tempoh sebulan inilah dunia akan beralih arah ke kejohanan terbesar selepas olimpik (dan mungkin lebih besar daripada olimpik) ini. Bagi kaki bola dan peminat bolasepak, inilah bulan yang ditunggu-tunggu. Setelah 4 tahun lalu (2006), piala keramat itu milik Itali, kini piala ini hadir lagi untuk dipertandingkan di bumi Afrika.

Kepada yang tidak ambil tahu tentang bolasepak, pada bulan ini cubalah sedikit sebanyak mengenali pertandingan ini dan para pemainnya. Anda akan dikenali dan mudah dirapati oleh kaki bola sekiranya anda dapat menyebut pemain bintang ternama seperti Messi, Rooney, Torres atau Christiano Ronaldo. Dan untuk lebih hebat lagi, cubalah sebut nama-nama bintang kurang ternama lain seperti Tanaka (Jepun), Vidic (Serbia), Koren (Slovenia) dan cubalah beri ulasan tentang perlawanan malam tadi. Anda tentunya akan dianggap sebagai penganalisis yang sentiasa mengikuti perkembangan piala dunia.

Kepada isteri atau teman wanita kaki bola, bulan ini adalah mungkin bulan untuk sidia menatap wajah televisyen lebih dari wajah anda. Mungkin juga sidia tersebut nama Terry (John Terry) atau Ashley (Ashley Cole) beberapa kali ketika bersama anda, mungkin susur katanya juga lebih ke arah kisah bola atau mungkin juga apa yang dilihatnya semuanya bola! Bak kata pepatah iklan dahulukala, makan bola, tidur bola, minum bola! Tidak mengapa. Berilah peluang kepadanya asalkan dia bahagia. Anggaplah bulan ini bulan untuk sidia melalui proses keremajaan semula, bersorak sakan, terlompat-lompat seakan kanak-kanak mendapat gula-gula, atau menjerit seperti kera terhidu belacan, biarkan...

Yang pastinya ia hanya hadir 4 tahun sekali... Mungkin 4 tahun lagi, anda atau sidia tiada peluang untuk menikmatinya lagi...

Selamat berpesta Piala Dunia.

07 Jun 2010

Madame Tussauds Berlin, Germany


Madame Tussauds Berlin merupakan destinasi terakhir lawatan kami sebelum pulang ke Malaysia. Ada beberapa entri Kembara Eropah yang akan saya paparkan sedikit masa lagi. Untuk kali ini saya cuma ingin berkongsi keseronokan meninjau Madame Tussauds di Berlin.

                                    
Madame Tussauds merupakan muzeum patung lilin terbesar di dunia. dengan mempunyai beerpa cawangan di bandar-bandar utama dunia seperti London, Hong Kong, Berlin, Washington, Vegas dan lain-lain, sudah pastilah kunjungan ke muzeum ini akan menjadi kemestian bagi sesiapa yang melawat ke bandar-bandar tersebut.

Berikut saya paparkan kehalusan seni patung lilin tersebut serta aksi kami sekeluarga bersama celebriti terkenal di Madame Tussauds Berlin... Enjoy...;)


Detailnya patung lilin sehinggakan urat tangan pun diabuat dengan begitu rapi menyerupai pemilik sebenar.


Mikhail Gorbachev

Presiden Barack Obama (kami jumpa dulu sebelum Dato Najib jumpa hehehe...)

Press Conference bersama Angela Merkel (Cancelor Germany) 

Presiden Perancis, si romeo Nicolas Sarkozy

Albeit Einstein E=MC2

Sesi terapi dengan Dr Sigmund Freud


Abang dengan Sven Goran Eriksson (bekas jurulatih England, sekarang jurulatih Ivory Coast)

Hardy dan Kimy dengan band Bono kalau tak salah saya...

Alahai Tom Cruise

Anak-anak lepak dengan Robbie Williams


Dating dengan George Clooney... jangan marahh...;)

Hana dengan Pakciknya Leonardo diCaprio

Kimy nak jadi Pirate sama cam Uncle Johnny Depp

J-Lo

Nicole Kidman

Ahli Beatles ke 5-7

Kenanganku bersama Micheal Jackson

Tentu anda tertanya-tanya siapakah karekter yang paling mahal setakat ini yang pernah dihasilkan? Kita sedia maklum bahawa karekter-karekter ini memang mahal tetapi setiap karekter berbeza kos menghasilkannya. Bahagian mana yang paling mahal dan susah hendak dibuat? Jawapannya ialah bahagian rambut. Paling banyak rambut, paling mahal sesuatu karekter kerana rumitnya untuk menghasilkan rambut yang benar-benar menyerupai karektor sebenar. Setakat ini Beyonce merupakan karektor termahal pernah dihasilkan. Walau bagaimanapun mulai tahun ini atau awal tahun depan, Shrek akan menandingi Beyonce kerana karekter Shrek yang tinggi dan paling banyak rambut. 

Selamat Bercuti!

Hoorey! Bila tiba cuti sekolah, cikgu lagi terlebih seronok dari murid. Hahhaha...sayalah tu, bukan cikgu lain. Hahhaa.... Diam tak diam, inilah cuti sekolah pertama saya setelah kembali berkhidmat sebagai pendidik sejak 8 April lalu. Oh ya! Sekejap saja masa berlalu. InsyaAllah cuti sekolah ini akan saya manfaatkan dengan sebaik-baiknya (nanti saya update selepas cuti sekolah ye!)

Sudah lama saya mahu menulis di blog tapi asyik-asyik tak sempat. Orangpun dah malas nak buka blog bila buka, berabuk. Hahaha. Hari ini saya ingin berkongsi tentang 3 perkara yang saya agak terkezut semasa balik ke Malaysia.

Pertamanya: Mata saya ni dah lama x tengok perempuan seksi. Hahhaa...tipulah. Di Europe, fenomena orang perempuan pakai seksi yang menyeksakan mata lelaki-lelaki tentulah pada waktu musim panas (macam negara kita ni asyik panas, sebab tu perempuannya seksi) ataupun semasa di kelab. Tapi di Malaysia, saya hampir tidak percaya dengan mata saya bila melihat perempuan seksi di mana-mana. Pergi restoren ada orang seksi, ke supermarket pun ada juga perempuan seksi. Di mana-mana ada! Patutlah saya sakit mata sampai kena pergi klinik. Bila saya beritahu kawan-kawan, kata mereka Malaysia kan berbilang bangsa. Hahaha...Jawapan saya memanglah tapi kalau yang seksi tu bangsa lain x mengapa. Ini sampai dah tak boleh nak beza mana bangsa kita, mana pula bangsa depa.
"Takkan kau tak pernah tengok?" tanya kawan saya yang lagi seorang. Jawab saya "Memanglah...tapi sejak balik ni saya rasa lagi melampau. Saya macam x percaya tengok orang Melayu pakai seluar pendek nampak peha pergi jalan-jalan kat pasaraya." Ada pula yang sengaja nak 'bakar' saya dengan kata "Kau tu yang kampung..." Hahaaha... saya ketawa. Ya, saya mengaku yang saya orang kampung. Tapi saya orang kampung yang sudah berjalan merata dunia. Dalam hati saya berdoa, moga Allah pelihara diri saya,  anak-anak, adik-adik dan saudara-mara, juga teman-teman saya dari berpakaian begitu. Amin.

Kedua: Karaoeke ada di mana-mana!
Hampir tersedak saya makan kerana telinga bingit dengan nyanyian lagu-lagu. Sekarang ini boleh di kata di mana-mana ada menyediakan perkhidmatan ini. Kini sesiapapun boleh menonjolkan bakat masing-masing. Fenomena itu x ada pun semasa saya meninggalkan bumi Malaya 2 tahun lepas. Tapi di suatu hari semasa sedang makan malam di sebuah kafe di pintu masuk Putrajaya, saya katakan pada abang," Kat tempat macam ni, tak bolehlah nak bawa mak dan abah makan sebab x sesuaila pulak ada karaoeke." Ya, karaoeke di kafe itu membuka penyertaan sesiapapun untuk menyanyi. Abang mengangguk mengiyakan kata-kata isterinya yang terchenta. Hahaha. Tiba-tiba! Alamak! Yang menyanyi kat atas pentas itu seorang pakcik yang sudahpun beruban. Naauzubillah..... Saya ingatkan hanya orang muda aje yang nak menyanyi di hadapan awam di ruang terbuka begitu.

Ketiga: Kiriman SMS yang menawarkan muat turun gambar2 panas. Memang ke hadapan sungguh kerana ketika terima SMS itu, saya baru sehari dua mendaftar nombor telefon. Tak sangka mudahnya mendapat perkhidmatan begitu. Ternyata zaman sekarang anak-anak muda, mudah benar terdedah kepada perkara x sihat. Jadi, pantaulah telefon bimbit anak anda!

Bila renung-renung kembali, saya tertanya sendiri. Saya ni memang ketinggalan zaman atau zaman berlalu terlalu pantas meninggalkan saya di belakang? Ini rumah saya, tanah tumpah saya, negara Malaysia yang saya cinta. Ya Allah peliharalah aku dan keluargaku.

01 Jun 2010

9 bulan....

Sudah 2 bulan rupanya saya pulang ke Malaysia. Terasa macam baru saja saya pulang kerana hidup masih dalam pembetulan. Ada lompang-lompang di sini sana. Ada teman yang belum diziarah, ada barang yang belum diberikan, ada janji yang belum ditunaikan, ada permintaan yang belum dilunaskan. Hidup saya seperti baru mahu bermula. Saya mencuba tapi ternyata masih ada banyak yang perlu saya lakukan untuk kembali kepada kehidupan sedia kala. Jika saya kata hidup saya di Berlin lapang dalam kekurangan, di sini saya  kesempitan waktu dan tenaga. Seperti tidak cukup waktu  24/7 itu. Alahai! 

Kini saya sedang mengejar sekalipun saya sedar, tiada yang menunggu. Kini saya berusaha sehabis baik, walau saya sedar, saya sedang dinilai. Saya doakan semoga semua yang di sekeliling saya berada di dalam aturan dan landasan yang sebenar, yang saya usaha dan rancangkan. Saya telah menerima hakikat, siapa saya di sisi insan-insan yang pernah saya tinggalkan 2 tahun lepas. Begini ibaratnya, anda punya teman baik/pasangan yang benar-benar anda sayangi. Kemudian di suatu hari yang tidak disangka, teman/pasangan anda itu telah pergi meninggalkan anda. Mulanya pastilah anda sedih dan meratapi kehilangannya, tetapi kemudian anda sedar, kehidupan harus diteruskan tanpanya. Kini anda telah berjaya hidup tanpanya dan memulakan hidup baru. Tiba-tiba dia kembali. Pastilah anda sukar untuk membuat justifikasi kehidupan yang anda ada sekarang. Begitulah sebenarnya yang saya rasakan. Saya cuba menyelit di celah kehidupan mereka-mereka yang saya tinggalkan! Dan setelah terbiasa melakukan segala-galanya sendirian, kini saya harus belajar kembali menyusahkan hidup orang lain....Hahaahah....

2 tahun telah berlalu dan saat ini saya dapat satu pengalaman yang berharga. Perasaan bagaimana kembali setelah menghilangkan diri. Oh! Rupanya sukar juga untuk mendapatkan kehidupan silam yang telah kita tinggalkan.

Saya sudah melalut! Tajuknya Hana sudah 9 bulan...Hehhehe. Ini mesti sebab kes dah lama membiarkan blog berabuk....Apapun saya berbahagia bila Hana saya sudah 9 bulan. Alhamdulillah Tuhan mengizinkan saya untuk terus menatap Hana setelah ujian yang diberikanNya kepada kami. Hana sudah boleh merangkak 2,3 langkah. Beratnya? Hehhehe....taklah sempat saya nak timbang tapi berat maknya naik 4 kg dalam masa 2 bulan di Malaysia. Hehehe makanan Malaysia memang best, macam mana nak tolak? 

Hingga jumpa lagi! Tcuss!

28 Mei 2010

Hana sudah pulang ke rumah

Alhamdulillah, setelah berkampung selama 10 hari di HKL, Hana sudah dibenarkan pulang. Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kesejhteraan permata hati saya ini. Inilah wajah terbaru Hana yang akan berusia 9 bulan pada hari esok. Sudah ada gigi sebatang dan belajar merangkak sekarang. Tapi nak dara saya ini, saya sorokkan kat rumah kecuali  nak bawa dia jalan-jalan (kasihan pada Hana yang hobinya bersiar-siar ni...hehe). Kepada yang nak jumpa Hana, jemputlah ke rumah!

09 Mei 2010

Hana: Ketika di ICU dan Hari Ini

Dua situasi berbeza.



Gambar di atas dirakamkan ketika Hana ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur pada minggu lalu. Ketika itu, Hana tidak sedar kerana diberi ubat pelali dan dia bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan. Umurnya baru 8 bulan tetapi terpaksa menanggung kesakitan sebegini rupa. Di badannya terdapat tiub-tiub yang untuk ubat, antibiotik, NaCl, susu, oksigen dan tiub untuk ujian darah. Berselirat wayar dan kabel bagi mengesan pernafasannya dan nadinya, jumlah oksigen dan pelbagai lagi yang saya sendiri tidak mengerti. 


Hari ini.  Hana masih di Institut Pediatrik tetapi di Wad kanak-kanak. Beratnya sudah mengurang setengah kilo dalam masa 2 minggu di hospital. Lihatlah wajah cerianya yang amat saya rindui. Ini Hana yang amat saya sayangi dengan hela nafas saya sendiri. Akan saya tatang anak comel ini sehingga akhir hayat saya. Semoga Allah pelihara dan memberi kesihatan kepada dirinya mulai hari ini dan untuk masa-masa akan datang.

04 Mei 2010

Terkini dari Laila : Doakan kesejahteraan Hana Nurein saya...

Pejam celik rupanya sudah sebulan saya kembali ke tanahair tercinta! Ya! Kepada yang belum tahu, saya dengan rasminya mengumumkan kepulangan saya ke Malaysia. Saya tahu! Ramai yang marah-marah sayang pada saya kerana tidak memaklumkan tentang kepulangan saya tetapi saya lakukannnya kerana saya sayangkan anda semua. Saya pulang pada 30 Mac 2010 yang lalu bersamaan hari Selasa di waktu Subuh yang hening. Saya tahu, jika saya beritahu, ramai yang terpaksa mengambil cuti pada hari itu atau kurang-kurangnya meminta izin masuk lewat ke pejabat untuk menunggu saya di KLIA kerana saya tahu, anda sayangkan saya....Hehehehe...perasan! Jadi untuk membuktikan yang saya lebih sayang anda,  saya tidak mahu menyusahkan anda dan terimalah kezutan saya di depan pintu rumah atau panggilan telefon/SMS fraud. Maaflah semuanya saya lakukan kerana saya sayangkan anda! Hehehehe.....ps-tak boleh lupa reaksi kalian masa tu!

Perkataan pertama! Laila....kenapa kurus!....Jadi kalian ada banyak sebab untuk bagi saya kembali ke bentuk asal...hahhaa bila kita jumpa nanti. Sediakan aje duitnya ya!

Laman web berabuk.....FB pun berabuk....semua berabuk! Komen kedua! Ya, saya sedang berusaha membuang semua habuk, tak kiralah di mana-mana, tapi belumpun sempat saya mencuci habuk-habuk itu sebersih-bersihnya dan kembali ke rencana hidup yang asal seperti yang saya tinggalkan kira-kira 2 tahun lepas, permata hati saya, my precious, little Hana Nurein di masukkan ke wad gara-gara batuk dan demam.

Petang Selasa 27 April, Hana saya bawa ke klinik kesihatan Batu 14, Hulu Langat kerana saya lihat tubuhnya yang sudah tidak bermaya. Doktor di situ menyarankan saya membawa Hana ke Hospital Serdang untuk diberi nebulizer untuk asmanya. Saya sangat bimbang hendak bawa Hana ke klinik/hospital kerana virus H1N1 itu tetapi keadaan telah memaksa. Saya berharap Hana saya dapat dirawat segera. 

Malam selepas menguruskan Hardy dan Hakimy, saya dan abang ke Hospital Serdang. Saya sudah siap membawa pakaian kerana naluri saya keras mengatakan yang kami akan bermalam di wad malam itu. Tetapi setelah diXray, doktor kata Hana kena pneumonia dan dimasukkan ke Hospital Serdang. Namun setelah 2 hari di situ, batuk Hana semakin teruk dan pada tengahari Jumaat itu, Hana dibawa oleh ambulans ke ICU, Institut Paediatrik, Hospital Kuala Lumpur kerana sesak nafas, paras oksigennya turun mendadak. Ketika itu saya berdoa semoga Allah tidak mengambil semula hadiahnya yang paling berharga kepada saya. Saya hantar SMS kepada semua, minta mendoakan untuk Hana saya. Terima kasih saya ucapkan untuk kata-kata azimat dan semangat, juga doa buat berkat. Saya dan keluarga sangat menghargainya.

Di HKL, Hana disahkan terkena jangkitan influenza A. Alhamdulillah bukan H1N1 tetapi simptomnya lebih kurang sama dan antibiotik yang sama digunakan untuk merawatnya. Hari ini hari ke 4 Hana di HKL, dan dia memerlukan 6 hari lagi untuk melengkapkan rawatannya. Kepada teman-teman yang mahu melawat, saya tidak galakkan kerana untuk kebaikan Hana juga anda. Doa dan ingatan anda sangat bermakna kepada saya dan keluarga. InsyaAllah, bila Hana sihat nanti, kita pasti ada banyak masa untuk bersama-sama lagi.

Pesanan saya kepada anda yang punya anak-anak kecil, ibu mengandung dan mereka yang berisiko tinggi, jauhkan dari mengunjungi kawasan yang ramai orang seperti shopping mall, tempat mandi awam,  hospital/klinik demi kepentingan anda sendiri. Virus ini mudah menjangkit dan tersebar. Jagalah diri anda dan keluarga. Saya doakan semoga kita semua berada dalam perlindunganNya dan tidak terkena dengan jangkitan virus yang sangat merbahaya ini. Jika boleh, dapatkan vaksin percuma yang ditawarkan kerajaan kerana buat masa ini, ia adalah pertahanan terbaik. Mencegah lebih baik dari merawat! Jika sudah terkena, sukar hendak diubati. Percayalah, ada yang anak-anak di sini yang terpaksa tinggal di hospital hingga 6 minggu demi melengkapkan rawatan gara-gara serangan virus merbahaya ini.

Bagi yang merindui Hana saya, inilah gambar terbarunya! Doakan Hana cepat sembuh ya! Terima kasih. 

@ Hospital Serdang; masih boleh gelak-gelak tetapiyang tak disangka itu serangan tiba-tiba itu tak sampai 5 minit! dan Hana saya terus dipengsankan.
@ Institut Paediatrik HKL, hari pertama setelah keluar dari ICU. Wayarpun masih berselirat di sini sana.

01 Mei 2010

Selamat Ulangtahun ke 10!

gambar yang dirakam pada 19 November 2010

Diam tak diam, kami menyambut ulangtahun yang ke sepuluh pada 1.5.10 yang lalu. Kejap saja masa berlalu dan tarikh ulangtahun tu pun dah basi...hahhaa tapi inilah baru berkesempatan memuatnaik gambar. Masa ulangtahun ke 10 tu, kami berdua sedang diuji Tuhan. Ketika itu Hana sedang berada di dalam ICU di HKL. Jadi ulangtahun ke 10 kami raikan di celah-celah kesedihan. Disebabkan 1 Mei merupakan cuti wajib, jadi memang setiap tahun kami akan bercuti untuk meraikannya. Tetapi untuk ulangtahun ke 10, sememangnya ia akan menjadi tanda untuk kami sentiasa mengenangnya...

10 tahun tu macam lama tapi sebenarnya kejap aje. Kami berkahwin pada usia yang agak muda (saya 23 dan abang 24). Ketika itu ramai di kalangan kawan-kawan masih belajar. Ketika itu kami baru setahun bergraduat. Kalau hendak dikisahkan, memang macam-macam dugaan berkahwin pada usia muda. Namun kami bersyukur, dugaan-dugaan itu mematangkan hubungan kami. Di kala teman-teman sedang berusaha untuk melengkapkan sebuah perkahwinan, alhamdulillah kami sudah lama 'settle down'.

10 tahun, 2 putera dan 1 puteri dengan sebuah rumah yang diibaratkan bagai syurga dunia, Alhamdulillah rasanya hidup kami telah lengkap segala. Moga Allah sentiasa memberkati hidup kami sekeluarga. Seperti kata abang 13 tahun lalu, InsyaAllah We will grow old together.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...