30 Jun 2009

Selamat Membida Petronas!


Pagi tadi semasa menonton TV saluran BBC dan CNN, saya dikhabarkan bahawa Petronas, Malaysia sekarang ini bersama-sama 4 lagi gergasi syarikat carigali sedang membida kontrak carigali minyak di Iraq. Acara bidaan itu disiarkan secara langsung di Iraq bertujuan untuk ketelusan. Jika berjaya, kontrak 20 tahun carigali minyak di Iraq akan diberikan kepada Petronas. Iraq merupakan negara ketiga di dunia yang mempunyai sumber bekalan minyak terbanyak. Iraq baru saja merayakan pengunduran askar Amerika dari tanah airnya dan ini merupakan kontrak carigali pertama kepada negara luar selepas perang di Iraq. Sebagai rakyat Malaysia, saya bangga mendengar Petronas mampu bersaing dengan gergasi carigali dunia yang lain. Semoga berjaya!

27 Jun 2009

KEMBARA EROPAH: London Car Boot Sale

Kami bertolak dari London jam 10.00 pagi. Cuaca cerah dan kami bercadang untuk ke Car Boot di Flamingo Park, dalam perjalanan kami ke Dover (pelabuhan untuk menyeberang ke Peranchis). Kami diberitahu bahawa jika cuaca cerah, ramai penjual dan car boot lebih meriah. Bermakna lebih banyak barang untuk kami jengah dan menjamu mata. Kami tiba sekitar 10.30 pagi. Terima kasih kepada GPS yang membawa kami terus destinasi tanpa sesat pada pagi itu.
Cadangnya kami ke sini untuk membeli child car seat untuk Hakimy tetapi jika tidak jumpa dengan yang berkenan di hati, kami akan pakai saja car seat yang diberi Yati dan Syam. Untuk Hardy, kami hendak membelikannya scooter. Awal-awal lagi di kepala sudah diberitahu supaya fokus mencari car seat walaupun kami digoda dengan macam-macam barangan lain. Disebabkan kami kesuntukan masa kerana harus tiba di Dover sekitar jam 2.00 petang kerana telah membeli tiket feri, jadi kami berpecah. Bukan berpecah lorong tetapi berpecah fokus. Jadi abang akan tengok deretan barangan di sebelah kanan dan saya di sebelah kiri.

Car boot di sini memang menarik. Berbeza dengan di Jerman yang mana barangan yang dijual walaupun terpakai tetap mahal tetapi di sini harganya memang gila. Mungkin kerana kebanyakan penjual hanya mahu melepaskan barangan mereka lalu harga yang memang murah sangat-sangat. Walaupun di kepala hanya mahu membeli car seat, tetapi sudahnya car seat belum dapat, di tangan sudah hampir penuh dengan barang. Kami membeli scooter (3pound), buku-buku dan mainan (sekitar 10-30pence satu), beg tangan (1pound), DVD PS2 (2 pound), baju (3 helai 1pound) dan alas kusyen (4 biji 1pound).


Seronok juga kerana setelah sekian lama, dapat juga saya menggunakan kemahiran tawar-menawar barang. Almaklum sejak duduk di Jerman, saya sudah jadi terbiasa (monotenos) hanya beli dan bayar. Faktor bahasa membuatkan saya tida dapat berkomunikasi dengan berkesan di Jerman. Hendak banyak songeh memang langsung tak ada peluang.... Di sini menawar dan penjual akan mempertimbangkan harga yang kita tawarkan. Kalau harganya dirasakan tidak munasabah, memang mereka tidak akan mengurangannya. Jadi bayar sajalah harga yang telah ditetapkan. Tetapi pokoknya aktiviti tawar-menawar memang berlangsung di sini.

Penat habis satu pusingan, car seat yang dicari belum dimiliki. Memang mula-mula tadi sudah jumpa dengan yang berkenan di hati. Harganya cuma 8pound tetapi disebabkan hendak melihat-lihat dulu, maka kami biarkan saja. Kami bersetuju jika ada rezeki, tak akan ke mana. Jadi bila melihat jam sudah hampir 12.15, kami sudah agak panik kerana car seat yang kami cari masih belum dimiliki. Hardy sudah penat bergerak dengan scooter 'baru'nya sedangkan Hakimy masih rileks kerana tidak langsung mengeluarkan peluh penat kerana duduk di dalam pram. Sudahnya, kami duduk di kerusi dan membiarkan abang dengan misi mencari car seat Hakimy.

Akhirnya car seat yang dicari dijumpai juga. Asalnya harganya 4pound tetapi abang menawarnya dan dapat 3pound tetapi kerana hendak menghabiskan duit syiling yang tinggal 2.98pound maka penjual menerima saja. Wah! Ini sudah sangat murah! Kami sangat berpuas hati dengan keadaan car seat yang masih boleh digunakan dengan harga yang sangat tidak dipercayai! Apa jadi pada car seat pertama yang kami berminat tadi? Kata abang, semasa dia datang hendak membeli car seat itu, seorang lagi pembeli sedang membelek-belek car seat tersebut. Abang setakat menjeling bila lelaki itu bersetuju membeli dan membayar harganya kepada penjual. Moralnya; memang jika sudah tertulis ia bukan rezeki kita, walau sehampir manapun kita dengannya, ia tetap tidak akan menjadi milik kita....

Kami meneruskan perjalanan dengan hati yang sangat lapang! Misi untuk mendapatkan barang-barang yang diidam telah terlaksana. Ianya satu pengalaman baru dan manis buat kami. Jika ada peluang lagi, sudah pasti kami tidak menolak untuk ke sini lagi.....

Micheal Jackson: Hilangnya Ikon Dunia


Semalam (25 Jun 2009) dunia dikejutkan dengan berita kematian Raja Pop Dunia, Micheal Jackson. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 2.26 petang (waktu tempatan) akibat serangan jantung. Di usia 50 tahun, kematiannya sememangnya amat mengejutkan, apatah lagi konsert besar-besarannya yang akan dilangsungkan di London hanya tinggal sebulan saja lagi. Saya agak lewat menerima berita tersebut akibat tidak membuka internet. Ketika mendengar berita tersebut, jam sudah menunjukkan 2.15 pagi waktu German, dan berita kematiannya sudah tersebar beberapa jam yang lalu.

Memang mengejutkan! Ikon dunia yang mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia secara tiba-tiba meninggalkan kita. Saya juga merasai kehilangannya. Saya membesar dan saya pasti ramai antara kita membesar dengan lagu-lagunya, gayanya dan ceritanya yang sentiasa amat dinantikan. Seingat saya, dia pernah membuat konsertnya di Stadium Merdeka sebanyak 2 kali berturut-turut. Tiket konsert tersebut sold out, walaupun harganya mencecah ratusan dan ribuan ringgit. Bukan saja di Malaysia, di mana saja Micheal mengadakan konsert, pasti tiada satupun tiket yang tinggal.

Abang pernah menyatakan keinginannya untuk menyaksikan konsert Micheal di London, sekiranya mendapat peluang bulan depan atau sekiranya Micheal bercadang mengadakan konsert di mana-mana selepas ini. Dia antara peminat Micheal sejak kecil lagi. Lagu-lagu Micheal kebanyakannya dia tahu (walaupun dia tidak boleh hafal lagu tersebut). Tapi sayangnya, hasrat tersebut nampaknya tidak akan menjadi kenyataan. 

Ramai peminatnya pasti akan meratapi kehilangannya. Namun, yang pasti, lagu dan musik serta legasinya tidak akan hilang. Micheal Jackson akan dikenang sebagai ikon dunia yang pernah menghiburkan kita dan sudah tentu beliau kini diiktiraf sebagai seorang Legenda.

Semoga Allah menempatkan beliau di kalangan orang beriman (dia dikatakan memeluk Islam pada tahun 2008). Amin.

23 Jun 2009

KEMBARA EROPAH: London Lagi...

Kami ke London lagi untuk menyelesaikan sedikit urusan peribadi. Kunjungan kali ini atas nama kesibukan dan kesempitan waktu, memang kami tidak sempat berkunjung ke tempat-tempat menarik yang sudah disenaraikan sebelum berangkat ke London. Saya tidak sempat ke Kessington Palace (untuk melihat scene lokasi kulit novel Dhiya Zafira, Ku Damba Bahagia), menjamu selera di Malaysian Hall dan membeli-belah. Inilah sebahaigan gambar di London yang sempat saya rakam sebelum pulang ke Berlin. Mujurlah kami sudah berkunjung ke kebanyakan tempat tarikan pelancong semasa kunjungan pertama dulu, jadi tidaklah rasa terkilan sangat.


Pada beberapa hari sebelum kami bertolak, kami dikejutkan dengan berita London Tube Strike. Alamak! Ini kerana pengalaman kami sebelumnya semasa Krismas semasa Tube tidak dibuka, kami memang patah kaki untuk bergerak. Semasa tiba di London pada tengah malam Jumaat itu, dari cermin tingkap bas, saya lihat lorong-lorong pejalan kaki menuju stesen Tube telah dirantai menunjukkan strike masih belum berakhir. Semasa berhenti di stesen Bakers Street, barulah hati saya lega bila membaca notis yang strike akan berakhir pagi itu dan kemudahan Tube dijangka berjalan seperti biasa. Ya, siapa yang tidak gawat bila kedatangan kita di saat yang tidak sepatutnya. Sesungguhnya kita hanya merancang, Tuhan juga yang menentukan. Tiket ke London telah dibeli sebulan awal, manalah hendak disangka London akan heboh dengan strike pula pada hari saya berada di sana. Alhamdulillah Allah telah permudahkan urusan saya nampaknya.



Kali ini kunjungan singkat ini, kami santai dan tidak terburu-buru mengejar waktu seperti selalunya kami berkunjung ke mana-mana destinasi. Mungkin kerana sebelum berangkat, sudah ditanam di kepala, kunjungan kali ini atas urusan lain, bukannya untuk jalan-jalan makan angin. Namun sempat juga saya makan roti naan dan tikka ayam di kedai Pakistan. Lepaslah juga kempunan hendak makan roti naan ayam tandoori. Mungkinkah ini kunjungan kami yang terakhir ke London? Saya tidak berani berjanji.... kerana saya memang sudah jatuh hati kepada London.... dan kami hanya akan pulang ke Malaysia, Mac tahun depan!

SPA sedia 3,500 jawatan untuk OKU

PETALING JAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kini berusaha memenuhi kuota sekurang-kurangnya tujuh peratus atau 3,500 daripada 50,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam kepada golongan orang kurang upaya (OKU) akhir tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah berkata, Kabinet memutuskan perkara itu dan mempelawa golongan berkenaan menyertai sektor awam agar mereka tidak berasa tersisih.

"Kerajaan menggalakkan lebih ramai golongan OKU memohon jawatan ini terutamanya bagi mereka yang berkelulusan dan tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penghantaran kira-kira 200 golongan OKU ke Kem Motivasi Keluarga Integrasi OKU di sini semalam.

Menurut Murugiah, golongan OKU perlu mengambil peluang itu untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada memandangkan kerajaan telah memperbaiki skim gaji dan kemudahan kepada penjawat awam.


Sumber-Kosmo! 23 Jun 09

22 Jun 2009

Revenge is Coming!

The most anticipated movie of the year is coming... 24th June 2009.
For the fans, enjoy the movie...

21 Jun 2009

Blog Tergendala Sebentar

Salam semua!

Alice saya meragam lagi.... jadi saya tak boleh hendak mengemaskini blog ini untuk sementara waktu ini. Harap saya dapat bersabar ya!

18 Jun 2009

Experience Bangladesh

Another memorable Bangladesh video from abang. Experience it...

17 Jun 2009

Slums di Bangladesh

Besyukurlah dengan apa yang kita ada. Projek Slums Improvement oleh abang ketika 3 minggu di Bangladesh diabadikannya melalui video ini.

11 Jun 2009

10 Jun 2009

Jawapan Yang Pasti dari Eka Fahara

Kepada yang telah lama menanti kelahiran novel keempat kepada penulis Eka Fahara ini, silalah ke kedai buku dan dapatkannya sekarang! Sayapun sudah lama menunggu tetapi nampaknya saya akan terus menunggu Jawapan Yang Pasti ini (kecualilah kakak kita ni berbesar hati hendak menghadiahkan saya dengan menghantarnya ke Berlin!). Apapun tahniah untuk Kak Eka dan teruskan menulis. Saya merindui Saat Kau Hadir kak...Minum-minum sambil berdiskusi....hehehe berdiskusi ke tak kering gusi....hehehe.


Sinopsis:
ORANG kata, bercinta dengan dengan golongan artis amat membahayakan kerana hubungan pastinya tidak akan kekal lama. Namun bagi Kyra, dia percaya kepada Ariff kerana amat mengenali lelaki itu, jiran sebelah rumahnya. Tidak mungkin Ariff sanggup mempersendakan cinta dan kasih sayang mereka.
Namun, langit tidak selalunya cerah. Hubungan mereka yang sudah mendapat restu daripada keluarga tidak bermakna lagi buat Kyra. Kenyataan Ariff yang terpampang di dada akhbar benar-benar merobek hatinya. Sanggup lelaki itu menafikan hubungan mereka ketika disoal media dan menyatakan bahawa Kyra hanyalah jirannya.Gadis itu lantas membawa diri yang lara. Dia nekad tidak mahu berjumpa dengan lelaki itu.
Namun, dunianya yang sudah tenang dikocak pula dengan berita Ariff ditangkap khalwat. Bencinya terhadap lelaki itu sudah tidak dapat dibendung lagi.Ariff baru tersedar akibat daripada peristiwa hitam itu. Dunianya pula semakin gelap tanpa Kyra di sisi. Dia harus memperisterikan Kyra kerana masih lagi menyayangi gadis itu.
Namun, apa yang dibimbanginya... adakah gadis itu masih mahu bertamu di hatinya sedangkan mendengar suaranya pun sudah tidak sudi lagi?

09 Jun 2009

Selamat Pulang!

Dhaka-Dubai-Munich-Berlin. 20 jam perjalanan. Semoga sentiasa berada dalam peliharaanNya. Amin.

07 Jun 2009

Siapa nak balik angkat tangan!

Salam untuk semua! Ini ada promosi kepada sesiapa yang hendak pulang berpuasa dan berhari raya di Malaysia....

Attn: To all Malaysian friends, students and for Non-Malaysians.

Best price for your flight ticket with Bibi Tours

Airfare Euro 525 to Kuala Lumpur


Preis inclusive Flughafengebühr: Euro 525

Rail and Fly is Free of Charge

Umbuchung vor Ort: 100 EUR

Ticketing : 96 STD nach Reservierung

Baggage Allowance 30 kg

Ticket Validity: 2 MonthsTicket

Travelling Period: 09.08.09 – 30.09.09

Selling period: 18.05.09 – 30.06.09

Airline: Emirates Airlines


Bibi Tours

Inh. : Klaus Schnubel

StNr. : 010/190/03783

USt-IdNr. :DE199415835

Am Böhler Pfad 13

67126 Hochdorf-Assenheim

Tel: 06231-915659

Fax: 06231-915683

email:info@bibitours.com

http:// www.bibitours.com

http:// www.visit-malaysia.de



06 Jun 2009

Alkisah Perkhidmatan Perubatan

Di Berlin, saya sentiasa berdoa supaya kami sekeluarga sihat walafiat. Bukannya saya tidak pernah berdoa di Malaysia supaya kami sentiasa sihat tetapi di sini saya berdoa dengan lebih lagi bersama harapan yang sangat tinggi. Ini kerana susahnya untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan yang memuaskan hati. Lain di Malaysia, kalau sakit di tengah malam, berlambak-lambak klinik swasta yang dibuka 24jam! Di sini masalahnya jika sakit pada hari Rabu atau hari cuti umum, kenalah ke Hospital.

Masalah utama ialah pertuturan. Rata-rata doktor perubatan di klinik biasa bertutur di dalam bahasa Jerman. Apalah yang hendak dihairankan kerana buku-buku perubatan mereka dalam bahasa Jerman. Jadi penguasaan bahasa Inggeris bagi seorang doktor bukanlah satu keperluan. Tambahan pula, pelanggan semuanya bertutur di dalam bahasa Jerman.

Jika saya hendak ke klinik, saya terpaksa membuat tinjauan di internet atau ditanya kepada teman-teman, klinik mana yang boleh memberikan perkhidmatan dalam bahasa Inggeris. Kalau doktor yang boleh berbahasa Inggeris, jururawat atau kerani tidak boleh berbahasa Inggeris, masalah juga. Takkanlah hendak dibawa teman-teman yang boleh berbahasa Jerman setiap kali ke klinik. Pastinya mereka juga sibuk dengan tugasan dan kita juga perlu untuk bersendirian bersama doktor yang merawat disebabkan maklumat-maklumat sulit dan peribadi. 

Selepas itu kena pula buka google map, cari di mana klinik itu berada. Kemudian buka pula laman perkhidmatan pengangkutan awam untuk lihat cara termudah ke sana. Pendek kata, memang urusannya panjang. 

Pernah juga ketika Hakimy batuk teruk, saya meminta seorang teman menemankan kami berjumpa doktor. Kelakarnya, dia juga tidak berapa fasih Jerman dan doktor pula tidak tahu Inggeris. Sudahnya terpaksa menggunakan isyarat bahasa tubuh. 

Di Jerman, kami harus membayar insuran bulanan untuk mendapatkan rawatan perubatan. Setiap 3 bulan, sebanyak Euro10 dibayar pula kepada klinik jika hendak mendapatkan rawatan dalam tempoh itu. Doktor akan memberikan preskripsi ubat dan kami harus membeli ubat di farmasi pula. Biasanya kami tidak perlu membayar harga ubat di farmasi kerana sudah membayar insuran kecuali harga ubat itu agak mahal, maka wang tambahan diperlukan. Biasanya jika setakat batuk dan selesema, kami tidak ke klinik tetapi membeli terus ubat di farmasi (harus mengeluarkan belanja sendiri kerana tidak melalui perskripsi doktor).

Jadi bersyukurlah berada di Malaysia. Klinik mudah dapat dan boleh pula dipilih-pilih. Kalau ke klinik kerajaan lagilah, ubat pun percuma cuma bayar RM1 saja untuk pendaftaran. Itupun ramai yang tunjuk muka masam bila terpaksa menunggu lama sedangkan bukan tidak tahu, perkhidmatan di hospital kerajaan memang lambat disebabkan terlalu ramai orang hendak dilayan.

02 Jun 2009

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...